Membandingkan Isteri Dengan Bidadari Syurga?

Dalam perjalanan semasa fatrah (tempoh) beraya lepas, terdengar seorang ustaz bercerita menerusi radio IKIM, tentang gambaran syurga.

Digambarkan bidadari syurga yang sangat indah, jelita, putih melepak, betis mereka sehingga terlihat urat lantaran terlalu jernih, mata yang berbinar, bibir yang merekah, suara yang gemersik merdu bla bla bla.

Dan ustaz tersebut menambah, “kerana itu wahai isteri, kena rasa cemburu dengan bidadari-bidadari syurga. Mereka terlalu indah untuk suami kita, mereka terlalu baik, santun dan menghiburkan. Para isteri perlu ada cemburu dengan bidadari syurga ini kerana mereka ini nanti yang akan menjadi pendamping suami kita nanti” (mafhum).

Saya yang mula-mula berasa syahdu dengan gambaran syurga, tiba-tiba berasa kurang enak dengan ‘ancaman’ seperti ini.
Semenjak bila para isteri layak dibandingkan dengan bidadari syurga?
Semenjak bila para isteri perlu cemburu dengan bidadari syurga?
——————————————————

Membandingkan isteri dengan bidadari syurga adalah perbandingan paling tidak adil seorang manusia boleh lakukan.

Bidadari syurga adalah sejenis makhluk yang lain manakala isteri adalah sejenis makhluk yang lain. Mereka tergolong dalam golongan malaikat yang maksum manakala isteri tergolong dalam makhluk manusia.

Bidadari syurga tidak mukallaf. Mereka tiada tanggungjawab. Mereka tiada kehendak. Mereka tiada nafsu syahwat. Mereka tiada kelemahan. Mereka sempurna sesuai dengan tujuan ciptaan mereka. Paling penting, mereka tidak dicampakkan ke dunia dan tidak hidup sebagai manusia yang penuh pancaroba. Iman mereka statik, tidak pernah sekalipun menurun. Mereka cantik indah dan mempersona kerana tujuan penciptaan mereka HANYA SEMATA sebagai pelayan dan penghibur.Mereka dicipta dengan kecantikan yang tidak terjangkau dek aqal kerana itulah kenikmatan syurga, di dalamnya penuh kenikmatan yang tidak terjangkau dek aqal.

Manakala wanita yang menjadi isteri adalah makhluk mukallaf. Di pundaknya terpikul berjuta tanggungjawab dan amanah berat sebagai hamba Allah, sebagai isteri, sebagai anak perempuan, sebagai ibu, sebagai saudara, sebagai ibu saudara, sebagai sepupu, sebagai sahabat, sebagai pekerja, sebagai pelajar dan so on.
Isteri ada kelemahan, isteri ada kehendak, isteri ada nafsu yang dia sedang berjihad melawannya, isteri ada perasaan, isteri ada amarah, isteri ada kesedihan, isteri ada hak dan keperluan. Isteri adalah manusia yang tidak sempurna sama ada dari segi fizikal, spiritual mahupun mental kerana itu memang sifat setiap manusia yang PASTI mempunyai limitasi tersendiri.

Membandingkan isteri dengan bidadari syurga merupakan perbandingan yang mustahil seperti mana jika kita membandingkan limitasi manusia untuk terbang dengan para jin yang boleh muncul dan ghaib pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka mahu.

Isteri tidak perlu mencemburui bidadari syurga bahkan bidadari syurga yang mencemburui para isteri di dunia.

Kita merupakan makhluk manusia yang mempunyai iman turun dan naik, namun kita berusaha, kita menangis, kita merayu pada Allah untuk keampunan dan rahmatNya. Kita merempuh jahiliyah luar yang merosakkan dan kita membentengi jahiliyah dalam diri dengan segala kudrat yang ada. Kita tahan amarah kita, kita tahan keletihan diri kita, kita tahan emosi kita, kita tahan kehendak nafsu kita sehingga terduduk menangis melutut kerana kita sedar banyak waktu kita tewas, namun kita tetap berusaha menjadi muslimah solehah dan isteri yang menyenangkan.

