Loading...

Siapa sangka, ikon paling berpengaruh di Timur Tengah ini mempunyai masa lalu yang gelap.

Lihat perubahannya:

Gambar kiri : Pada tahun 1994 (21 tahun), baru pertama kali beliau mendirikan solat walaupun sudah dewasa. Pada tahun 2000 (27 tahun), beliau mula meninggalkan rokok.

 

Gambar kanan : Beliau telah menerima anugerah pengacara terbaik di negara Arab dan kesemua rancangan dan program TV yang dikendalikannya adalah untuk memberi kesedaran tentang Islam, kehidupan dan pemuda.

Siapa beliau?

Beliau ialah Ahmad Mazin Al Shugairi dari Arab Saudi dan merupakan seorang pengacara terkenal dan paling berpengaruh di kalangan negara-negara Arab. Rancangannya sarat tentang kesedaran tentang Islam, adab, dan potensi pemuda.

Kepada sahabat-sahabat yang membaca penulisan ini.

Seteruk mana pun kita sekarang, janganlah kalian berputus asa. Kita pasti dapat berubah menjadi insan yang lebih baik dan berguna sebagaimana lelaki ini.

Kerana Allah telah berjanji di dalam al-Quran :

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. (Al-Ra’d : Ayat 11).

Maka mulakan langkah kalian, inshaAllah perubahan besar pasti menyusul.

Surah Al-Fatihah bukan sekadar pembuka kitab, tetapi ia adalah teman setia setiap Muslim sehingga ke akhir hayat. Bayangkan, sekurang-kurangnya 17 kali sehari surah ini dibaca dalam solat fardu:

  • 2 kali ketika Subuh
  • 4 kali ketika Zohor
  • 4 kali ketika Asar
  • 3 kali ketika Maghrib
  • 4 kali ketika Isyak

Fikirkan sejenak betapa besarnya pahala yang mengalir jika anak kita mampu membaca surah ini hasil didikan tangan kita sendiri. Selagi anak itu melaksanakan solat sepanjang hidupnya, selagi itulah “saham” akhirat buat ibu bapa terus berkembang, walaupun selepas kita sudah tiada. Ia adalah ilmu bermanfaat yang tidak akan putus ganjarannya.

Bilakah Waktu Terbaik Mula Mengajar?

Sebenarnya, benih cinta Al-Quran boleh disemai sejak anak belum pandai berkata-kata lagi. Walaupun mereka belum mampu membalas ucapan kita, proses “serapan” (input) sedang berlaku dengan sangat aktif.

Apabila anak mula menguasai kosa kata dan belajar menyebut patah perkataan, itulah masanya untuk kita lebih konsisten memperdengarkan Al-Fatihah secara intensif. Jangan terkejut jika satu hari nanti, mereka tiba-tiba mampu menyambung ayat yang kita baca dengan lancar!

Mendidik anak kecil memerlukan kreativiti dan kesabaran. Berikut merupakan 3 teknik mudah ajar Al-Fatihah untuk anak kecil yang boleh diamalkan di rumah:

1. Perdengarkan Bacaan Dalam Solat

Bagi ibu yang biasanya melaksanakan solat di rumah, ambil peluang untuk membaca secara Jahar terutamanya pada dua rakaat pertama solat Subuh, Maghrib, dan Isyak. Apabila anak sering mendengar rutin ini, mereka akan faham secara semula jadi bahawa surah ini adalah “nadi” dalam ibadah seharian.

2. Jadikan Syarat Sebelum ‘Screen Time’ atau Ganjaran

Kita boleh jadikan bacaan Al-Fatihah sebagai “kunci” sebelum mereka mendapat apa yang diinginkan. Contohnya, sebelum menonton televisyen, bermain tablet, atau menikmati snek kegemaran:

  • Anak: “Ibu, nak tengok kartun boleh?”
  • Ibu: “Boleh, jom kita baca Al-Fatihah sama-sama dulu.”

Mulakan dengan bacaan bersama. Pada mulanya, mungkin mereka hanya mengikut hujung-hujung ayat sahaja. Tidak mengapa. Lama-kelamaan, mereka akan mampu menghafal keseluruhan surah tanpa rasa terbeban kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin yang menyeronokkan.

3. Manfaatkan Waktu Di Dalam Kenderaan

Suasana dalam kereta adalah waktu emas untuk anak-anak menyemak bacaan kita. Daripada membiarkan perjalanan berlalu sepi, jadikan ia sesi ‘murottal’ santai bersama ibu dan ayah.

Semoga Allah mudahkan urusan kita dalam mendidik permata hati dengan cahaya Al-Quran.

Baru-baru ini viral tentang seorang Doktor Falsafah dalam sebuah podcast bahasa Arab yang mengupas tajuk tentang Tadabbur al-Quran sehingga mencecah lebih 2 juta tontonan hanya dalam beberapa hari sahaja.

Beliau membawa kupasan yang sungguh menarik perhatian orang ramai terutamanya masyarakat di dalam dunia Arab.

Tutur kata dan isi unik serta penuh ketokohan yang terucap di bibir itu perlu diberi perhatian kerana ia bukan tersemat dari individu biasa, bahkan sudah pastinya telah mempunyai latar belakang pendidikan yang luar biasa.

Beliau ialah Dr. Nayef bin Nahar yang merupakan Pengarah di Pusat Ibn Khaldun bagi Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Qatar. Selain itu, beliau juga merupakan Presiden Yayasan Wa‘i untuk Kajian dan Penyelidikan.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari Universiti Qatar pada tahun 2008.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dengan kepujian cemerlang pada tahun 2011 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dengan kepujian cemerlang pada tahun 2014. Tesis bagi kedua-dua peringkat tersebut berkaitan dengan perbankan Islam.

Di samping itu, Dr. Nayef bin Nahar juga memperoleh satu lagi ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2018 dalam bidang Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dengan tesis bertajuk mengenai unsur Thabat dan Mutaghayyirat dalam sistem demokrasi.

Beliau telah menghasilkan sembilan buah buku dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya: Dari Sekularisme ke Kreasionalisme, Pelokalan Interaktif dalam Sains Sosial, Perbankan Islam di Negara Qatar, Pengenalan kepada Hubungan Antarabangsa, Demokrasi Sebagaimana Adanya, dan Dakwaan Keterikatan Logik antara Islam dan Sekularisme.

Tonton video beliau di sini:

[fvplayer id=”67″]

Selain itu, beliau mempunyai kira-kira empat belas artikel ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal akademik yang berwasit, antaranya: Istiqra’ Maknawi menurut al-Shatibi, Metodologi Spinoza dalam Berinteraksi dengan Teks Agama dan Isu Penggunaannya dalam Konteks Islam, Mekanisme Syariah bagi Pembentukan Modal Cawangan Islam, dan Ke Arah Metodologi Cadangan untuk Pengasasan Ilmu al-Istighrab.

Dr. Nayef turut mengemukakan satu teori baharu dalam bidang Hubungan Antarabangsa yang dinamakan “Lengan Pencegah (al-Dhira‘ al-Radi‘ah)” dan memperoleh hak milik intelektualnya pada 7 Februari 2016.

Rujuk:

orcid.org

Pernah tak anda rasa hidup cepat stress, fikiran tak tenang, dan emosi tak stabil?

Banyak orang percaya zikir hanya sekadar ibadah yang mesti kena buat, lepas tu selesai. Tapi… apa kata sains sendiri menunjukkan zikir betul-betul memberi kesan kepada otak, emosi dan kesihatan mental kita?

Zikir bukan amalan yang tiada tujuan. Terdapat kesan biologikal dan psikologikal yang boleh diterangkan melalui kajian moden. Ini kajiannya;

1) Zikir Menenangkan Hati & Mengurangkan Stress

Dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ ‎﴿٢٨﴾‏
“…Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati menjadi tenang.”

Surah Ar-Ra’d (13:28)

Ini bukan sekadar ayat indah. Kajian menunjukkan bahawa aktiviti berulang seperti zikir mampu menurunkan kadar hormon stress (cortisol), memberi rasa tenang dan fokus kepada pemikirannya.

