Select Your Favourite
Category And Start Learning.

COVID-19 – Kisah Black Death yang Pernah Menyerang Dunia Eropah dan Tamadun Islam

Sekarang dunia sedang menghadapi pandemik COVID-19 yang telah merangut nyawa manusia. Perkongsian menarik tentang satu pandemik yang pernah menyerang dunia Eropah seterusnya memasuki wilayah ketamadunan Islam.

Perkongsian ini telah dikongsikan oleh Saudara Nazrin Al-Hashimi dalam facebook beliau:

Antara contoh wabak pandemik yang popular sepanjang sejarah dunia adalah peristiwa yang dikenali di sejarah Eropah sebagai ‘Black Death’ yang berlaku sekitar 700 tahun lepas (1347-1351), iaitu sekitar jarak 100 tahun selepas tentera Mongol mula mengganas dan 100 tahun sebelum Sultan Muhammad Al-Fatih menawan kota Konstantinopel.

Direkodkan bahawa wabak yang dikatakan berpunca dari tikus ini telah meragut sekitar 75-200 juta manusia, iaitu sekitar 20-40% dari jumlah populasi manusia pada ketika itu.

Di sesetengah kawasan di Eropah seperti Itali dan Sepanyol merekodkan kematian yang dahsyat sehingga mencecah 80% daripada jumlah populasi asal mereka. Dikatakan wabak ini masuk dan tersebar ke benua Eropah melalui pelabuhan Kaffa di wilayah Crimea.

The Franciscans treating victims of the plague, miniature from La Franceschina, ca 1474, codex by Jacopo Oddi (15th century). Italy, 15th century.

Begitu keadaan di Eropah. Bagaimana pula keadaan kota-kota umat Islam?

[Tahun 1347M-1351M = 749H-753H]

Imam Ibnu Kathir yang hidup pada zaman tersebut serta menyaksikan sendiri kedahsyatan wabak tersebut telah merekodkan peristiwa itu didalam karya sejarah beliau yang terkenal, Al-Bidayah wa’l-Nihayah. Kedahsyatannya menyebabkan hampir setiap perenggan beliau menyebutkan lafaz istirja’ (Inna lillah wa inna ilayhi raji’un).

Ibnu Kathir menceritakan bahawa mereka berkumpul beramai-ramai membaca Al-Qur’an dan Sahih Al-Bukhari. Pada hari yang lain pula, ada juga manusia yang berkumpul dan membaca Surah Nuh sebanyak 3363 kali berdasarkan petua seorang lelaki yang bermimpi berjumpa Rasulullah s.a.w.

Para imam-imam solat juga membaca qunut nazilah dalam solat fardu. Manusia turut berdoa dengan penuh khusyuk dan khudhu’ memohon bantuan dari Allah agar wabak ini diangkat dari mereka.

Mereka juga diseru untuk berpuasa tiga hari, memperbanyakkan iktikaf dan qiamullail di masjid seolah-olah berada dalam suasana bulan Ramadhan. Bahkan manusia dari pelbagai lapisan masyarakat dan agama berkumpul di dataran pasir yang luas, bermula dari selepas Subuh sehingga Zuhur, semata-mata untuk berdoa kepada Allah.

Setiap hari, wabak ini meragut nyawa warga Damsyik sahaja lebih dari 200 orang, bahkan semakin bertambah setiap hari, sehingga Ibnu Kathir mengatakan hanya Allah sahaja mengetahui betapa ramainya yang mati akibat wabak ini.

Disebutkan juga nisbah kematian kaum wanita lebih ramai berbanding lelaki. Urusan harian sangat terjejas. Ramai manusia sibuk dengan urusan menguruskan jenazah sehingga begitu banyak keranda yang diwakafkan bagi tujuan pengkebumian ribuan jenazah tersebut.

Ibnu Kathir juga menceritakan bahawa ramai tokoh-tokoh dan anak-anak murid Shaykhul Islam Ibnu Taimiyyah yang turut menjadi korban wabak tersebut.

Antara mereka adalah Imam Shihabuddin Ibnu Fadhlillah Al-‘Umari, anak murid Ibnu Taimiyyah yang versatil dan juga merupakan sarjana ilmu sastera, geografi dan ketamadunan Islam sebelum Ibnu Khaldun.

Magnum opus beliau yang terkenal adalah Masalik al-Absar fi Mamalik al-Amsar yang mencecah hampir 30 jilid dalam keadaan ia tidak sempat disempurnakan apabila ajal menjemput beliau pada umur 49 tahun.

Selain beliau, turut terkorban juga Shaykh Ibnu Rushayyiq Al-Maghribi, anak murid Ibnu Taimiyyah yang paling mahir membaca tulisan gurunya. Beliau juga dikenali sebagai ‘bibliographer’ yang mengumpulkan dan mengkatalogkan hampir semua tulisan gurunya itu.

Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa kitab ‘Asma’ Mu’allafat Shaykhil Islam Ibn Taymiyyah’ yang dinisbahkan kepada Imam Ibnu Qayyim Al-Jawziyyah itu kemungkinan berasal dari karya Ibnu Rushayyiq Al-Maghribi.

Begitu juga keadaanya bagi Imam Zainuddin Abdurrahman Al-Mizzi, anak kepada Imam Al-Hafiz Jamaluddin Yusuf Al-Mizzi, yang dikenali sebagai pengarang kitab Tahzib al-Kamal.

Disebutkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam Zhayl Tabaqat Al-Hanabilah, bahawa anak murid Ibnu Taymiyyah dan juga pengarang kitab Al-A‘lam al-‘Aliyyah fi Manaqib Ibni Taymiyyah, Imam Abu Hafs Al-Bazzar juga wafat akibat wabak ini.

Namun yang lebih menyentuh hati adalah Al-Bazzar wafat sewaktu dalam perjalanan menunaikan haji di Mekah. Jemaah haji seramai 50 orang daripada rombongan Al-Bazzar itu turut diragut nyawa berpunca dari wabak tersebut.

Antara anak murid Ibnu Taymiyyah yang turut terkorban juga adalah Qadi Zainuddin Ibnu Nujayh Al-Hanbali (juga dibaca Ibnu Bukhaykh Al-Hanbali), Imam Nuruddin Ibnu al-Sa’igh, Shaykh Ali Al-Maghribi, Shaykh Ibnul Muhib. Rahmatullahi alayhim jami’a.

P/s: Amalkan kebersihan, kuarantin dan social distancing. Sekian.

Artikel menarik kami: https://kunanta.net/2020/03/16/covid-19-simpanan-kecemasan-dalam-institusi-keluarga/

Leave a comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: