Loading...

Ini adalah gambar terakhir Dr. Hossam Abu Safia, Pengarah Hospital Kamal Afwan, Gaza sebelum ditangkap oleh tentera penjajah Israel. Ia diambil oleh jurugambar Muhannad Al-Muqayed, menunjukkan beliau sedang berjalan dengan kot putihnya di tengah runtuhan Hospital Kamal Adwan yang dihancurkan oleh mesin perang Israel. Di depannya, terdapat tank-tank penjajah bersedia untuk melepaskan peluru bila-bila masa.

Jurugambar, Al-Muqayed menulis dalam Facebook peribadinya, “Seorang lelaki melawan seluruh tentera, inilah Dr. Hossam Abu Safia.”

Gambar itu tersebar luas di platform media sosial. Netizen mengaitkan gambar tersebut dengan keadaan Gaza, yang sejak lebih setahun lalu berada di bawah serangan genosida Israel.

Gambaran oleh pelukis bagaimana keberanian Dr. Hossam berhadapan dengan tank Israel

Dr. Munir Al-Bursh, Pengarah Umum Kementerian Kesihatan di Gaza, mengulas gambar itu dengan berkata, “Dengan gambar ini, Dr. Hossam Abu Safia merangkumkan keadaan kita: seorang doktor yang memberikan perkhidmatan kemanusiaan kepada bangsanya hanya bersenjatakan kot putihnya, berhadapan kereta kebal dan penjajahan.”

Keberanian Luar Biasa

Netizen lain menambah, “Inilah lelaki Gaza; mereka membunuh anaknya, mencederakannya, dan memusnahkan hospitalnya, tetapi dia tidak berganjak. Dia kembali bekerja merawat pesakit dan yang cedera. Kini, sebelum ditangkap, dia melangkah dengan hanya bersenjatakan jubah putihnya ke arah tank berperisai yang penuh dengan senjata pembunuh.”

Kesan Serangan Israel

Sejak serangan bermula di wilayah utara Gaza pada 5 Oktober, yang disertai kepungan ketat, Hospital Kamal Adwan telah diserang puluhan kali dengan peluru berpandu dan bom. Menurut pegawai kesihatan, tentera Israel menjadikan hospital itu sebagai “sasaran ketenteraan.” 

Serangan ini menyebabkan sistem kesihatan lumpuh hampir sepenuhnya, termasuk perkhidmatan ambulan dan pertahanan awam.

Seorang pengguna menulis di Twitter, “Gambar ini menyampaikan ribuan makna; Dr. Hossam Abu Safia berjalan dengan jubah putihnya di tengah runtuhan hospital. Negara penjajah bersenjata lengkap menentang nyawa dan belas kasihan. Dunia, seperti biasa, terus membisu.”

Sumber : Aljazeera

Seorang millionaire Mesir bernama Solah Atiyyah. Pada permulaan ceritanya ia terjadi di satu daerah terpencil yang bernama Tafahna Asyraf, iaitu pekannya adalah di Mit Ghamr iaitu salah satu daerah yang bernaung di bawah negeri Daqahliah di Mesir.

Kisahnya bagi saya amat menarik, ia bermula apabila ada 9 orang sahabat yang telah pun tamat pengajian mereka di satu universiti pertanian dan ternakan di Mesir. Mereka ini mengalami masalah kewangan yang mencengkam hidup mereka sehinggalah mereka berazam untuk cuba mulakan hidup mereka dengan membuat satu pekerjaan.

Maka mereka memilih untuk menternak ayam sesuai dengan kemahiran yang mereka ada tetapi mereka mencari orang yang kesepuluh untuk di jadikan rakan kongsi yang boleh mereka kongsikan bersama syarikat mereka ini.

Maka tunggu punya tunggu orang kesepuluh masih belum ada mereka bersembilan ini mula mengumpulkan modal setiap seorang sebanyak 200 pound egypt. Ada yang menjual gelang emas rantai isteri 200 pound atau junaih Mesir ini teramat amat sedikit sebenarnya.

Tetapi bagi mereka amat besar untuk pertama kalinya mereka memulakan perniagaan. Tiba tiba datang salah seorang dari sahabat yang 9 org ini yang bernama Muhandis Ir Solah Atiyyah beliau berkata, aku sudah temukan orang yang ke sepuluh yang bakal berkongsi kita punya syarikat. Maka sahabat-sahabatnya bertanya? Siapa dia ???

Maka Solah Atiyyah pun berkata, Dia adalah Allah.Allah akan jadi yang kesepuluh yang akan campuri urusan perniagaan kita. Jika ada keuntungan 10 % peratus kita beri pada Allah dan kita sepakat untuk biarkan Allah uruskan syarikat kita, serta menjaga melindungi dan berikan keamanan daripada sebarang dugaan.