Kita kutip setiap sisa kudrat yang ada membalut luka hati yang tercalar malah ada waktu tertikam dalam. Bermuamalah dengan suami yang juga manusia. Bermuamalah dengan mertua yang juga manusia. Bermuamalah dengan tetangga yang juga manusia. Bermuamalah dengan teman sekerja yang juga manusia. Semua itu ujian yang menggigit hati.

Isteri bersama suami semasa di dunia, dalam keadaan sama-sama penuh kelemahan dan penuh kekurangan. Namun kerana saling bersabar dan saling mengingtakan kepada kebaikan, alhamdulillah masing-masing masuk ke dalam syurga. Dan bidadari syurga menerima suami dalam keadaan mereka ahli syurga yang telah terhapus segala kelemahan dan kekurangan. Mereka menerima suami dalam keadaan suami telah menjadi ahli syurga yang sifat mereka disucikan dan hanya menyebarkan salam (kebaikan dan kesejahteraan).
Maka bukankah membandingkan para isteri dengan bidadari syurga adalah suatu perbandingan yang tidak adil?

Siapakah yang menjadi kekuatan untuk suami menjadi ahli syurga jika bukan para isteri?

Suami yang layak masuk ke dalam syurga pastilah yang tidak ditarik kaki mereka oleh para isteri ke dalam neraka. Maka, bukankah di belakang para suami yang berjaya memasuki syurga di belakangnya dan bersamanya adalah para isteri yang redha dengan suami yang melakukan kebaikan?

Hatta jika suami seorang mujahid yang mengejar ‘ain al-mardhiah sekalipun, di belakangnya adalah isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak. Isteri yang redha ditinggalkan suami demi seruan jihad meski dia tahu langkah keluar suami itu bermakna terpisah sudah mereka di dunia dan dia perlu melalui setiap hari-harinya dengan sepi dan sendiri menguruskan rumahtangga dan anak-anak.

Isteri para mujahid inilah yang menjaga maruah diri mereka, menjaga harta benda suami dan yang menjalankan amanah sepanjang ketiadaan suami. Mereka menangis dan mengadu hanya kepada Allah. Mereka bersusah payah sendiri kerana redha dengan jihad suami.

Dan jika suami perolehi syahid, para isteri inilah yang redha dan tetap bersabar meneruskan kehidupan. Ketika suaminya telah menikmati taman dari taman-taman syurga (alam kubur), para isteri mujahid ini masih jerih mendepani ujian dunia yang mencabar dan yang menghimpit.

Maka bukankah membandingkan para isteri dengan bidadari syurga adalah perbandingan yang tidak adil?

Jika sekalipun ingin memberi motivasi agar para isteri bersungguh-sungguh melakukan kebaikan di dunia, tetap sama sekali MUSTAHIL untuk meminta isteri mencemburui bidadari dengan membandingkan kesempurnaan bidadari. Logikkah jika isteri berkata kepada suaminya, “abang, abang ni kenapa tak jadi soleh dan layan saya dengan baik? nanti saya masuk syurga saya dapat berjumpa malaikat jibril yang kacak dan sempurna, saya nak berkahwin dengan malaikat jibril sebab siapa suruh abang tak cukup bagus melayani saya”. 

Lucu dan menyakitkan hati bukan?

Justeru wahai para suami, jika kalian tidak gemar dibandingkan dengan keperibadian Rasulullah s.a.w. yang maksum, usah juga membandingkan isteri dengan bidadari syurga yang juga maksum, malah merupakan makhluk lain berbeza dengan jenis manusia.

Begitu juga para isteri, jika kita tidak gemar dibandingkan dengan bidadari syurga, usah pula bandingkan suami kita dengan Rasulullah s.a.w. yang mulia.

Semoga kita saling menyedari bahawa kita sering mempunyai kelemahan.

