Dalam dunia hari ini, lagu, video dan filem menjadi sebahagian besar daripada kehidupan manusia. Namun, para ulama terdahulu telah menyatakan bahawa melibatkan diri dalam perkara yang melalaikan khususnya mendengar lagu boleh menanamkan sifat munafik dalam hati seseorang.
فعن ابن مسعود رضي الله عنه قال: الغناء ينبت النفاق في القلب كما ينبت الماء الزرع.
Maksudnya : Daripada Ibnu Mas’ud r.a. beliau berkata : Nyanyian akan menumbuhkan sifat munafik di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan tanaman.
Manusia secara fitrah cenderung untuk membiasakan diri dengan perkara yang sering dilakukan. Jika seseorang sentiasa mendengar lagu, menonton filem atau video yang melalaikan maka jiwanya akan terbiasa dengan rentak hiburan tersebut sehingga menjadikannya satu keperluan dalam kehidupannya.
Sebaliknya, seorang Muslim seharusnya mempunyai prinsip yang teguh dalam kehidupannya. Jika hatinya dipenuhi dengan Al-Quran, maka tiada ruang dalam hatinya untuk perkara yang melalaikan.
Antara salah satu cara yang berkesan untuk menyelamatkan diri kita daripada terleka dengan hiburan berlebihan adalah dengan menggunakan satu kaedah :
Menggantikan hiburan melampau dengan Al-Quran secara Berperingkat
Jlika seseorang telah terbiasa mendengar muzik atau menonton filem mungkin merasa sukar untuk meninggalkannya serta-merta. Jadi, pendekatan yang lebih berkesan adalah dengan menggantikannya secara berperingkat.
Sebagai contoh, jika seseorang mendengar lagu sehingga 30 minit setiap hari, dia boleh mengurangkannya kepada 20 minit dan menggantikan 10 minit itu dengan bacaan buku, artikel atau mendengar Al-Quran.
Pada waktu lain pula, dia boleh mengurangkan lagi masa mendengar lagu kepada 15 minit dan menambah masa mendengar Al-Quran.
Dengan cara ini, akhirnya seseorang akan lebih tertarik kepada keindahan bacaan Al-Quran dan meninggalkan hiburan tersebut secara semula jadi.
Pendekatan ini tidaklah bermaksud mendengar lagu atau menonton filem tidak syarak itu digalakkan oleh Islam kerana hukum halal dan haram telah ditetapkan oleh Allah. Namun, ini adalah satu kaedah untuk membantu seseorang kembali kepada ajaran Islam dengan lebih mudah dan berkesan.
Kesimpulannya, setiap Muslim harus bertanya kepada dirinya sendiri: Jika Rasulullah SAW datang ke rumah kita, adakah Baginda akan duduk bersama mereka yang mendengar lagu, peminat filem atau mereka yang membaca dan mendengar Al-Quran?
Jawapan kepada soalan ini boleh menjadi kayu ukur bagi kita dalam menentukan pilihan dalam kehidupan. Islam adalah agama yang mendidik dan memberikan panduan untuk kehidupan yang lebih baik.
Maka, marilah kita berusaha untuk memahami Islam dengan betul, memperbaiki kefahaman kita, dan menggantikan perkara yang melalaikan dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui Al-Quran dan ajaran-Nya.
Sumber :
- Mawārid aẓ-Ẓamʾān li Durūs az-Zamān, jld. 5, hlmn. 168