2) Zikir Baik Untuk “Kecerdasan Emosi” (Emotional Intelligence)

Kajian akademik mendapati bahawa zikir membantu menguatkan emotional regulation iaitu kemampuan untuk mengawal emosi, berempati dan tenang dalam situasi sukar.

Ini bermakna:

✔ Seseorang itu akan kurang rasa cepat marah

✔ Ia lebih tenang bila diuji

✔ Akan jauh dari emosi negatif

Semua ini bukan sekadar “orang kata”… ilmu sains psikologi menyokongnya.

3) Zikir Bantu Fokus dan Ingatan Lebih Tajam

Dalam konteks pembelajaran dan kehidupan seharian, amalan zikir membantu menenangkan fikiran dan memperbaiki fokus dan membina fungsi penting otak untuk ingatan dan tumpuan.

Bila fikiran tenang dan bebas dari gangguan stress, otak boleh berfungsi lebih efektif. Tidak hairanlah kalau ramai pelajar yang lebih mudah buat ulang kaji apabila menjadikan zikir sebagai amalan mereka berbanding pelajar yang tidak mengamalkannya.

4) Zikir Boleh Turunkan Risiko Masalah Kesihatan Mental

Penelitian menunjukkan bahawa zikir dan doa memberi impak positif terhadap kesihatan mental termasuklah mengurangkan kebimbangan, stres, dan gejala kemurungan.

Kajian lain juga menunjukkan bahawa zikir di kalangan warga tua meningkatkan kesejahteraan mental lebih 1.8 kali berbanding yang tidak terlibat.

Ini jelas menunjukkan: zikir bukan sekadar ritual agama, sebenarnya ia bertindak sebagai terapi mental yang sangat berkesan.

5) Zikir Menambah Rasa Syukur & Ketenteraman Jiwa

مَثَلُ الَّذِي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذِي لَا يَذْكُرُ رَبَّهُ مَثَلُ الْحَيِّ وَالْمَيِّتِ
“Perumpamaan orang yang berzikir kepada Tuhannya dan orang yang tidak berzikir kepada Tuhannya adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.”

Riwayat al-Bukhari (no. 6407)

Hadis ini bukan sekadar motivasi… Ia menunjukkan bahawa zikir memulihkan jiwa dan memberi rasa syukur berterusan dalam kehidupan.

Sains moden seterusnya mengaitkan praktik zikir dengan kesejahteraan emosi dan hubungan sosial yang lebih positif, sebab zikir membuat kita lebih fokus pada nilai hidup dan terima nikmat.

Zikir bukan sekadar amalan rohani semata, bahkan turut disokong oleh kajian ilmiah sebagai jalan penyembuhan terbaik untuk penyakit mental dan emosi. Ia bukan satu “trend”, tetapi cara hidup yang memberi manfaat sebenar seterusnya dapat melapangkan dada dan hati kita. Kelapangan dada pula suatu yang penting untuk dimiliki.

Kelapangan dada bukan mudah untuk dibina kerana ia melibatkan anggota dalaman iaitu hati. Terdapat 10 faktor yang akan menyebabkan seseorang itu akan memperoleh dada, hati dan jiwa yang lapang di dalam sebuah buku berharga dan sangat disarankan iaitu Agar Dadamu Menjadi Lapang.

Rujuk :

  1. Halal Competition
  2. Dhikr.tv
  3. Alhayat

Dalam kehidupan moden hari ini, banyak perkara yang dahulunya dianggap salah kini mula diterima sebagai sesuatu yang biasa. Perbuatan maksiat tidak lagi dipandang sebagai kesalahan, sebaliknya dinormalisasikan dalam masyarakat. Hiburan melampau, pergaulan bebas, penipuan dalam perniagaan, dan pelbagai lagi bentuk dosa semakin menjadi kebiasaan. Hakikatnya, dosa tetap dosa walaupun ramai yang melakukannya.

Allah SWT menciptakan manusia dengan fitrah suci dan memberi panduan melalui al-Quran serta sunnah Rasulullah SAW. Maka, menjadi tanggungjawab kita sebagai Muslim untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan meninggalkan segala perbuatan yang diharamkan oleh-Nya.

3 perkara yang kita perlu faham dan sedar supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang menormalisasikan maksiat.

1. Dosa Tidak Akan Menjadi Halal Walaupun Ramai Yang Buat

Allah SWT mengingatkan dalam al-Quran bahawa kebenaran bukanlah sesuatu yang ditentukan oleh majoriti, tetapi oleh wahyu yang diturunkan-Nya:

وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ ‎﴿١١٦﴾

“Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan belaka, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.”

Hanya kerana sesuatu amalan itu banyak dilakukan tidak bermakna ia menjadi benar atau halal. Kita perlu menilai sesuatu berdasarkan hukum Allah, bukan berdasarkan pandangan manusia yang terbatas.

2. Maksiat yang Dinormalisasikan Akan Mengundang Azab Allah

Sejarah telah menunjukkan bahawa apabila suatu kaum secara terbuka melakukan maksiat tanpa rasa bersalah, azab Allah pasti menimpa mereka. Contohnya, kaum Nabi Lut yang menghalalkan perbuatan keji akhirnya dihancurkan oleh Allah SWT:

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ‎﴿٨٠﴾‏

“Dan (ingatlah) ketika kaum Lut berkata kepada kaumnya: ‘Sesungguhnya kamu benar-benar melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini sebelum kamu.”

Hari ini, kita melihat perbuatan maksiat semakin terbuka—hiburan yang melampau, aurat yang didedahkan tanpa rasa malu, dan pergaulan tanpa batasan. Jika perkara ini dibiarkan, bimbang kita akan mendapat nasib yang sama seperti kaum terdahulu yang dimurkai Allah.

3. Tidak Menegur Maksiat Bererti Bersubahat

Sebagai Muslim, kita bertanggungjawab menegur kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya (kekuasaan), jika tidak mampu maka dengan lisannya (nasihat), dan jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.”

Jika kita hanya berdiam diri dan membiarkan kemungkaran berleluasa, kita sebenarnya telah bersekongkol dengan kejahatan tersebut. Peranan kita adalah menyampaikan kebenaran dengan hikmah agar masyarakat kembali kepada jalan yang benar.

Kita tidak boleh membiarkan maksiat menjadi perkara biasa dalam masyarakat. Dosa tetap dosa, walau ramai yang melakukannya. Sebagai hamba Allah, kita harus berusaha menghidupkan kembali kesedaran agama dalam diri dan keluarga serta mengajak orang lain untuk menjauhi perkara yang dilarang.

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan untuk menegakkan kebenaran, menjauhi keburukan, dan memelihara hati kita daripada mencintai perkara yang dimurkai-Nya.

“Ya Allah, lindungilah kami daripada fitnah dunia dan akhirat. Kurniakanlah kami hati yang takut kepada-Mu dan keimanan yang teguh. Ampunkan dosa-dosa kami dan bimbinglah kami ke jalan yang benar.”

Amin, ya Rabbal ‘alamin.

Rujukan:

  • Surah al-An’am: 116
  • Surah al-A’raf: 80
  • Sahih Muslim, Hadis No. 49, oleh Imam Muslim.

Dalam dunia hari ini, lagu, video dan filem menjadi sebahagian besar daripada kehidupan manusia. Namun, para ulama terdahulu telah menyatakan bahawa melibatkan diri dalam perkara yang melalaikan khususnya mendengar lagu boleh menanamkan sifat munafik dalam hati seseorang.

فعن ابن مسعود رضي الله عنه قال: الغناء ينبت النفاق في القلب كما ينبت الماء الزرع.

Maksudnya : Daripada Ibnu Mas’ud r.a. beliau berkata : Nyanyian akan menumbuhkan sifat munafik di dalam hati sebagaimana air menumbuhkan tanaman.

Manusia secara fitrah cenderung untuk membiasakan diri dengan perkara yang sering dilakukan. Jika seseorang sentiasa mendengar lagu, menonton filem atau video yang melalaikan maka jiwanya akan terbiasa dengan rentak hiburan tersebut sehingga menjadikannya satu keperluan dalam kehidupannya.

Sebaliknya, seorang Muslim seharusnya mempunyai prinsip yang teguh dalam kehidupannya. Jika hatinya dipenuhi dengan Al-Quran, maka tiada ruang dalam hatinya untuk perkara yang melalaikan.