*bab isteri akan jadi ketua bidadari, tu bab lain. Ini bab spesis yang suka mengugut atau membanding-bandingkan.

Setelah wanita Palestin ini menerima mahar, lelaki tersebut terus menutup mukanya

Hibbah ‘Ammar, wanita Palestin. Ketika dipinang oleh lelaki tersebut, beliau meminta mahar berupa hafalan Surah An-Nur.
Setelah tiba hari yang ditunggu-tunggu, lelaki tersebut diminta untuk membacanya dan setelah selesai membacanya, lelaki tersebut menutup mukanya tanda bersyukur kepada Allah.

Ramai yang mengulas dengan ulasan yang positif kerana gembira dengan cara wanita tersebut menetapkan mahar berupa surah dari al-quran.

Sila lihat komen-komen tersebut :

Kalaulah macam ni berlaku pada kita, tentu pemuda-pemuda kita dah boleh jadi imam di tanah haram (makkah)

Banyakkanlah lagi wanita macam ni.. Demi Allah wanita ini buat aku menangis sebab masih ada lagi sepertinya… Semoga Allah membahagiakan dia dan suami.

Terhimpun antara kecantikan tingkahlaku yang berhikmah dan kecantikan rupa

Tujuan mahar sebegitu adalah kerana surah Nur menekankan hak-hak wanita


Pemilihan yang tepat.

Sebahagian yang disebutkan dalam surah adalah :

1. Minta izin

2. Menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan

3. Hijab

4. Memudahkan perkahwinan pemuda pemudi

5. Larangan berzina

6. Larangan mendedahkan perbuatan keji

Semoga Allah menjadikan kita hambaNya yang soleh.

Artikel ini diambil dari twitter seorang lelaki berbangsa arab bernama Faisal Al-Maghlus

Allah… Bahagianya mereka yang bersabar terhadap kematian anak

Ketikamana seorang muslim telah sampai ke peringkat iman dan keyakinan yang tinggi serta beriman dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasnya, maka segala musibah, permasalahan, kesusahan yang dihadapinya akan menjadi kecil sahaja dan semuanya diserahkan kepada Allah dengan hati yang tenang serta sabar dalam sesuatu ujian yang dihadapinya.

Daripada ketinggian iman sebeginilah junjungan kita Nabi Muhammad ﷺ memberitahu kepada kita bahawa sesiapa yang anaknya dipanggil pulang oleh Allah lalu dia bersabar dan mengucapkan innalilah wainna ilaihi rajiun, Allah akan membina untuknya satu rumah di syurga kelak dan rumah itu diberi nama Baytul Hamd (rumah kepujian)

Diriwayatkan oleh At-tirmidzi dan Ibn Hibban, daripada Abu Musa Al-Asy’ary bahawa nabi ﷺ bersabda :

Apabila matinya anak hamba Allah, Allah bertanya kepada para malaikat :

‘’Kamu telah selesai mencabut nyawa anak kepada hambaKu?’’

Lalu para malaikat berkata :

‘’Ya’’.

Kemudian Allah bertanya lagi :

‘’Apa yang diucapkan oleh hambaKu?’’

Para malaikat pun berkata :

‘’Dia memuji Engkau dan berkata : Innalillah wainna ilaihi raji’un’’.

Lalu Allah memerintahkan :

‘’Binalah satu rumah untuknya di syurga dan beri nama rumah tersebut Baytul Hamd’’.

Terlalu mulianya kedudukan orang yang bersabar dengan ujian yang besar ini antaranya, ia adalah sebagai jalan ke pintu syurga dan penghalang kepada neraka.

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abi Saied Al-Khudry bahawa Rasulullah ﷺ pernah berkata kepada seorang wanita : Tiada sesiapa pun di kalangan kamu yang telah mati tiga orang anaknya melainkan anak-anak tersebut akan menjadi penghalang bagi mereka daripada neraka. Lalu wanita tersebut bertanya : Jika dua orang? Rasulullah ﷺ bersabda : Dua orang pun sama.

Berdasarkan hadis di atas, mungkin kita tertanya-tanya, jika kematian seorang anak sahaja bagaimana? Sebab rasulullah ﷺ hanya merestui dua orang sahaja?

Jika timbul persoalan sebegitu, ketahuilah anda seperti beberapa sahabat nabi yang lain ketika mendengar hadis sebegini daripada Jabir. Ketika itu mereka terus berbincang sesama mereka :

‘’Rasulullah ﷺ berkata tentang orang yang kematian tiga orang anak lalu baginda terus berkata dua orang pun sama. Adakah kamu tidak menyangka bahawa jika baginda ditanya tentang kematian seorang anak, adakah baginda akan berkata begitu juga?’’

Lalu Jabir berkata :

‘’Ya, aku pun rasa begitu’’.

Terdapat banyak lagi hadis-hadis yang telah menyebut tentang kelebihan-kelebihan seumpama yang disebutkan di atas, antaranya hadis yang mengatakan bahawa jika anak kecil mati, maka ayahnya akan diberi syafaat pada hari kiamat kelak. Allahuakbar!

Begitu gembira dan bahagianya bagi mereka yang kematian anak lalu mendengar berita sebegini. Ingatlah, Allah tidak akan mensia-siakan kesabaran hambaNya yang diuji dengan sesuatu ujian. Kunci untuk menghadapi segala keburukan dan kesusahan adalah bersabar. Semoga Allah mengurniakan kepada kita kesabaran yang tinggi agar kita bersedia menghadapi ujian-ujianNya.

Di bawah ini adalah satu doa yang diajarkan nabi ﷺ kepada kita apabila ditimpa suatu musibah :

إِنَّا للَّهِ وَإِنَّا إِليهِ رَاجِعُونَ: اللَّهمَّ أجرني في مُصِيبَتي، وَاخْلُف لي خَيْراً مِنْهَا

Maksudnya : ”Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.. Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah ganti yang lebih baik daripadanya”

Wallahua’lam.

Rujukan :

  • Tarbiyatul Aulad, Dr Abdullah Nasih ‘Ulwan
  • Al-Maany
  • Bukhary & Muslim

 

Jangan bercita-cita wahai perempuan

“buat apa penat-penat sambung belajar? Baik duduk rumah jaga makan minum suami. Nanti suami cari lain kan susah”,

Sinis komentar yang hinggap di telinga itu.

“kesian la siapa yang berbinikan doktor, terabai kehidupan. Semua kena urus sendiri. Siapa suruh cari bini doktor”,

Maka isteri yang terhimpit dengan keperluan sumbangannya kepada masyarakat dan dalam masa yang sama dituntut untuk ‘pastikan suami makan air tangan isteri’, terduduk menangis dan tertekan emosi akibat sindiran yang tidak henti.

Ya. Mempunyai cita-cita membuktikan kami juga manusia seperti makhluk lelaki, namun hakikatnya wanita tetap tidak dapat lari dari sebuah dilema.

Credit pic: Mvslim.com
Isu: Dilemma Have It All.

Tertarik dengan isu yang cuba dibawa oleh golongan femnisme yang realistik sekitar tahun 2012, iaitu ‘Can women really ‘Have it all’?” dengan mengetengahkan perbincangan-perbincangan seputar permasalahan besar bagi wanita iaitu, -bukan masalah dalam pengurusan antara kerjaya dan keluarga- tetapi lebih besar dari itu, iaitu wanita-wanita yang takut untuk bercita-cita.