Maka semua bersetuju dengan janji ini, maka surat perjanjian pun ditandatangani dengan menjadikan Allah yang kesepuluh dalam syarikat ini dan 10 peratus dari keuntungan ini adalah hak milik Allah. Maka selesai ditanda tangani di bulan itu, maka pusingan modal yang pertama itu menghasilkan keuntungan yang sangat lumayan.

Masuk pusingan modal yang kedua semua bersepakat untuk menaikkan peruntukkan hasil keuntungan sebanyak 20 peratus untuk Allah sehinggalah semakin hari semakin bertambah keuntungan,sehinggalah mereka menaikan peruntukkan untuk Allah sebanyak 50 peratus dari hasil keuntungan.

Di sini ada persoalan bagaimana caranya mereka menggunakan keuntungan yang di beri kepada yang kesepuluh itu iaitu Allah??? Dengan cara mereka membina sekolah agama untuk peringkat tadika iaitu taska untuk kanak-kanak lelaki, kemudian mereka membina sekolah agama tadika untuk kanak-kanak perempuan, kemudian mereka membina Maahad untuk peringkat rendah bagi lelaki.

Mereka membina sekolah maahad rendah bagi perempuan dan mereka membina juga maahad di peringkat menengah untuk lelaki dan juga perempuan. Disebabkan keuntungan yang berlipat kali ganda mereka pun mula mencipta Baitul Mal untuk membantu orang-orang susah serta mereka mula memikirkan untuk membina sebuah universiti di dalam kampung itu.

Pada mulanya mereka mula membuka peluang kerja bagi yang memerlukan, tetapi ramai yang menolak kerana kampung itu tidak ada pengangkutan yang mudah dan tidak ada stesyen keretapi untuk menghubungkan mana mana tempat dgn mudah. Dan kebiasaannya kuliah universiti mestilah di bandar besar bukan di kampung.

Disebabkan tiada orang yang mahu berkerja di universiti yang dibangunkan mereka pun berfikir untuk membina sebuah stesyen keretapi yang memudahkan orang untuk datang ke kampung itu dan mereka pun membuka peluang kerja ini kepada siapa yang mahu.

Untuk pertama kalinya dalam sejarah Mesir terbinanya sebuah universiti dalam satu kampung yang kecil dan universiti daripada satu bertambah besar.
Kemudian mereka membina perumahan untuk pelajar yang memuatkan seramai 600 orang pelajar dan mereka membina asrama pelajar yang memuatkan seramai 1000 orang pelajar.

Mereka berjaya membuat station keretapi sehinggakan para pelajar boleh mendapatkan tiket percuma untuk mereka pulang ke kampung. Mereka berjaya membina baitulmal sehingga tiada seorang pun yang fakir di kampung itu kemudian mereka cuba untuk buat perkara yang sama di kampung-kampung berhampiran.

Sepanjang kerja ini berjalan sekali pun Syeikh Ir Solah Atiyyah tidak menziarahi kampung ini melainkan ia hanya ziarah di Baitul Mal yang dicipta oleh mereka dan Syeikh Solah berkerja di situ.

Maka mereka dapat membantu orang-orang fakir, janda-janda, orang-orang yang tidak punya pekerjaan diberi peluang kerja sehingga punya kerja. Kemudian mereka dapat mengagih-agihkan makanan berupa sayur-sayuran dan bijirin hasil dari keuntungan diberi kepada masyarakat yang memerlukan serta yang tidak memerlukan.

Kemudian pada bulan ramadan mereka membuat iftar majlis berbuka puasa secara beramai-ramai di bawah khemah besar yang diberi kepada sesiapa sahaja yang datang. Mereka berjaya mengahwinkan perempuan-perempuan daripada kalangan anak-anak yatim. Ini adalah sedikit sebanyak kebaikan yang dilakukan oleh mereka bersembilan antaranya adalah Syeikh Solah Atiyyah

Dan yang terakhir semua bersepakat yang semua syarikat ini adalah milik Allah yang mana, Ir Solah Atiyyah ini telah menukar daripada asalnya Allah adalah rakan kongsi yang kesepuluh. Dan akhirnya mereka menyerahkan sepenuhnya jiwa mereka untuk berkhidmat pada Allah membantu ummat.

Kisah-kisah ini tidak diceritakan dalam media-media tempatan dan pada hari ini, ini sebahagian gambar jenazah Ir Solah Atiyyah yang telah pun kembalikerahmatullah. Semoga Allah merahmatinya.