Antara salah satu cara yang berkesan untuk menyelamatkan diri kita daripada terleka dengan hiburan berlebihan adalah dengan menggunakan satu kaedah :

Menggantikan hiburan melampau dengan Al-Quran secara Berperingkat

Jlika seseorang telah terbiasa mendengar muzik atau menonton filem mungkin merasa sukar untuk meninggalkannya serta-merta. Jadi, pendekatan yang lebih berkesan adalah dengan menggantikannya secara berperingkat.

Sebagai contoh, jika seseorang mendengar lagu sehingga 30 minit setiap hari, dia boleh mengurangkannya kepada 20 minit dan menggantikan 10 minit itu dengan bacaan buku, artikel atau mendengar Al-Quran.

Pada waktu lain pula, dia boleh mengurangkan lagi masa mendengar lagu kepada 15 minit dan menambah masa mendengar Al-Quran.

Dengan cara ini, akhirnya seseorang akan lebih tertarik kepada keindahan bacaan Al-Quran dan meninggalkan hiburan tersebut secara semula jadi.

Pendekatan ini tidaklah bermaksud mendengar lagu atau menonton filem tidak syarak itu digalakkan oleh Islam kerana hukum halal dan haram telah ditetapkan oleh Allah. Namun, ini adalah satu kaedah untuk membantu seseorang kembali kepada ajaran Islam dengan lebih mudah dan berkesan.

Kesimpulannya, setiap Muslim harus bertanya kepada dirinya sendiri: Jika Rasulullah SAW datang ke rumah kita, adakah Baginda akan duduk bersama mereka yang mendengar lagu, peminat filem atau mereka yang membaca dan mendengar Al-Quran?

Jawapan kepada soalan ini boleh menjadi kayu ukur bagi kita dalam menentukan pilihan dalam kehidupan. Islam adalah agama yang mendidik dan memberikan panduan untuk kehidupan yang lebih baik.

Maka, marilah kita berusaha untuk memahami Islam dengan betul, memperbaiki kefahaman kita, dan menggantikan perkara yang melalaikan dengan mendekatkan diri kepada Allah melalui Al-Quran dan ajaran-Nya.

Sumber :

  1. Mawārid aẓ-Ẓamʾān li Durūs az-Zamān, jld. 5, hlmn. 168

Ingatkah anda tentang kisah seorang raja yang sangat zalim bernama Numrud ?
Allah Menyebuatnya di dalam al-quran agar manusia meneliti tentang kisah hebat ini yang melibatkan nabi Ibrahim dan Raja Numrud yang merupakan Raja Iraq ketika itu.

Ketika Numrud meminta untuk berdebat dengan nabi Ibrahim tentang Allah, ada satu Kehebatan Allah yang tiada sesiapa pun dapat melakukannya bagi mereka yang bergelar makhluk. Ia merupakan tamparan kepada keegoan Numrud yang tidak mahu menerima kebenaran yang nyata.

Apabila nabi Ibrahim menceritakan tentang Kekuasaan Allah Yang Mampu Menghidupkan serta Mematikan dengan berkata :

“Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan”

Numrud dengan loyar buruknya berkata :

 “Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”

Lalu Numrud meminta pembantunya membawakan dua orang kepadanya dan membunuh salah seorang daripada mereka serta membiarkan seorang lagi untuk terus hidup!

Sebenarnya jawapan yang diberikan Numrud itu tidak menjawab langsung kenyataan nabi Ibrahim tentang Allah bahkan menampakkan kebodohannya sendiri.

Nabi Ibrahim tidak sesekali goyah dengan peristiwa pembunuhan Numrud ke atas orang tersebut walaupun ia merupakan satu peristiwa yang sungguh menakutkan bagi manusia yang berada di sekeliling mereka ketika itu.

Lalu dengan hidayah yang diberikan Allah kepada nabi Ibrahim, baginda memberi hujah yang tidak lagi memberi ruang kepada Raja Numrud untuk ‘loyar buruk’

Nabi Ibrahim berkata :

“Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?”

Allahuakbar!

