Bagaimana nak sabar dengan semua perkara?

Zaman sekarang, macam-macam bala dan ujian yang berlaku. Ada yang jatuh dalam kemurungan, ada yang bunuh diri, ada yang hilang matlamat hidup dan pelbagai musibah lagi yang dihadapi.

Maka keadaan sedimikian amatlah menuntut untuk kita bersabar. Tetapi, bagaimana kita nak sabar? Sabar macam mana yang harus kita ada? Kalau ujian tu terlalu besar, boleh lagikah kita bersabar?

Sabar berasal daripada perkataan Arab bererti menahan, menghalang, menanggung, tidak mengadu, dan tidak menujukkan resah.

Lihatlah, maksud sabar itu sendiri pun sudah menerangkan apa yang patut kita buat. Walaupun begitu, ia bukanlah mudah seperti yang kita faham.

Sabar itu perlu muncul dari dalam lubuk hati, bukannya boleh dilakonkan.

Terdapat beberapa kaedah dan cara bagaimana untuk kita menjadi seorang yang penyabar antaranya :

1) Menyedari bahawa semua yang ada di dunia ini adalah milik Allah S.W.T.

Allah Maha Kuasa untuk melakukan apa sahaja di muka bumi ini. Allah boleh beri kita kemewahan, Allah boleh beri kita kecerdikan, Allah boleh beri kita keseronokan dalam masa yang sama Allah juga boleh jadikan sebaliknya iaitu, Allah boleh ambil ilmu kita, Allah boleh jadikan kita gelisah dan sedih dan Allah boleh tarik semua harta yang kita pernah miliki. Semua yang Allah lakukan itu ada tujuannya iaitu Allah mahu kita kembali kepadaNya.

Sungguh indah kata-kata ahli tafsir Sheikh Sha’rawi

“Sungguh, seseorang hamba itu akan sentiasa lupa kepada Allah sehingga Allah hantar bala kepadanya supaya dia kembali ingat dan cinta kepada Allah, lalu Allah pun mencintainya. Maka ketika itu, bala yang ditimpanya akan diangkat kembali dan Allah akan mengurniakan kepadanya rezeki yang melimpah”

2) Menerima hakikat bahawa semua orang di bumi ini akan menerima ujian, bukan kita seorang sahaja.

Allah lakukan demikian kerana Allah nak beri sesuatu yang lebih besar dan istimewa. Allah bukan uji tanpa sebab. Allah memang jadikan kita rasa susah kerana ganjaran yang kita bakal dapat tidak padan untuk kita mengeluh. Musibah atau ujian itu pasti akan datang tidak mustahil, manusia tidak boleh halang dan lari. Manusia tiada pilihan lain melainkan menghadapi juga ujiannya.

3) Meyakini bahawa kita mampu untuk bersabar

Antara satu konsep yang kita mesti faham iaitu, Allah akan uji apa yang kita mampu sahaja. Oleh kerana itulah ujian setiap orang berbeza. Orang miskin, ujiiannya lain, orang kaya ujiannya lain pula, begitulah. Dalam melaksanakan ibadah pun begitu. Allah tidak akan perintahkan kita melainkan kerana memang kita mampu melaksanakan perintah tersebut. Jika kita sakit, Allah perintah solat dengan cara sakit, jika kita tidak mampu membayar zakat, kita tidak perlu membayarnya.

4) Tidak lupa bahawa dunia ini merupakan persinggahan sementara sahaja

Ini benar sebagaimana sabda nabi s.a.w :

الدُّنيا سِجنُ المؤمنِ وجنةُ الكافرِ

Maksudnya : “Dunia ini bagi orang beriman adalah PENJARA, manakala bagi orang kafir ia adalah SYURGA” (Hadis Sahih Ibn Hibban)

Dengan mengetahui dan menyedari langkah-langkah yang disebutkan, maka ia sangatlah membantu diri kita untuk menjadi seorang yang berjiwa penyabar. Maka, mulai hari ini, marilah kita ubah diri kita daripada menjadi seorang yang sering gelisah dan resah kepada seorang yang tenang dan penyabar.

Moga Allah golongkan kita Bersama orang-orang yang sabar.

Rujukan :

  1. Al-Maany
  2. Sahih Ibn Hibban

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Shopping Cart
Shopping cart
There are no products in the cart!
Continue shopping
×

Klik logo di bawah untuk wassap kami segera.

× Bantuan?