Seorang journalist wanita menulis dalam akhbar ‘The Atlantic’, berkenaan sebuah tajuk menarik, iaitu “We Need To Tell Girls, They Can Have It All (even if they can’t)”, dan dikisahkan pernah berlaku semasa Anne Mulchahy, seorang tokoh korporat wanita yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang itu dijemput untuk memberikan ucapan di Harvard Business School, ada seorang peserta bertanyakan soalan, “what it took to be CEO?”. Dan beliau menjawab, beliau perlu berhenti daripada menangis di tepi jalan ketika berhadapan dengan situasi tekanan bisnes dan rumahtangga.  Jawapan tersebut membuatkan topik perbincangan dan soalan peserta bertukar dari topik business leadership kepada work-life balance, hanya kerana peserta lebih tertarik untuk mengenali bagaimana mampu seorang wanita memenuhi cita-citanya.

Gayle, journalist tersebut kemudian menimbulkan persoalan, “Is all of this talk about our personal lives undermining women? And do we spend as much time encouraging girls to excel as we do helping them balance work and family?”.

Tidak dinafikan bahawa memiliki cita-cita dan kesungguhan ke arah mencapai cita-cita bagi seorang wanita, merupakan antara dilema terbesar dalam hidup. Saya sendiri tidak terkecuali, lebih-lebih lagi kini anak bakal memasuki angka 2.

Lantaran kita dimomokkan oleh pemikiran masyarakat yang penuh ugutan seperti, “perempuan tinggi manapun dia, ceruk dapur juga nanti”, “jangan banyak sangat bersuara, nanti tiada lelaki nak”, “perempuan tak payah sibuk urusan luar, nanti keluarga cerai berai”, “siapa suruh isteri dia sibuk, sebab tu suami dia curang” dan momokan-momokan lain yang negatif. Sehingga peratus wanita yang berjaya memenuhi cita-cita sebenar yang diburu dalam masa yang sama berkeluarga adalah sangat kecil.

Tertarik mengikuti perbincangan-perbincangan seputar, “Do women find it hard to be ambitious due to guilt and pressure to raise a family?”.

CNN telah mengadakan temu bual bersama 10 orang tokoh wanita yang terdiri dari kalangan senator, CEO, perancangan strategi bagi parti politik, mantan timb. presiden saluran ESPN, dan sebagainya di bawah topik, “Our Struggle To Have It All”.

Konklusi yang dapat disimpulkan dari responder-responder ada 4, iaitu:

1- soalan tersebut tidak patut timbul hanya bagi wanita, mengapa lelaki juga tidak ditanya? Bukankah jika lelaki mempunyai kerjaya, mencapai cita-cita, dia juga perlu prihatin dan mengambil berat terhadap keluarganya? Kerana seorang bapa juga tidak boleh berlepas tangan dalam urusan keluarga, rumahtangga dan anak-anak.

2- masalah akan timbul apabila lelaki tidak berubah seiring perubahan yang dialami oleh wanita. Apabila lelaki-lelaki masih selesa ditakuk tradisional, memandang wanita sebagai orang gaji dan pelayan di rumah, pulang ke rumah mahu terus disambut di muka pintu dan terhidang air panas maka peluang untuk wanita berimpian besar akan sentiasa disekat dan diancam.

3- ‘have it all’ bukanlah sebagai matlamat sebenar, tetapi yang sebenarnya ialah mempunyai peluang untuk membuat keputusan dalam pemilihan seperti mana lelaki juga diberi peluang.

4- sokongan pihak luar, adalah sesuatu yang sangat-sangat diperlukan terutamanya stereotype masyarakat yang masih banyak negatifnya.

Sungguh. Saya tertarik dengan kesedaran bahawa wanita juga adalah manusia. Maka bukankah setiap manusia itu punya impian dan hak untuk diberi peluang membuat keputusan dalam hidup?

Hanya segelintir wanita yang diizinkan Allah untuk beruntung memiliki pasangan yang memahami dan bertolak ansur sepertimana yang selayak dan sepatutnya dilakukan oleh setiap pasangan.

Believe in Yourself and Negotiate For Yourself.