Jawapan yang diberikan nabi Ibrahim tersebut membuatkan Numrud dan orang-orang yang berada dalam kebathilan tercengang diam sehingga ternganga mulut mereka kerana merasakan ia bukannya jawapan yang biasa!

Namun begitu, Numrud tetap berkeras hati untuk menerima kebenaran yang disampaikan oleh nabi Ibrahim sehingga akhirnya dia mati dalam keadaan yang sungguh hina ketika Allah mengutuskan seekor nyamuk ke dalam telinganya.

Jika kita meneliti dengan lebih mendalam tentang kisah ini, kita akan dapati bahawa kebenaran itu tidak akan menjadi benar bagi mereka yang menutup pintu hati mereka daripada dimasuki oleh kebenaran.

Sehebat mana pun hujah atau peristiwa yang berlaku di depan mata, jika ia mengunci pintu hatinya dengan kunci keegoan dan keangkuhan serta tidak membenarkan untuk ia memasuki ke dalam hati, maka bagaimana lagi caranya?

Oleh kerana itulah hidayah merupakan satu-satunya pemberian yang Allah Kurniakan kepada hambaNya walaupun mereka menutup pintu hati mereka. Hidayah yang Allah telah Kurniakan kepada kita jangan sesekali kita menghalaunya keluar dari diri kita kerana jika kita berbuat demikian kemungkinan ia tidak lagi pulang kepada kita sehingga menyebabkan diri kita akan dimurkai olehNya. Wallahua’lam.

Al-quran adalah mukjizat yang diturunkan Allah kepada nabi Muhammad S.A.W sebagai bukti bahawa apa yang berlaku di dunia ini adalah atas kehendak-Nya.
Di dalam al-quran, Allah berfirman dalam surah al-baqarah ayat 26 :

{إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَن يَضْرِبَ مَثَلًا مَّا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا}

Maksudnya :

‘’Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang berada di atasnya’’

Cuba anda perhatikan perkataan فما فوقها pada ayat di atas dan perhatikan maksudnya sama. Sebenarnya, dalam kaedah bahasa arab, ia membawa kepada dua maksud yang berbeza.

Para ulama membahagikannya kepada dua maksud :

Pertama : Suatu yang berada di atasnya (nyamuk)

Kedua : Suatu yang lebih besar daripadanya

Ramai ulama terdahulu yang mentafsir perkataan فما فوقها dengan maksud ‘’suatu yang lebih besar daripadanya’’ dan itulah kebolehan mereka kerana ilmu itu milik Allah, ada ilmu yang Allah dedahkan dan ada yang Allah sembunyikan dan ada pula yang Allah dedahkan selepas beberapa kurun lamanya lalu ditemui oleh generasi sesudah itu.

Bagi ayat tersebut, terdapat di kalangan para ulama tafsir yang tidak pasti dengan tafsiran mereka lalu mereka menafsirkan dengan cara selamat iaitu mereka menyebutkan kedua-dua maknanya sekali seperti yang telah diterangkan di atas.

Wallahua’lam, kemungkinan bukan itu yang Allah Kehendaki, tetapi apa yang dikehendaki Allah sebenarnya adalah ‘’suatu yang berada di atasnya’’ atapun ‘’suatu yang lebih kecil daripadanya’’

Semua keajaiban ini adalah berdasarkan penemuan-penemuan yang telah didedahkan oleh para saintis setelah mereka meneroka menggunakan peralatan yang canggih ke atas seekor nyamuk.

Mereka telah menemui dalam kajian mereka bahawa di atas setiap ekor nyamuk terdapat seekor binatang kecil yang dipanggil sebagai Mites (Hama). Ia adalah seekor binatang yang lebih kecil daripada nyamuk dan berwarna merah. Tugas binatang tersebut adalah untuk memberi tenaga kepada nyamuk untuk terus bekerja.

3929621945_939ab77cf9_oCaptureM
Kita tidak dapat melihat binatang tersebut dengan mata kasar kita melainkan dengan menggunakan peralatan yang canggih dan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja.

Bagaimanakah kebenaran ini boleh berlaku sedangkan Allah telah berfirman semenjak 1400 tahun lagi?

