Dalam dunia yang canggih dan kebergantungan manusia dengan teknologi ini, semakin susah kita menemui individu yang mempunyai ingatan yang kuat terutamanya terhadap bahan bacaan seperti buku, al-Quran, nombor telefon dan sebagainya.
Namun, ada beberapa individu tertentu yang tidak terkesan dengan perkembangan teknologi terhadap ingatan mereka. Seolah-olah mereka hidup di zaman nenek moyang kita yang hidup tanpa teknologi canggih. Salah seorang daripada mereka ialah Saad bin Ahmad Jalaluddin, seorang anak muda yang berasal dari Tajikistan. Di usia yang masih kecil, Saad telah menunjukkan tekad yang kuat dalam menuntut ilmu agama dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang ulama besar.
Saad Bin Ahmad Jalaluddin: Mula Menuntut Ilmu Sejak Usia Kecil
Saad dilahirkan di Tajikistan dan kini berusia 13 tahun. Sejak kecil lagi, Saad sudah mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu Islam. Beliau memulakan perjalanan menuntut ilmu pada usia yang sangat muda, iaitu pada usia 3 tahun. Dengan bimbingan daripada ayahnya, Saad berjaya menghafal al-Quran sepenuhnya pada usia 7 tahun ketika beliau berada di Rusia.
Sebuah pencapaian yang sangat mengagumkan bagi seorang kanak-kanak seusianya.
Perjalanan Ilmu Saad: Hafazan dan Pengajian
Saad tidak berhenti setakat menghafaz al-Quran. Beliau meneruskan usahanya dengan menghafaz beberapa karya ilmiah yang penting dalam dunia Islam. Di antaranya, Saad menghafaz 40 hadis Nawawi, kitab al-Jazariyah, serta kitab Al-Jam’ Bain al-Sahhain oleh Sheikh Yahya bin Abdul Aziz Al-Yahya.
Selain itu, Saad turut menghafaz kitab Zawaid al-Sunan al-Khamsah yang juga ditulis oleh Sheikh Yahya Al-Yahya. Kitab ini mengandungi hadis-hadis daripada lima kitab hadis besar: Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i, Ibnu Majah, dan ad-Darimi. Pencapaian ini menunjukkan dedikasi dan komitmen Saad terhadap penguasaan ilmu Islam.
Tidak cukup dengan itu, Saad juga telah menghafaz beberapa matan penting dalam ilmu bahasa Arab dan syariah, antaranya Alfiah Ibnu Malik, al-Ajurrumiyah, Mulhatul I‘rab, dan ’Unwanul Hikam. Pencapaian Saad dalam menghafaz karya-karya ilmiah ini menggambarkan ketekunan dan keazaman yang luar biasa.
Mengajar Ilmu kepada Keluarga
Setelah menguasai banyak ilmu, Saad tidak hanya menyimpan ilmu tersebut untuk dirinya sendiri. Beliau mula mengajar dalam bahasa Parsi kepada keluarganya.
Pengajian pertama beliau adalah tafsir al-Quran, di mana Saad membacakan tafsir dan menjelaskannya kepada keluarga.
Pengajian kedua yang beliau jalankan adalah mengenai Kitab Minhaj min Mirathi al-Nubuwwah, di mana beliau membaca satu bab setiap hari atau dua hari dan mentafsirkan kepada keluarga.
Cita-Cita Tinggi untuk Menjadi Ulama Besar
Saad bercita-cita untuk menjadi seorang ulama besar seperti Imam Ahmad, al-Bukhari, dan Muslim. Cita-cita ini bukanlah sekadar angan-angan, tetapi dilihat melalui usaha dan komitmen beliau yang tinggi dalam menuntut ilmu, kita doakan agar diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mencapai cita-citanya dan menjadi seorang ulama yang memberi manfaat kepada umat Islam.
Kisah hidup Saad bin Ahmad Jalaluddin adalah satu inspirasi yang sangat berharga bagi kita semua. Walaupun masih muda, Saad telah menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam menuntut ilmu agama. Beliau telah membuktikan bahawa dengan usaha, doa, dan keazaman yang kuat, tidak ada yang mustahil untuk dicapai. Semoga Allah SWT memberi kejayaan kepada Saad dalam mencapai cita-citanya dan menjadikannya seorang ulama yang memberi manfaat kepada umat Islam.
Semoga kisah Saad memberi semangat kepada kita semua untuk terus menuntut ilmu dengan tekun dan ikhlas.