Semua kita tahu bahawa orang soleh, orang mukmin dan orang bertakwa tidak akan menipu kerana ianya satu dosa yang sangat besar. Lebih-lebih lagi para Nabi. Amat mustahil seorang Nabi melakukan penipuan!

Habis tu, bagaimana pula dengan Nabi Ibrahim? Bukankah baginda menipu kaum baginda berdasarkan kisah baginda memecahkan berhala?

Cuba baca sedikit kisah di bawah ini untuk kita fahaminya dengan baik.

Ingat! Artikel ini sangat penting untuk kita memahami intipati-intipati yang penting untuk kita pegang dalam kehidupan kita!

Suatu hari, Nabi Ibrahim tidak dapat menahan lagi perasaan baginda terhadap kesesatan kaum baginda yang menyembah berhala lalu baginda merancang untuk menghancurkan patung-patung berhala yang disembah kaum baginda tersebut.

Apabila semua kaum baginda menghadiri satu majlis keraian, baginda berpura-pura sakit dengan mengatakan :

“Aku sakit”

sebagai alasan untuk tidak menghadiri majlis tersebut.

Sedang semua kaum baginda leka dengan majlis tersebut, baginda terus menuju ke tempat penyembahan berhala.

Setelah tiba di kuil, baginda memecahkan patung-patung berhala tersebut dan membiarkan patung yang terbesar sekali dalam keadaan elok lalu baginda menggantungkan kapak pada leher berhala yang paling besar tersebut untuk berdebat dengan kaum baginda nanti.

Setelah mereka selesai ke majlis keraian tersebut, apabila mereka ingin menghadiahkan makanan kepada berhala-berhala mereka, mereka mendapati kebanyakannya telah hancur.

Lalu mereka dapat mengenal pasti bahawa yang melakukan semua ini adalah seorang pemuda yang bernama Ibrahim iaitu Nabi Ibrahim.

Ketika Nabi Ibrahim dipanggil untuk perbicaraan, mereka bertanya baginda :

“Adakah engkau yang melakukan perbuatan ini ke atas tuhan-tuhan kami wahai Ibrahim?”

Tahukah anda wahai para pembaca sekalian, apa yang dijawab oleh baginda?

Jawapan inilah yang dianggap bahawa Nabi Ibrahim pernah menipu iaitu :

“Bahkan yang melakukannya adalah yang terbesar sekali, maka kamu semua tanyalah ia jika ia boleh berbicara!”

Jelas tak para pembaca sekalian?

Bukankah Nabi Ibrahim yang melakukannya?

Kenapa baginda ‘menuduh’ berhala yang paling besar tersebut?

Adakah ianya satu penipuan?

Jika diperhatikan semula di awal artikel, Nabi Ibrahim mengatakan :

“Aku sakit”

Padahal Nabi Ibrahim tidak mengalami apa-apa kesakitan pun.

Jadi, dalam kisah ini, terdapat 2 situasi yang menyebabkan Nabi Ibrahim dianggap telah menipu.

Pertama, kata-kata baginda :

“Aku sakit”

Kedua, kata-kata baginda :

“Bahkan yang melakukannya adalah yang terbesar sekali, maka kamu semua tanyalah ia jika ia boleh berbicara!”

Sebenarnya, ia bukankah satu penipuan seperti yang dianggap oleh sebahagian orang kerana amat mustahil seorang Nabi melakukan satu penipuan!

Dalam bahasa arab, hal ini diistilahkan sebagai ‘Tawriyah‘ atau ‘Ma’aridh atau Khida‘ yang bererti :

Helah atau mengatakan sesuatu perkara, tetapi yang dimaksudkan adalah selain itu. (Rujuk : الدكتور عبدالعزيز عتيق، علم البديع، صفحة 122-134)

Contoh, perkataan :

“Saudara saya”

Apabila seseorang mengatakan :

“Ini adalah saudara saya”

Biasanya orang yang mendengar akan memahami ia adalah saudara yang mempunyai pertalian darah.

Tetapi orang yang mengatakan tersebut memaksudkannya :

“Saudara seislam”

Jadi, apabila dia berkata :

“Ini adalah saudara saya”,

ia bererti :

“Ini adalah saudara seislam saya”

Begitu juga dengan apa yang berlaku dalam kisah Nabi Ibrahim.

Apabila Nabi Ibrahim berkata :

“Aku sakit”

Dalam bahasa arabnya :

إني سقيم

Pendengar akan faham bahawa Nabi Ibrahim sedang sakit.

