Loading...

“Berhala Terbesar Itulah Yang Memecahkan Semuanya!” – Adakah Nabi Ibrahim menipu?

Semua kita tahu bahawa orang soleh, orang mukmin dan orang bertakwa tidak akan menipu kerana ianya satu dosa yang sangat besar. Lebih-lebih lagi para Nabi. Amat mustahil seorang Nabi melakukan penipuan!

Habis tu, bagaimana pula dengan Nabi Ibrahim? Bukankah baginda menipu kaum baginda berdasarkan kisah baginda memecahkan berhala?

Cuba baca sedikit kisah di bawah ini untuk kita fahaminya dengan baik.

Ingat! Artikel ini sangat penting untuk kita memahami intipati-intipati yang penting untuk kita pegang dalam kehidupan kita!

Suatu hari, Nabi Ibrahim tidak dapat menahan lagi perasaan baginda terhadap kesesatan kaum baginda yang menyembah berhala lalu baginda merancang untuk menghancurkan patung-patung berhala yang disembah kaum baginda tersebut.

Apabila semua kaum baginda menghadiri satu majlis keraian, baginda berpura-pura sakit dengan mengatakan :

“Aku sakit”

sebagai alasan untuk tidak menghadiri majlis tersebut.

Sedang semua kaum baginda leka dengan majlis tersebut, baginda terus menuju ke tempat penyembahan berhala.

Setelah tiba di kuil, baginda memecahkan patung-patung berhala tersebut dan membiarkan patung yang terbesar sekali dalam keadaan elok lalu baginda menggantungkan kapak pada leher berhala yang paling besar tersebut untuk berdebat dengan kaum baginda nanti.

Setelah mereka selesai ke majlis keraian tersebut, apabila mereka ingin menghadiahkan makanan kepada berhala-berhala mereka, mereka mendapati kebanyakannya telah hancur.

Lalu mereka dapat mengenal pasti bahawa yang melakukan semua ini adalah seorang pemuda yang bernama Ibrahim iaitu Nabi Ibrahim.

Ketika Nabi Ibrahim dipanggil untuk perbicaraan, mereka bertanya baginda :

“Adakah engkau yang melakukan perbuatan ini ke atas tuhan-tuhan kami wahai Ibrahim?”

Tahukah anda wahai para pembaca sekalian, apa yang dijawab oleh baginda?

Jawapan inilah yang dianggap bahawa Nabi Ibrahim pernah menipu iaitu :

“Bahkan yang melakukannya adalah yang terbesar sekali, maka kamu semua tanyalah ia jika ia boleh berbicara!”

Jelas tak para pembaca sekalian?

Bukankah Nabi Ibrahim yang melakukannya?

Kenapa baginda ‘menuduh’ berhala yang paling besar tersebut?

Adakah ianya satu penipuan?

Jika diperhatikan semula di awal artikel, Nabi Ibrahim mengatakan :

“Aku sakit”

Padahal Nabi Ibrahim tidak mengalami apa-apa kesakitan pun.

Jadi, dalam kisah ini, terdapat 2 situasi yang menyebabkan Nabi Ibrahim dianggap telah menipu.

Pertama, kata-kata baginda :

“Aku sakit”

Kedua, kata-kata baginda :

“Bahkan yang melakukannya adalah yang terbesar sekali, maka kamu semua tanyalah ia jika ia boleh berbicara!”

Sebenarnya, ia bukankah satu penipuan seperti yang dianggap oleh sebahagian orang kerana amat mustahil seorang Nabi melakukan satu penipuan!

Dalam bahasa arab, hal ini diistilahkan sebagai ‘Tawriyah‘ atau ‘Ma’aridh atau Khida‘ yang bererti :

Helah atau mengatakan sesuatu perkara, tetapi yang dimaksudkan adalah selain itu. (Rujuk : الدكتور عبدالعزيز عتيق، علم البديع، صفحة 122-134)

Contoh, perkataan :

“Saudara saya”

Apabila seseorang mengatakan :

“Ini adalah saudara saya”

Biasanya orang yang mendengar akan memahami ia adalah saudara yang mempunyai pertalian darah.

Tetapi orang yang mengatakan tersebut memaksudkannya :

“Saudara seislam”

Jadi, apabila dia berkata :

“Ini adalah saudara saya”,

ia bererti :

“Ini adalah saudara seislam saya”

Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam kisah Nabi Ibrahim.

Apabila Nabi Ibrahim berkata :

“Aku sakit”

Dalam bahasa arabnya :

إني سقيم

Pendengar akan faham bahawa Nabi Ibrahim sedang sakit.

Tetapi Nabi Ibrahim sendiri tidak maksudkan begitu, kerana Nabi Ibrahim tidak sakit ketika itu. Apa yang Nabi Ibrahim maksudkan adalah :

“Aku akan sakit apabila aku berhadapan dengan mati”

Dan memang semua manusia akan merasai kesakitan apabila menghadapi kematian.

Kerana dalam bahasa arab, perkataan, إني سقيم membawa 2 maksud :

Pertama : Aku sedang sakit

Kedua : Aku akan sakit

Biasanya orang akan memahaminya dalam konteks yang pertama kerana itulah kaum baginda membiarkan baginda bersendirian untuk tidak menyertai majlis yang mereka semua bakal hadiri.

Jadi, itulah muslihat ataupun helah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim.

Itulah yang kita semua perlu pertahankan bahawa Nabi Ibrahim bukannya menipu, sebaliknya baginda melakukan sedikit helah untuk mengkaburkan mata kaum baginda.

Peristiwa yang kedua adalah peristiwa menghapuskan berhala.

Apabila baginda ditanya oleh kaum baginda, baginda berkata :

“Bahkan yang melakukannya adalah yang terbesar sekali, maka kamu semua tanyalah ia jika ia boleh berbicara!”

Di sini, nampak jelas bahawa Nabi Ibrahim meletakkan syarat untuk menjadikan berhala besar yang melakukannya.

Syaratnya adalah :

“jika ia boleh berbicara”

Jadi, sudah tentulah patung berhala tersebut tidak boleh berbicara!

Kerana patung berhala tersebut tidak berbicaralah Nabi Ibrahim dianggap berhelah dan tidak menipu.

Jadi, kaum baginda tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mereka telah mengesyaki bahawa bagindalah yang telah memusnahkannya!

Lihatlah, betapa hebatnya helah seorang Nabi dan betapa besarnya Rahmat Allah ke atas para Rasul dan Nabi.

Jom Support Kami.

Dana yang anda support akan dimanfaatkan untuk kos selenggara web, editing video, utiliti, penterjemah & penulis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  • Be the first to comment

Facebook
Telegram
Threads
X
WhatsApp