Arus baru feminisme ini dipelopori oleh seorang tokoh, Sheryl Sandberg, Ketua Pegawai Operasi Syarikat Facebook, juga merupakan mantan Timbalan Presiden Global Onlines Sales and Operation bagi syarikat Google dan tersenarai sebagai salah seorang dari 100 orang tokoh berpengaruh seluruh dunia oleh majalah TIME. (boleh tonton ucapannya dalam ruangan TED berkenaan tajuk: “Why we have too few women leaders”)

Sheryl cuba mengetengahkan 3 point penting bagi golongan wanita untuk melihat kehidupan yang lebih jauh.

Point 1: Sit at the table.

Hakikatnya, wanita sendiri yang perlu memiliki keberanian dari dalam untuk merobohkan benteng inferiority terhadap lelaki lantaran sebenarnya antara lelaki dan wanita, tahap intelektual dan gerak kerja adalah sama, tiada apa yang membezakan.

Gender tidak sepatutnya menjadi isu kerana kredibiliti, wibawa, kesungguhan dan nilai-nilai positif yang lain seharusnya yang menjadi kayu ukur dalam menilai kehebatan.

Makanya wanita harus berani untuk ‘sit at the table’, sebaris lelaki dalam membawa isu dan bidang yang menjadi kepakarannya. Tidak perlu terlebih segan dan ‘inferior’ hanya semata beranggapan lelaki lebih mahir atau lelaki lebih tajam buah fikiran mereka. Kerana banyak sejarah sohabiah dan cendekiawan Islam yang terdiri dari kalangan wanita, ilmu dan buah fikiran mereka bukan sahaja diiktiraf bahkan menjadi pakar rujuk ummat sejagat.

Point 2: Make your partner a real partner.

Ketenteraman dan toleransi dalam rumahtangga sangat memainkan peranan. Jujurnya fitrah seorang wanita, keluarga adalah segala-galanya. Ikatan tali keluarga kadang kala menjadi faktor wanita perlu berhenti malah berundur dari terus menapak.

Justeru, memilih dan memiliki pasangan yang memahami merupakan satu anugerah yang membantu seorang wanita memenuhi cita-citanya. Buat pilihan yang bijak dan berdoalah kepada Allah agar diberi pasangan hidup yang membantu dan menguatkan kita dalam memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Selain itu, pandangan masyarakat harus diubah untuk lebih menghargai pilihan suami yang membantu isteri malah sewajarnya tindakan-tindakan baik sebegitu menjadi suatu fenomena biasa. Bak kata almarhumah Ustazah Yoyoh Yusra, mantan ahli parlimen Partai Keadilan Sejahtera (PKS) yang juga merupakan seorang isteri beranak 13 orang semuanya, dalam soal rumahtangga dan jawatannya sebagai tokoh masyarakat, “pernikahan itu sendiri terbina dengan komitmen dan prinsipnya adalah saling memberi dan berbahagi peranan”. (Beliau telah meninggal dunia dalam kemalangan pada 21 Mei 2011 dan pemergiannya ditangisi oleh seluruh masyarakat Indonesia).

Point 3: Don’t leave before you leave.

“Don’t leave before you leave. Stay in. Keep your foot on the gas pedal, until the very day you need to leave to take a break for a child- and then make your decisions. Don’t make decisions too far in advance, particularly ones you’re not even conscious you’re making”.

Seriously, kesan didikan momokan tanpa mengira dalam kalangan masyarakat barat dan timur, telah mencipta satu pemikiran dalam kalangan anak-anak muda wanita untuk melihat rumahtangga sebagai matlamat utama meski ketika itu mereka masih terlalu awal dan sedang berpotensi besar untuk terus menyumbang.

Sesungguhnya perkara ini adalah sesuatu yang amat bahaya kerana hasilnya, lambakan anak-anak muda wanita dibazirkan dengan kesibukan  berhias dan mencari cinta. Dan terhasillah satu kelompok masyarakat wanita yang takut untuk ke hadapan, berfikir, bersuara dan bertindak asing dari kepompong biasa pemikiran masyarakat, bimbang dilihat aneh dan rebellious.