Tetapi Nabi Ibrahim sendiri tidak maksudkan begitu, kerana Nabi Ibrahim tidak sakit ketika itu. Apa yang Nabi Ibrahim maksudkan adalah :

“Aku akan sakit apabila aku berhadapan dengan mati”

Dan memang semua manusia akan merasai kesakitan apabila menghadapi kematian.

Kerana dalam bahasa arab, perkataan, إني سقيم membawa 2 maksud :

Pertama : Aku sedang sakit

Kedua : Aku akan sakit

Biasanya orang akan memahaminya dalam konteks yang pertama kerana itulah kaum baginda membiarkan baginda bersendirian untuk tidak menyertai majlis yang mereka semua bakal hadiri.

Jadi, itulah muslihat ataupun helah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim.

Itulah yang kita semua perlu pertahankan bahawa Nabi Ibrahim bukannya menipu, sebaliknya baginda melakukan sedikit helah untuk mengkaburkan mata kaum baginda.

Peristiwa yang kedua adalah peristiwa menghapuskan berhala.

Apabila baginda ditanya oleh kaum baginda, baginda berkata :

“Bahkan yang melakukannya adalah yang terbesar sekali, maka kamu semua tanyalah ia jika ia boleh berbicara!”

Di sini, nampak jelas bahawa Nabi Ibrahim meletakkan syarat untuk menjadikan berhala besar yang melakukannya.

Syaratnya adalah :

“jika ia boleh berbicara”

Jadi, sudah tentulah patung berhala tersebut tidak boleh berbicara!

Kerana patung berhala tersebut tidak berbicaralah Nabi Ibrahim dianggap berhelah dan tidak menipu.

Jadi, kaum baginda tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mereka telah mengesyaki bahawa bagindalah yang telah memusnahkannya!

Lihatlah, betapa hebatnya helah seorang Nabi dan betapa besarnya Rahmat Allah ke atas para Rasul dan Nabi.

Kaedah parenting yang paling perfect adalah parenting Nabi Ibrahim. Baginda didik anaknya sampai Allah pilih anaknya menjadi seorang nabi bahkan Rasul. Ini 3 kaedah parenting Nabi Ibrahim yang mesti kita teladani :

1) Nabi Ibrahim memastikan diri sendiri dan anak yang dikurniakan jauh dari pengaruh buruk kepada akidah

Di dalam kisah yang digambarkan dalam al-Quran, antara perkara dominan yang menyebabkan akidah terpesong di zaman Nabi Ibrahim adalah Al-Asnam iaitu berhala. Jadi, oleh kerana itulah Nabi Ibrahim berdoa :

{وَاجْنُبْنِي وَبَنِيَّ أَنْ نَعْبُدَ الْأَصْنَامَ}

“dan jauhkanlah daku dan anak-anakku dari perbuatan menyembah berhala” (Ibrahim : 35)

Itu zaman Nabi Ibrahim, kalau zaman kita, bukan berhala yang dominan, tetapi paling dominan di zaman kita yang merosakkan akidah anak² adalah wang dan hiburan sosial media.

2) Mengutamakan kualiti solat diri dan juga kualiti solat anak

Bagaimana beratnya perhatian Nabi Ibrahim terhadap solat kita dapat lihat cara baginda berdoa iaitu :

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. (Ibrahim : 40)

Permohonan doa agar dijadikan ‘orang yang mendirikan solat’ dan turut disertakan bersama ‘zuriat’ yang dilafaz oleh Nabi Ibrahim dalam doa baginda tersebut melambangkan beliau sangat mengambil berat terhadap perihal kualiti solat anaknya. Perkataan ‘mendirikan solat’ juga menunjukkan permintaan yang sangat besar dan penting kerana bukan semua manusia boleh memelihara solat.

3) Menanam Tawakkal yang hakiki ke dalam hati anak sehingga anak tak takut walau apapun akan terjadi pada dirinya

Bayangkan apabila Nabi Ibrahim sebut kepada anak kesayangannya bahawa anaknya perlu disembelih, terus anaknya membalas :

يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

“…Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (As-Saffat : 102)

Respon agung seperti itu tidak akan terkeluar jika ibubapa tidak pernah tanamkan Allah ke dalam hati anak-anak. Lafaz hebat itu juga tidak mungkin akan terkeluar jika ibubapa asyik merungut dan tidak bersyukur. Anak seperti Nabi Ismail tidak mustahil dapat dilahirkan jika ibubapa sentiasa menanamkan tauhid yang kukuh ke dalam diri anak-anak.

Ibubapa yang ingin melahirkan anak yang fasih bercakap tentang Allah, anda sangat-sangat disarankan untuk mendapatkan siri buku ‘Saya Sayang Allah’ ini dan ada 12 buku dari pelbagai topik menarik & berkesan untuk nak didik anak kenal Allah.

