3 “Jangan” yang akan menyelamatkan masa depan anak-anak. Ibubapa, mohon ambil perhatian

Secara umumnya, larangan kanak-kanak untuk melakukan sesuatu akan menyebabkan perkembangan mereka terbantut seperti larangan untuk mereka memakai baju sendiri, mandi sendiri, minum sendiri dan sebagainya. Jadi, dalam keadaan ini, pakar-pakar kanak-kanak menggalakkan untuk kita tidak menghalang anak-anak kita daripada melakukan perkara tersebut, dalam masa yang sama, kita perlu memantau dan bantu mereka.

Namun, terdapat perkara yang kita tidak boleh langsung memberi peluang untuk anak-anak terlibat atau melakukannya sendiri.

Larangan ini dibahagikan kepada 3 “jangan” antaranya :

1. Jangan Membiarkan Anak Bersendirian Dengan Telefon

Semua ibubapa tidak terlepas daripada kesibukan. Tetapi sebagai peringatan yang baik buat kita semua, sesibuk mana pun kita janganlah biarkan anak ‘menyibukkan dirinya’ dengan telefon.

Sebagai ibubapa, kita perlu sedar bahawa anak-anak tidak tahu memanfaatkan telefon seperti kita. Mereka hanya menonton atau menggunakan telefon kerana mereka tidak dilayan.

Jadi, apabila mereka tidak dilayan sebaiknya, mereka mencari sesuatu yang boleh melayan masa mereka, kerana itulah mereka memilih telefon kerana telefon boleh menghiburkan mereka, berinteraksi dengan mereka, bermain dengan mereka dan sebagainya.

Malangnya apabila telefon mengambil alih peranan ibubapa, bukan masa anak-anak sahaja diambil, bahkan kesihatan, sikap, intelektual juga turut akan dibentuk melalui telefon.

Tidak dinafikan bahawa telefon menyediakan program pendidikan dan hiburan yang bermanfaat, tetapi program-program yang tidak elok berbentuk lucah, pendedahan aurat dan hiburan melampau sebenarnya lebih banyak.

Jadi, usaha yang ibubapa boleh lakukan adalah berusaha untuk tidak membiarkan anak-anak bersendirian. Janganlah berputus asa untuk memeriksa apa yang mereka buat di telefon. Pantaulah sebaik mungkin.

2. Jangan memberi makan anak-anak dari sumber yang haram

Mendapat makanan yang halal adalah hak asasi bagi kita dan anak-anak. Ia merupakan tanggungjawab besar yang mesti dijalankan oleh kedua ibubapa kerana sumber rezeki yang haram dan ragu-ragu akan memberi kesan yang buruk dalam kehidupan manusia.

Kadang-kadang ibubapa tidak sedar bahawa rezeki yang mereka peroleh sebenarnya adalah dari sumber yang dilarang islam. Antara gambaran sumber pendapatan yang tidak halal seperti mencuri, hutang individu yang diabaikan, riba dan sebagainya.

Untuk mencari rezeki yang halal, ibubapa mestilah bekerjasama bagi memastikan sumber rezeki yang diperoleh adalah jelas dan halal.

Tidak dinafikan, mencari rezeki pada zaman sekarang sangatlah mencabar dan bukan mudah lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Cadangan yang baik untuk ibubapa adalah dengan memulakan perniagaan kecil-kecilan yang kurang berisiko seperti menjadi dropship dalam perniagaan, menjadi agen-agen produk halal tertentu, menawarkan sesuatu khidmat atau kepakaran dan sebagainya.

3. Jangan mendekatkan anak dengan rokok

Larangan merokok merupakan usaha yang sering dipandang sensitif terutama perokok itu sendiri. Ia merupakan cabaran yang besar jika anak-anak kita merupakan seorang perokok kerana ia mengandungi bahan kimia yang sangat merbahaya.

Usahalah sedaya mungkin supaya anak-anak kita membenci perbuatan merokok semenjak kecil lagi. Jangan sesekali benarkan anak kita mengenali rokok melainkan mengetahui kesan bahayanya.

Ingatlah pepatah melayu : “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika ibubapa mengabai dan membiarkan anak-anak terjebak dengan rokok, apabila mereka sudah besar, makin susah untuk kita baiki lagi kerana ketika itu, pendirian mereka sangat susah diubah melainkan jika dizinkan oleh Allah.

Selain itu, amalan merokok juga ditegah oleh Allah di dalam Al-Quran berdasarkan firman Allah s.w.t :

{وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ}

“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..” (Al-Baqarah : 195)

Merokok dianggap perbuatan yang membawa kepada kebinasaan, maka apabila seseorang mencampakkan dirinya ke lembah kebinasaan, bermakna ia telah melanggar apa yang Allah larang. Mohon perlindungan dari Allah.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam melahirkan masyarakat yang soleh dan sihat. Amin.

Sumber : Kaifa Nurabbi Auladana, Mohamed Jamel

Jika anda ingin belajar lebih mendalam kaedah mendidik anak-anak cara islam, sila klik gambar di bawah untuk ikuti kursus eksklusif bersama pakar rumahtangga yang kami sediakan secara percuma buat anda.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Shopping Cart
There are no products in the cart!
Continue Shopping
0