Dan kekurangan serta kesilapan dalam memenuhi 3 point inilah yang membuatkan terciptanya darjat antara manusia yang sama, sekadar dibezakan oleh jantina lelaki dan wanita.

Penutup: Bercita-cita itu Bukti Menjadi Manusia yang Hidup.

Perjuangan kewanitaan seharusnya tidak mengejar kesama-rataan wanita dan lelaki dari sudut bentuk fizikal, tetapi perjuangan sebenar adalah dalam mendidik lelaki untuk memiliki kesedaran meletakkan wanita pada kemuliaan dan kebebasan sepertimana yang telah diletakkan oleh Islam.

Hal kebebasan terhadap wanita dalam membuat pilihan hidup ditekankan oleh Allah menerusi ayat penyusuan -yang lazimnya dilihat sebagai memang tugasan seorang ibu- namun tetap disyaratkan untuk mendapat persetujuan ibu itu sendiri, “..Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan pemusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya..” (alBaqarah: 233) apatah lagi dalam perkara-perkara berkaitan kehidupan seorang wanita itu sendiri.

Tidaklah saya melihat kepada perlunya wanita semua keluar menjadi pemimpin dan bekerjaya -lantaran saya sendiri cenderung untuk melebihkan keluarga- namun perkara yang perlu dilihat di sini ialah, masyarakat dan terutamanya kaum lelaki yang bakal menjadi suami perlu memiliki kesedaran untuk memberi peluang dan sokongan kepada wanita-wanita yang hidup di sekeliling mereka untuk memiliki cita-cita, memenuhi cita-cita dan membuat keputusan dalam hidup mereka sendiri selagi mana tidak berlawanan dengan hukum syarak.

Kerana, bukankah wanita juga manusia?

3 Muslimah Menggoncang Dunia melalui Pendidikan

kunanta

Salah satu laman di Universiti Qarawiyyin, Morroco
  1. Fatimah Al-Fihriyyah

Tahun 859 Masihi, hasil usaha dan keringat beliau maka lahirlah sebuah universiti yang terawal, tiada universiti sebegini sebelumnya baik di barat mahupun di timur. Beliau, anak saudagar kaya raya merupakan perintis kepada penubuhan Universiti Qarawiyyin, Morroco. UNESCO telah mengiktiraf universiti ini sebagai universiti yang tertua di dunia. Universiti ini sehingga kini masih beroperasi, wanita ini membuatkan dunia barat juga berlumba menubuhkan universiti-universiti sebagai pusat keilmuan.

mak_85182559

Pintu gerbang Al-Madrasah Al-Soulatiyyah di Mekah
  1. Soulat El-Nisa

Mungkin ramai yang tidak mengenali wanita ini, beliau berasal daripada Kolkata, India, pada tahun 1872 Masihi ketika beliau melaksanakan haji di Mekah, beliau telah menginfaqkan hartanya bagi mewujudkan sebuah institusi pengajian percuma yang melahirkan para sarjana islam yang ulung. Institusi ini dipimpin oleh seorang ulamak india yang terkenal iaitu Sheikh Rahmatullah dan institusi pendikan ini diberi nama semperna nama penyumbang dana yang terbesar iaitu Al-Madrasah Al-Soulatiyyah yang terletak di Mekah. Banyak para ulamak yang lahir daripada institusi ini datang dari pelusuk dunia malah para tok guru pondok dari Tanah Melayu dan Indonesia juga belajar di sini.

  1. Rosmah Mansor

Wanita yang tidak asing bagi rakyat Malaysia, beliau merupakan isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang keenam. Sumbangan beliau dalam dunia pendidikan terutama berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak. Beliau telah merintis satu usaha yang murni bagi mengasah kebolehan kanak-kanak di awal usia lagi melalui suatu program PERMATA. Usaha beliau telah menjadikan beliau dipilih sebagai penerima Ijazah Doktor Kehormat Persuratan dari Universiti Curtin, Australia.

Rosmah Mansor 1

Gambar Rosmah Mansor