Boleh terus klik gambar untuk dapatkan buku:

Komunikasi Nabi Yaakob bersama anak di dalam al-Quran merupakan contoh komunikasi yang paling power dan paling mendalam. Mari kita kaji bagaimana Nabi Yaakob berkomunikasi dengan anak baginda sepertimana yang direkodkan di dalam al-Quran.

1. Merespon anak dengan penuh kasih sebelum menjawab atau memberi nasihat

Ketika Nabi Yusuf yang masih kecil memberitahu ayahnya Nabi Yaakob bahawa baginda bermimpi 11 bintang, matahari & bulan, ayahnya merespon :

“Ya Bunayy” (Wahai anakku)

Panggilan sebegini merupakan panggilan yang manja dan lembut untuk anak. Boleh juga guna panggilan seperti :

“Ye sayang” , “Ye adik”

2. Memberi nasihat dan panduan yang berguna dan ‘actionable’

Setelah Nabi Yaakob merespon “Ya Bunayy” baginda terus memberi nasihat yang boleh Nabi Yusuf terus laksanakan iaitu :

“….jangan kamu ceritakan mimpi kamu kepada saudara² kamu..”

3. Menjelaskan sebab yang logik apabila anak minta respon atau jawapan

Nabi Yaakob tidak hanya sekadar memberi nasihat pendek dan terus stop yang boleh membuatkan anaknya tertanya², sebaliknya baginda menjelaskan sebab yang logik kenapa dia tak boleh ceritakan mimpi itu kepada saudara-saudaranya. Ini jawapan Nabi Yaakob :

“…KERANA mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.” (Yusuf : Ayat 5)

Anak-anak diusia kecil mereka perlu dididik dengan kita banyak bercerita kisah atau sesuatu yang baik kepada mereka. Nak cerita perlu pilih bahan yang terbaik dan berkesan.

Ibubapa yang ingin melahirkan anak yang fasih bercakap tentang Allah, anda sangat-sangat disarankan untuk mendapatkan siri buku ‘Saya Sayang Allah’ ini dan ada 12 buku dari pelbagai topik menarik & berkesan untuk nak didik anak kenal Allah.

Boleh terus klik gambar untuk dapatkan buku:





Siapa yang makan sambil tengok phone, gadget atau makan sambil buat benda lain, tolong berhenti. Sebab ada teguran dari Allah yang perlu kita ambil perhatian.

Di dalam ayat 24, surah ‘Abasa, Allah swt berfirman :

فَلْيَنْظُرِ الْاِنْسَانُ اِلٰى طَعَامِهٖٓ

‘Maka manusia itu, hendaklah memerhatikan makanannya.’ 

Lafaz نظرِ bukan sahaja bermaksud ‘melihat’ tapi renungkan dengan mendalam dan memikirkan tentangnya. (Mu’jam al-Wasith).

Kita hanya dapat berfikir sesuatu dengan lebih mendalam, sekiranya kita melihat dalam tempoh lama dan fokus kepada sesuatu itu. 

Dari pemerhatian mendalam itulah, kita dapat memahami dan lebih mensyukuri segala nikmat yang bukan semua orang dapat nikmat sedemikian.

Dapat nampak kebesaran Allah, dalam proses sesuatu makanan itu untuk sampai kepada kita. Bila nampak, tak sanggup kita nak bazirkannya. 

Subhanallah Alhamdulillah Allahuakhbar. 

Setiap perintah Allah, pasti hanya kebaikkan buat hambanya. Sama sama kita berazam untuk menjadi hamba yang lebih baik dari sebelumnya. Moga kita semua, tidak tergolong dikalangan orang orang yang rugi. Aaminnn🤲🏻

Kredit : Erin Adzmi

Seorang pekerja pengawal keselamatan atau sekuriti sebuah masjid di Sungai Buloh telah menarik perhatian warganet disebabkan beliau memiliki banyak koleksi buku yang menarik.

Perkara tersebut membuktikan bahawa minat membaca tidak hanya terbatas pada latar belakang pendidikan atau pekerjaan sahaja.

Meskipun pengawal tersebut bukan seorang ustaz, imam masjid, pensyarah, cikgu, pegawai, atau eksekutif, namun, buku-buku yang dimilikinya adalah dari penerbit-penerbit ternama seperti Patriots Publishing, Srikandi, PTS, The Biblio Press, Nuha, Karangkraf dan pelbagai buku agama dan umum. Beberapa ensiklopedia hadis dan tafsir yang berjilid – jilid juga turut menjadi bacaannya

Antara koleksi yang dimiliki

Pengawal keselamatan ini berusia 32 tahun dan mempunyai lulusan STAM, beliau telah menjadi pengawal keselamatan di masjid tersebut selama 12 tahun.