Inilah mukjizat yang menyaksikan bahawa al-quran itu adalah kebenaran yang tidak sesekali boleh ditolak bahkan sesiapa pun mesti menerimanya!

Subhanallah Yang telah menciptakan segala-galanya.

Sumber gambar :

http://www.masrawy.com, kaheel7.com, onedream.com.my

Share this:

Sejak kecil kita dikongsi dengan kisah-kisah popular dari Al-Quran dan Sirah Nabi. Kisah burung Ababil yang melontarkan batu kepada tentera Abrahah adalah antara kisah yang sudah kita dengar sejak kecil lagi. Sehingga kini, adakah kisah ini sebenarnya BENAR?

Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim menjawab persoalan ini dalam bukunya Berjalan… Melihat… Mentafsir… Ceritera Wartawan Al-Quran dalam bab Hukum Fizik dan Batu Pemusnah Abrahah.

Dalam berdepan kisah burung Ababil dan tentera Abrahah ini, kesilapan kita ketika berinteraksi dengan Al-Quran adalah berpunca dari kekurangan peralatan saintifik.

Selalu yang kita dengar dari kisah ini, tentera bergajah Abrahah ingin memusnahkan Kaabah telah musnah direjam batu dari neraka yang dibawa oleh burung-burung Ababil.

Selepas dilakukan kajian penafsiran yang mendalam melalui kaedah bahasa, sebenarnya, tentera Abrahah musnah hanya dengan batu biasa yang bukan berasal dari neraka.

Perhatikan hasil analisis berikut:

(1) Perkataan Ababil pula bukanlah nama jenis burung seperti helang ataupun pipit. Tetapi bermaksud kumpulan burung yang datang secara berkumpulan dari segenap penjuru.

(2) Perkataan burung dalam surah ini disebut secara umum dan bukan spesifik. Dalam bahasa Arab, sebarang kata nama yang tidak disertakan dengan huruf alif dan lam membawa maksud yang umum, iaitu apa sahaja jenis burung. Burung yang merejam tentera Abrahah adalah dari pelbagai jenis burung yang muncul dalam pelbagai saiz. Kesemua burung ini mampu terbang pada ketinggian yang berbeza dan membawa saiz batu yang berbeza.

(3) Perkataan Tarmi bermaksud melontar atau merejam bukannya menjatuhkan. Lontaran selalunya disertakan dengan rejaman menggunakan tenaga yang kuat. Oleh itu, tenaga rejaman oleh sekumpulan burung itu menjadi semakin kuat, semakin laju, dan berbahaya apabila ditambah dengan daya tarikan graviti. Menurut ilmu fizik, kelajuan akan berganda apabila dipengaruhi kuasa graviti.

(4) Perkataan Sijjil bukan bermaksud neraka, yang kita faham batu yang digunakan oleh burung Ababil adalah batu dari neraka. Tetapi, batu itu adalah batu yang bercampur tanah yang keras pejal kerana dibakar. Logiknya ia dibakar oleh sinaran terik matahari di padang pasir.

Sebenarnya, tentera bergajah Abrahah dimusnahkan oleh rejaman pelbagai saiz batu keras yang dilontar oleh pelbagai jenis burung dari tahap ketinggian serta kelajuan yang berbeza. Ia seumpama hujanan peluru dari langit yang digerakkan oleh hukum fizik dan graviti.

Keadaan menjadi semakin teruk apabila gajah Abrahah yang kesakitan terkena hujanan batu, terus mengamuk dan memijak tentera yang jatuh diatas tanah berhampirannya.

Jika tidak percaya dan kurang yakin, kita boleh buat sendiri eksperimen dengan menjatuhkan sebiji batu sebesar penumbuk dari bangunan setinggi 10 tingkat dan lihatlah kelajuannya.

Sumber Rujukan : Tafsir Al-Jalalain

Dalam dunia yang canggih dan kebergantungan manusia dengan teknologi ini, semakin susah kita menemui individu yang mempunyai ingatan yang kuat terutamanya terhadap bahan bacaan seperti buku, al-Quran, nombor telefon dan sebagainya.

Namun, ada beberapa individu tertentu yang tidak terkesan dengan perkembangan teknologi terhadap ingatan mereka. Seolah-olah mereka hidup di zaman nenek moyang kita yang hidup tanpa teknologi canggih. Salah seorang daripada mereka ialah Saad bin Ahmad Jalaluddin, seorang anak muda yang berasal dari Tajikistan. Di usia yang masih kecil, Saad telah menunjukkan tekad yang kuat dalam menuntut ilmu agama dan bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang ulama besar.

Saad Bin Ahmad Jalaluddin: Mula Menuntut Ilmu Sejak Usia Kecil

Saad dilahirkan di Tajikistan dan kini berusia 13 tahun. Sejak kecil lagi, Saad sudah mempunyai minat yang mendalam terhadap ilmu Islam. Beliau memulakan perjalanan menuntut ilmu pada usia yang sangat muda, iaitu pada usia 3 tahun. Dengan bimbingan daripada ayahnya, Saad berjaya menghafal al-Quran sepenuhnya pada usia 7 tahun ketika beliau berada di Rusia.

Sebuah pencapaian yang sangat mengagumkan bagi seorang kanak-kanak seusianya.

Perjalanan Ilmu Saad: Hafazan dan Pengajian

Saad tidak berhenti setakat menghafaz al-Quran. Beliau meneruskan usahanya dengan menghafaz beberapa karya ilmiah yang penting dalam dunia Islam. Di antaranya, Saad menghafaz 40 hadis Nawawi, kitab al-Jazariyah, serta kitab Al-Jam’ Bain al-Sahhain oleh Sheikh Yahya bin Abdul Aziz Al-Yahya.

Selain itu, Saad turut menghafaz kitab Zawaid al-Sunan al-Khamsah yang juga ditulis oleh Sheikh Yahya Al-Yahya. Kitab ini mengandungi hadis-hadis daripada lima kitab hadis besar: Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasa’i, Ibnu Majah, dan ad-Darimi. Pencapaian ini menunjukkan dedikasi dan komitmen Saad terhadap penguasaan ilmu Islam.

Tidak cukup dengan itu, Saad juga telah menghafaz beberapa matan penting dalam ilmu bahasa Arab dan syariah, antaranya Alfiah Ibnu Malik, al-Ajurrumiyah, Mulhatul I‘rab, dan ’Unwanul Hikam. Pencapaian Saad dalam menghafaz karya-karya ilmiah ini menggambarkan ketekunan dan keazaman yang luar biasa.

Mengajar Ilmu kepada Keluarga

Setelah menguasai banyak ilmu, Saad tidak hanya menyimpan ilmu tersebut untuk dirinya sendiri. Beliau mula mengajar dalam bahasa Parsi kepada keluarganya.

Pengajian pertama beliau adalah tafsir al-Quran, di mana Saad membacakan tafsir dan menjelaskannya kepada keluarga.

Pengajian kedua yang beliau jalankan adalah mengenai Kitab Minhaj min Mirathi al-Nubuwwah, di mana beliau membaca satu bab setiap hari atau dua hari dan mentafsirkan kepada keluarga.

Cita-Cita Tinggi untuk Menjadi Ulama Besar

Saad bercita-cita untuk menjadi seorang ulama besar seperti Imam Ahmad, al-Bukhari, dan Muslim. Cita-cita ini bukanlah sekadar angan-angan, tetapi dilihat melalui usaha dan komitmen beliau yang tinggi dalam menuntut ilmu, kita doakan agar diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk mencapai cita-citanya dan menjadi seorang ulama yang memberi manfaat kepada umat Islam.

Kisah hidup Saad bin Ahmad Jalaluddin adalah satu inspirasi yang sangat berharga bagi kita semua. Walaupun masih muda, Saad telah menunjukkan dedikasi yang tinggi dalam menuntut ilmu agama. Beliau telah membuktikan bahawa dengan usaha, doa, dan keazaman yang kuat, tidak ada yang mustahil untuk dicapai. Semoga Allah SWT memberi kejayaan kepada Saad dalam mencapai cita-citanya dan menjadikannya seorang ulama yang memberi manfaat kepada umat Islam.

Semoga kisah Saad memberi semangat kepada kita semua untuk terus menuntut ilmu dengan tekun dan ikhlas.