Select Your Favourite
Category And Start Learning.

Bagaimana Hendak Mempengaruhi Anak-Anak?

Pernah ada orang bertanya, bagaimana hendak mempengaruhi anak-anak?

Mempengaruhi, seperti mana remaja saling mempengaruhi.

Katanya, risau melihat anak-anak mendapat pengaruh-pengaruh pelik yang entah dari mana datangnya. Ada dari televisyen, banyak dari teman sebaya, tidak kurang dari Netflix.

Saya sendiri tidak ada jawapan ketika itu. Tapi setelah berlalunya masa, dan melihat anak-anak sendiri semakin membesar, dan bagaimana kesan pengaruh persekitaran terhadap kelakuan anak-anak, ada beberapa perkara besar yang boleh dilakukan ibu bapa untuk mempengaruhi anak-anak.

#1 Kekuatan Peribadi Ibu bapa

Ibu bapa adalah contoh pertama dan yang paling kuat dalam hidup anak-anak. Misalnya, jika ibu bapa biasa mencarut di rumah, anak-anak akan lebih mudah untuk mengikut.

Begitu juga jika ibu bapa jenis yang baran dan cepat naik tangan, tidak mustahil anak-anak akan mengikut contoh yang sama walaupun tidak semestinya.

Inilah kerugian besar Si Ayah apabila membiarkan anaknya pada orang lain.

Contoh teladan yang baik dan ibu bapa yang sentiasa mempunyai tekad dalam apa jua bidang akan tersemat dalam jiwa anak-anak.

Ramai anak-anak yang saya temui, memilih kerjaya yang diceburi, atau bersungguh dalam bidang sukan yang diminati hingga ke tahap kebangsaan, kerana terinspirasi dengan ibu bapa yang tinggi keazaman.

#2 Berulang-ulang

Terdapat satu kata-kata yang popular, “pembohongan yang diulang-ulang, akhirnya akan diterima sebagai kebenaran.”

Kebenaran dan kebaikan juga sifatnya begitu, sentiasa perlu diulang-ulang dan diingatkan kerana manusia sifatnya sentiasa terlupa, apatah lagi anak-anak.

Untuk anak boleh bangun sendiri bagi mendirikan solat, pun perlu dipesan bertahun-tahun, dikejutkan setiap pagi, diingatkan berkali-kali, ada masa lembut, ada masa keras, tapi perlu sentiasa diulang-ulang.

Jangan harap anak akan berubah hanya dengan sekali dua pesan. Perlu sentiasa diulang-ulang pada setiap fasa kehidupan anak-anak. Jangan pernah jemu, apatah lagi berkaitan pesan-pesan agama dan hari kebangkitan.

#3 Dorongan Berterusan Yang Positif

Memang ada pendapat yang mengatakan anak-anak yang tidak biasa dengan kesusahan, tidak akan mengenal kesungguhan, dan anak-anak yang tidak kenal kegagalan, tidak akan memahami, makna kejayaan.

Benar, anak-anak yang berjaya banyak lahir dari suasana yang sukar, dan latihan keras tanpa henti sejak kecil. Tapi, jangan terkeliru antara ketegasan dan kekerasan.

Tegas, tidak bermakna perlu mengherdik, mencarut apatah lagi hingga ke tahap memukul dengan keras. Lembut juga, tidak bermakna membiarkan anak tenggelam dalam kelemahan kerana tidak mahu jiwanya disakitkan.

Biasakan anak dengan kesukaran, tapi doronglah dengan bahasa-bahasa yang positif.

Anak-anak akan lebih mudah untuk dipengaruhi jika dia mempunyai rasa percaya yang tinggi terhadap ibu bapanya, dan rasa percaya ini tidak akan berkumpul bersama sifat benci yang diakibatkan oleh kekerasan dan herdikan tidak putus-putus yang sentiasa melukakan.

Ringkasnya

Anak-anak yang membesar dengan herdikan, jiwanya akan tersemat sifat dendam, memungkinkan kitaran kekasaran dan herdikan yang memusnahkan generasi.

Dalam mendidik anak-anak, kita mahu mereka menjadi lebih baik dari kita, dengan pengalaman-pengalaman pendidikan yang baharu sesuai dengan zaman mereka.

Penulisan ini merupakan perkongsian daripada Tuan Hisham Sharif, Pensyarah di Universiti Utara Malaysia berkaitan pendidikan anak-anak.

Leave a comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.