Meskipun hanya memiliki lulusan STAM, semangat dan kecintaannya dalam membaca telah menginspirasi orang ramai. Katanya, sejak dari sekolah lagi, beliau telah mempunyai kesedaran akan pentingnya membaca dan beliau masih lagi terus membaca sehingga kini.

Dengan melakukan tiga pekerjaan sekaligus serta tinggal di penempatan yang disediakan oleh masjid, dia mampu membeli buku-buku yang beliau inginkan.

Sebagai seorang pengawal, beliau mengakui banyak waktu lapang yang dimiliki. Tambahan pula, beliau lebih mengutamakan membaca daripada terlibat dengan media sosial. Beliau juga memaklumkan bahawa kesemua aplikasi media sosial yang pernah didaftarkannya telah dipadamkan dan hanya aplikasi WhatsApp sahaja dimanfaatkan untuk beliau mendapatkan tajuk buku yang dikongsikan oleh mana-mana individu di WhatsApp.

Koleksi buku sahaja telah menunjukkan keseriusannya dalam meluaskan pengetahuan dan minatnya.

Kisah pengawal keselamatan ini boleh menjadi inspirasi kepada orang ramai bahawa semangat membaca bukannya bergantung pada latar belakang pendidikan atau pekerjaan, tetapi pada kecintaan dan kesungguhan seseorang.

SUMBER

FB Kamarul Faizal

Majlis konvokesyen yang dilaksanakan saban tahun di universiti awam dan swasta memperlihatkan semakin ramai graduan yang berstatus orang kurang upaya (OKU) tidak hanya berjaya menamatkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang, tetapi mendapat keputusan cemerlang.

Dalam setiap kejayaan itu ia disulami dengan keperitan yang terpaksa dihadapi lebih-lebih lagi dengan status yang ‘dibawa’.

Namun, kecekalan dan usaha yang tidak pernah terhenti dalam menimba ilmu serta mengharungi hidup membuktikan bahawa sesiapa pun boleh berjaya.

Selama 15 tahun menjalani kehidupan normal, kemalangan jalan yang mengakibatkan kaki terpaksa dipotong pada bahagian paha cukup perit untuk diterima.

Lebih-lebih lagi bagi seorang yang bukan saja aktif dalam sukan, tetapi juga adalah wakil sekolah dalam bola sepak.

Keadaan itu membuatkan hidup graduan Sarjana Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mior Mohd Firdaus Mior Mohd Fadzli, 27, berada di titik paling bawah dalam hidupnya. 

“Sebagai wakil sekolah dalam sukan bola sepak, kehilangan sebelah kaki cukup memeritkan.

“Dalam tempoh setahun setengah, saya tidak bersemangat. Namun, sudah lumrah manusia. Semangat dalam kehidupan itu datang dan pergi dan itu juga yang saya alami.

“Selepas mendapat kaki palsu iaitu kira-kira lima bulan sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya kembali ke sekolah,” katanya.

Menggunakan kaki palsu untuk bergerak tidak seindah yang dilihat kerana kadangkala ia menyakitkan.

Dengan keadaan sekolah yang ketika itu memerlukan Mior Mohd Firdaus menaiki anak tangga untuk sampai ke sekolah, ia menguji beliau.

Namun, Mior Mohd Firdaus bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan sering memberi semangat dan akhirnya dia berjaya menghabiskan pelajaran di peringkat SPM dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Berpegang kepada prinsip hidup ‘cuba saja kerana hidup ini tidak lama’ dan ‘usah peduli kata orang yang penting kita buat apa yang disukai walaupun berstatus OKU’ ia tidak menghalang Mior Mohd Firdaus menjalani kehidupan seperti orang normal sepanjang pengajian.

“Walaupun berkaki palsu, saya seorang yang aktif. Pelbagai aktiviti yang saya lakukan bersama rakan-rakan sehingga ada kala saya terlupa dengan keadaan diri.

“Rakan-rakan juga sentiasa prihatin dengan keadaan saya, tetapi mereka tidak pernah meminggirkan saya.

“Saya juga bersyukur kerana UPM menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan buat pelajar OKU, sekali gus memudahkan kami menuntut ilmu,” katanya.

Berputus asa itu adalah perkara normal dalam kehidupan pelajar dan Mior Mohd Firdaus juga tidak terlepas dengan situasi itu.

Namun, keadaan itu boleh diatasi dengan baik, sekali gus membuahkan hasil yang tidak disangka.

“Ketika belajar di peringkat ijazah sarjana muda, saya punya rakan-rakan di sekeliling yang sama-sama mengharungi kepayahan dalam pengajian.

“Jadi, segala halangan dan cabaran dapat dilalui bersama terutama dalam pelajaran. Tetapi, ketika di peringkat sarjana, semuanya atas usaha sendiri, sekali gus menuntut kecekalan hati dan usaha sendiri.

“Alhamdulillah, saya boleh mengharunginya dan berjaya menghabiskan pengajian,” katanya.

Dalam kehidupan yang semakin mencabar ini, Mior Mohd Firdaus tidak menafikan ramai golongan muda yang berasakan kehidupan ini sukar.

Namun, katanya, jangan dengar sangat apa kata orang dan buat apa yang dirasakan betul.

“Jangan selalu membandingkan diri dengan orang lain kerana ia akan membuatkan kita tidak bersyukur dengan apa yang kita ada,” katanya.

Kekurangan diri juga tidak pernah menghalang graduan Bacelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga OKU fizikal iaitu kerdil, Mas Nur Jannah Maskop, 25, untuk terus berjaya.

Sebagai insan yang mempunyai kekurangan, menghadapi pelbagai rintangan dan ujian dalam kehidupan sememangnya sangat mencabar.

“Sejak kecil, saya sering diejek. Saja juga malu untuk berkawan dengan orang baru kerana ‘judgmental’ mereka kuat.

“Sehingga ada satu ketika saya menyalahkan diri dan tertanya kenapa Allah ciptakan diri saya pendek. Tak normal macam orang lain,” katanya.

Selain itu, menurut Mas Nur Jannah, kata-kata dusta orang sekeliling, pemilihan dalam membuat keputusan, penggunaan teknologi maklumat (IT) tidak dapat dikuasai dengan baik dan kehilangan insan tersayang (ibu) buat selamanya antara peristiwa yang pernah membuatkan Mas Nur Jannah mahu berputus asa dalam hidup.

“Namun, saya terus bangkit berjuang kerana kasih sayang orang terdekat terutama adik-beradik dan kata-kata nasihat dari luar yang ditemui tanpa sengaja menjadi motivasi kepada diri.

“Saya juga terus melangkah ke hadapan kerana saya mempunyai nilai dan harapan yang perlu dibawa serta dikongsikan bersama orang lain,” katanya.

Menurut anak ke-13 daripada 14 beradik ini, kata-kata dan air mata ibu yang jatuh kerana gembira melihat kemajuan anaknya semakin dewasa dan berdikari menjadi wahana utama kenapa dia perlu berubah, memilih jalan sendiri dan menjadi diri sendiri untuk mengejar kejayaan di dunia serta akhirat.

Berpegang kepada prinsip ‘gunakan akal waras dan hati bersih serta iman dalam melakukan sesuatu perkara’ dan ungkapan azimat ‘kekurangan yang ada pada diri adalah kelebihan yang perlu diguna dan dikuasai’ juga ibarat peneman Mas Nur Jannah dalam mengharungi segala cabaran yang dihadapi.

Oleh itu, kepada anak muda di luar sana, nasihat Mas Nur Jannah, bermimpi sehingga ‘menciptanya’. Teruskan dengan angan-angan, hasilkan dengan tindakan.

“Jadi apa pun selagi ia baik untuk diri, keluarga, agama dan negara.

“Jika ada rasa putus asa, tidak mengapa. Tukarkan rasa itu kepada semangat untuk menghadapi ujian ini. Percayalah, anda tidak keseorangan kerana ada orang yang masih bersamamu,” kata Mas Nur Jannah yang kini bekerja sebagai pembantu guru.

Sementara itu, bagi Amiruddin Abdullah, 26, pula, dunianya menjadi gelap secara tiba-tiba apabila disahkan mengalami masalah saraf di kedua-dua mata sejak berusia setahun bukan penghalangnya berjaya dalam bidang diceburi.

Menurut pelajar jurusan Sejarah dan Tamadun Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanus

iaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini kekurangan itu juga tidak menghalangnya untuk aktif dengan aktiviti kokurikulum dan menjadi menjadi ahli jawatankuasa dalam beberapa persatuan yang disertai.

“Sejak kecil, saya sudah dididik untuk menerima kekurangan yang dimiliki, sekali gus membantu saya untuk lebih berdikari serta menyesuaikan diri dengan mudah dan mampu berjaya seperti individu normal lain,” katanya.

