Ambil Langkah Pencengahan Bermakna Tidak Takut kepada Allah SWT?

Segelintir daripada umat Islam ada mempersoalkan umat Islam yang lain yang mengambil langkah pencengahan apabila wabak COVID-19 melanda dunia ini.

Malah ada yang mempersendakan dengan mempesoalkan rasa takut kepada COVID-19 melebihi rasa takut kepada Allah SWT? Kononnya terdapat unsur syirik yang tidak disedari oleh seseorang.

Persoalannya adakah benar mereka yang mengambil langkah-langkah pencengahan tidak takut kepada Allah SWT?

Hanya takut kepada selain Allah SWT seperti virus yang sedang melanda sekarang.

Naratif Sebenar Takut Sebagai Suatu Fitrah

Saya cuba membawa sisi sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT yang mengambil beberapa langkah pencengahan. Adakah saya takut kepada COVID-19 melebihi takut saya kepada Allah SWT?

Pertama, saya menyakini bahawa Allah SWT telah menanam dalam diri saya satu fitrah yang saya tidak dapat lari iaitu perasaan takut dan gerun terutama pada perkara yang boleh mengancam nyawa saya, agama saya, harta benda saya dan ahli keluarga saya dan maruah saya.

Dan saya yakin anda juga mempunyai perasaan tersebut juga. Saya bersyukur perasaan ini umpama perisai kepada saya, kerana ia membuatkan saya berhati-hati dalam tindakan saya agar tidak memberi kesan kepada perkara yang saya senaraikan di atas.

Saya tidak mendedahkan diri saya dalam bahaya, kerana takut kehilangan nyawa saya dan saya yakin ia akan dipersoalkan oleh Allah SWT bagaimana saya menjaganya.

Apakah perasaan takut ini adalah salah pada pandangan anda? Sekiranya salah maafkan saya, saya tidak dapat lari daripada fitrah kejadian ini.

Dan ini selari dengan fitrah yang Allah SWT tanam dalam diri Nabi Musa AS yang telah diabadikan kisahnya ketika mana tentera-tentera Fir’aun mencari Nabi Musa AS, dan baginda melarikan diri daripada Fir’aun ke Madyan dalam keadaan takut.

[Al-Qasas: 20-21]

Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu”.

Musa pun keluarlah dari negeri itu dalam keadaan takut sambil memerhatikan (berita mengenai dirinya) serta berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim “.

Apakah Nabi Musa AS takut kepada Fir’aun melebihi takutnya kepada Allah?

Sudut Pandang Takut Kepada Allah

Setelah saya merasakan bahawa takut itu sebagai satu fitrah yang Allah SWT jadikan dalam diri manusia, maka apakah sebenarnya takut kepada Allah SWT?

Bagi saya takut kepada Allah SWT adalah satu perasaan dalam diri akan kemurkaan Allah SWT. Rasa takut apabila dimurkai Allah SWT.

Rasa takut ini telah menolak saya untuk melaksanakan segala tuntutan yang diperintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Kerana saya sedar, saya sebagai seorang hamba kepada-Nya. Tidak layak untuk saya menderhakainya walaupun kadang-kadang saya juga tersungkur alpa.

Rasa takut akan dimurkai Allah SWT apabila kemungkinan saya telah menyebabkan kematian orang yang tidak bersalah akibat saya culas dalam menjaga diri saya yang telah dijangkiti penyakit.

Menjaga nyawa adalah perintah-Nya, membunuh nyawa adalah larangan-Nya.

Maka langkah-langkah pencengahan yang diambil bagi saya adalah menifestasi ketakutan saya kepada Allah SWT, sebab semuanya akan disoal dan dipertanggungjawabkan.

Apakah makna takut kepada Allah SWT pada pandangan anda apabila memperlekehkan mereka yang mengambil langkah-langkah pencengahan COVID-19 kerana takut virus tersebut menyerang nyawa manusia?

Dalam masa sama marilah sama-sama kita meyakini bahawasanya Allah SWT sahaja yang boleh memberi manfaat dan mudharat, maka kepada Allah SWT kita serahkan urusan ini selepas pelbagai usaha dan daya telah kita jalankan sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT dan rasulnya.

Artikel lain: https://kunanta.net/2020/03/16/covid-19-simpanan-kecemasan-dalam-institusi-keluarga/

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: