Kemunculan Tokoh Islam Dari Qatar Dalam Dunia Podcast Menarik Perhatian Dunia

Baru-baru ini viral tentang seorang Doktor Falsafah dalam sebuah podcast bahasa Arab yang mengupas tajuk tentang Tadabbur al-Quran sehingga mencecah lebih 2 juta tontonan hanya dalam beberapa hari sahaja.

Beliau membawa kupasan yang sungguh menarik perhatian orang ramai terutamanya masyarakat di dalam dunia Arab.

Tutur kata dan isi unik serta penuh ketokohan yang terucap di bibir itu perlu diberi perhatian kerana ia bukan tersemat dari individu biasa, bahkan sudah pastinya telah mempunyai latar belakang pendidikan yang luar biasa.

Beliau ialah Dr. Nayef bin Nahar yang merupakan Pengarah di Pusat Ibn Khaldun bagi Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Qatar. Selain itu, beliau juga merupakan Presiden Yayasan Wa‘i untuk Kajian dan Penyelidikan.

Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Islam dari Universiti Qatar pada tahun 2008.

Beliau kemudian memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dengan kepujian cemerlang pada tahun 2011 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Seterusnya, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari universiti yang sama dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dengan kepujian cemerlang pada tahun 2014. Tesis bagi kedua-dua peringkat tersebut berkaitan dengan perbankan Islam.

Di samping itu, Dr. Nayef bin Nahar juga memperoleh satu lagi ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2018 dalam bidang Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dengan tesis bertajuk mengenai unsur Thabat dan Mutaghayyirat dalam sistem demokrasi.

Beliau telah menghasilkan sembilan buah buku dalam pelbagai bidang ilmu, antaranya: Dari Sekularisme ke Kreasionalisme, Pelokalan Interaktif dalam Sains Sosial, Perbankan Islam di Negara Qatar, Pengenalan kepada Hubungan Antarabangsa, Demokrasi Sebagaimana Adanya, dan Dakwaan Keterikatan Logik antara Islam dan Sekularisme.

Selain itu, beliau mempunyai kira-kira empat belas artikel ilmiah yang diterbitkan dalam jurnal akademik yang berwasit, antaranya: Istiqra’ Maknawi menurut al-Shatibi, Metodologi Spinoza dalam Berinteraksi dengan Teks Agama dan Isu Penggunaannya dalam Konteks Islam, Mekanisme Syariah bagi Pembentukan Modal Cawangan Islam, dan Ke Arah Metodologi Cadangan untuk Pengasasan Ilmu al-Istighrab.

Dr. Nayef turut mengemukakan satu teori baharu dalam bidang Hubungan Antarabangsa yang dinamakan “Lengan Pencegah (al-Dhira‘ al-Radi‘ah)” dan memperoleh hak milik intelektualnya pada 7 Februari 2016.

Rujuk:

orcid.org

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Comment