Ditanya bagaimana menjalani rutin harian sebagai mahasiswa, Amiruddin berkata, dia memanfaatkan kemudahan teknologi yang banyak membantunya dalam pelajaran.

“Sebelum kuliah bermula, saya meminta nota lebih awal daripada pensyarah untuk saya mendengar melalui perisian khas pembaca skrin selain merakam menggunakan perakam suara. Jika ada sebarang kemusykilan, saya terus rujuk pensyarah. Pensyarah di sini sentiasa bersedia membantu.

“Kemudahan yang disediakan di UIAM juga banyak membantu pergerakan saya di sini.

“Saya akui bukan pelajar yang mempunyai daya ingatan yang kuat. Oleh itu, saya sentiasa buat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan,” katanya.

Menurutnya, sejak kecil, ibu bapanya banyak berkorban memastikan segala keperluannya sebagai OKU dipenuhi dengan mengutamakan pelajaran.

“Saya masih ingat, ketika di sekolah rendah, ibu bapa berusaha mencari sekolah khas untuk saya belajar bersama rakan yang senasib. Lebih mengharukan apabila mengetahui ada sekolah bersesuaian yang agak jauh dari rumah mereka sanggup berkorban berpindah dari Gemas dan menyewa di Seremban, Negeri Sembilan supaya lebih mudah berulang-alik.

“Pengorbanan ibu bapa ini mendorong saya belajar bersungguh-sungguh untuk membalas kepercayaan yang diberikan selama ini.

“Justeru, kepada ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya, terima mereka dengan hati terbuka dan berusaha memastikan keperluan dipenuhi. Jangan pernah berputus asa dan tidak anggap anak kurang upaya adalah penamat segala-galanya.

“Bagi OKU, jangan anggap kekurangan diri itu melemahkan diri dan cuba sesuaikan diri kerana orang normal juga mempunyai cabaran tersendiri.

“Kita juga mempunyai hak seperti orang normal lain. Dalam hal ini, orang yang normal boleh membantu dengan tidak menggunakan kemudahan yang disediakan supaya OKU juga dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Apabila Allah memberitahu kepada malaikat bahawa Dia akan menjadikan seorang khalifah di muka bumi, lalu malaikat bertanya kepada Allah :

“Adakah Engkau hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah?”

Lalu Allah menjawab :

“Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”

Kalau kita perhatikan ayat di atas, seolahnya kita akan memahami bahawa ia adalah satu perdebatan antara malaikat dan Allah. Bukan! Ia sebenarnya bukan perdebatan!

Adakah perdebatan boleh berlaku antara makhluk dengan Penciptanya?

Layakkah dialog itu dinamakan suatu perdebatan?

Cuba perhatikan…

Bukankah Allah telah menciptakan malaikat sebagai hamba yang taat akan perintahNya, tidak akan mengingkariNya, tidak bercanggah dengannya, dan tidak memusuhiNya?

Ya. Lihatlah firman Allah :

“Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan

Berdasarkan ayat suci di atas, para malaikat sentiasa menerima arahan dengan baik, termasuklah tidak menyoal tentang penciptaan khalifah tersebut.

Tapi, apakah yang dimaksudkan dengan pertanyaan tersebut?

Jawapannya adalah…

Para malaikat bertanya sebegitu bukannya kerana ingin berdebat atau tidak berpuas hati dengan kenyataan Allah tersebut, akan tetapi mereka ingin mengetahui apakah hikmah disebalik penciptaan seorang manusia sebagai khalifah dan juga untuk menambahkan lagi ilmu dan keyakinan mereka terhadap penciptaan itu.

Bukankah ianya dibenarkan sebagaimana dilakukan oleh datuk kita Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam?

Mereka tahu dan yakin penciptaan itu pasti terdapat hikmah di sebaliknya tetapi mereka tidak tahu apakah hikmah yang sebenar-benarnya maka timbullah keinginan mereka untuk bertanya kepada Allah untuk menambahkan lagi keyakinan mereka.

Tafsiran kepada ayat di atas seolah-olahnya mereka mengatakan :

‘’Beritahulah wahai Tuhan kami tentang hikmah sebenarnya tentang penciptaan Adam agar kami dapat menambahkan ilmu dan keyakinan kami”

Kerana itulah Allah menjawab :

“Sesungguhnya Aku lebih mengetahui (tentang hikmahnya) akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”

Maha Suci Allah yang menjadikan para malaikat sungguh beradab dan taat..

Rujuk :
Mawaqif Al-Anbiya’ Fil Quran, Dr. Salah Abdul Fattah Al-Khalidi
Surah Al-baqarah, 30
Surah At-Tahrim, 6