5 ajaran Islam untuk menghilangkan dengki dalam diri. Ramai nampak remeh, tetapi kesannya memang di luar jangkaan

Sifat dengki bukan mudah untuk dibuang. Tambah lagi pada zaman canggih sekarang dalam keadaan masing-masing dapat melihat kelebihan dan kebahagiaan orang lain di hujung jari sahaja. Orang yang ada penyakit dengki ini akan rasa tidak senang selagi orang yang didengki itu tidak ditimpa musibah.

Jika kita tidak mengambil langkah untuk mencegah atau menghilangkannya, boleh jadi kita juga akan terjebak dengan perasaan ini. Jadi, sebelum kita terjatuh di dalam penyakit ini, eloklah kita menghindarinya sebelum kita dijangkiti.

Islam telah menggariskan beberapa perkara yang mesti dilakukan supaya orang yang diuji dengan penyakit ini dapat menghilangkannya dengan segera antaranya :

1. Banyakkan berdoa

Doa merupakan satu solusi yang sangat ajaib. Segala maslah tidak akan selesai dengan lengkap tanpa doa. Ini kerana, doa itu senjata umat Islam yang mesti digunakan.

Di dalam al-Quran, Allah telah memberi solusi untuk penyakit ini dengan firmanNya :

(وَالَّذِينَ جَاؤُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ)

Maksudnya : “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”. (Al-Hashr : Ayat 10)

2. Puasa sunat sekurang-kurangnya sebulan sekali

Ada pelbagai puasa sunat yang boleh diamalkan seperti puasa Isnin dan Khamis, dan puasa hari-hari putih sebagaimana sabda Nabi S.A.W :

(صومُ شهرِ الصَّبرِ وثلاثةِ أيَّامٍ من كلِّ شهرٍ يُذهِبْنَ وَحرَ الصَّدرِ)

“Puasa sebulan (Ramadan) dapat melatih kesabaran, manakala puasa 3 hari pada setiap bulan dapat menghilangkan kedengkian hati.” (Hadis Sahih)

Kedengkian hati itu sebagaimana dijelaskan ulama termasuklah tipu, hasad dengki munafik dan marah.

3. Tawaduk

Sifat tawaduk perlu sentiasa dipupuk lebih-lebih lagi apabila hidup bersosial. Setiap manusia tidak terlepas untuk bersosial kerana corak kehidupan mereka menggesa ke arah itu.

Sifat tawaduk lazimnya dapat melembutkan hati dan boleh menyebabkan hubungan sesama manusia menjadi mesra. Apabila wujudnya kemesraan sesama mereka maka ia dapat menyingkirkan kemarahan dan kedengkian.

4. Bertukar-tukar hadiah

Zaman sekarang tidak semestinya kita berjumpa berhadapan baru mahu kirimkan hadiah. Kita boleh juga menggunakan perkhidmatan jual-beli di atas talian untuk mengirimkan hadiah kepada orang tertentu supaya dapat terus menjaga hubungan baik dengan mereka.

Islam sangat menggalakkan kita untuk sentiasa saling memberi hadiah kerana ia dapat menghilangkan perasaan yang tidak baik di dalam diri dan ia terbukti memang berkesan!

Sabda Nabi S.A.W :

(تهادَوْا تحابُّوا)

“Hendaknya kalian saling memberi hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai”. (Riwayat al-Bukhari)

5. Bersedekah

Bersedekah merupakan amalan yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat kita. Platform sedekah pula begitu banyak diwujudkan serta dipelbagaikan supaya lebih ramai lagi orang dapat menyumbang. Ada yang menyediakan ruang bersedekah dengan cara tradisi seperti tabung, dan ada juga yang memmbuka platform sedekah secara online.

Namun, kita juga haruslah berhati-hati dalam memilih tempat atau platform untuk bersedekah terutamanya secara online dan pastikan duit kita disalurkan kepada badan yang dipercayai orang ramai.

Ini kerana ia merupakan ibadah yang dituntut supaya kita dapat membantu golongan yang memerlukan. Kita bukan hanya mahu pahala bersedekah. Kita juga mahu orang yang memerlukan betul-betul menerimanya.

Mari kita perhatikan firman Allah S.W.T :

(خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِمْ بِهَا)

Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk). (At-Taubah : Ayat 103)

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Shopping Cart
Shopping cart
There are no products in the cart!
Continue shopping
×

Klik logo di bawah untuk wassap kami segera.

× Bantuan?