Select Your Favourite
Category And Start Learning.

URUSAN JODOH SERAH PADA MAK AYAH 100%???

“Saya dalam urusan jodoh saya serahkan seratus peratus keputusan kepada ibu ayah saya, terpulang pada mereka nak pilih siapa, saya terima saja”, kata seorang sahabat kepada saya.

Banyak kali dan selalu jumpa ayat seperti ini dari sebahagian orang. Tapi kali ini saya terdiam seketika dan terfikir, seperti ada yang tak kena.

Ya, memang ada yang tak kena. Ia sepertinya ada gelinciran dari prinsip syarak.

Dalam Al-Quran ayat ke 21 surah Rum, Allah menyatakan tentang erti sebuah perkahwinan. Katanya,

وَمِنۡ ءَایَـٰتِهِۦۤ أَنۡ خَلَقَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا لِّتَسۡكُنُوۤا۟ إِلَیۡهَا وَجَعَلَ بَیۡنَكُم مَّوَدَّةࣰ وَرَحۡمَةًۚ إِنَّ فِی ذَ ٰ⁠لِكَ لَـَٔایَـٰتࣲ لِّقَوۡمࣲ یَتَفَكَّرُونَ

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berpikir.”

Perbahasan ayat ini sebenarnya panjang, cuma saya ingin jelaskan dari satu sudut saja. Dalam ayat ini Allah menerangkan di dalam penciptaan berlainan jantina itu, padanya terdapat rasa kecenderungan atau cinta di antara satu sama lain, di mana ia menjadi muqaddimah kepada hubungan seks.

Maka di sini para ulamak dan fuqaha’ Islam meletakkan di antara adab atau disiplin syarak bilamana seorang lelaki dan wanita bujang yang ingin dikahwinkan maka perlulah wujud terlebih dahulu di antara mereka rasa SUKA atau CINTA kepada bakal pasangan.

Mestilah dikahwinkan seorang lelaki dengan perempuan yang dia rasa suka. Begitu juga dikahwinkan seorang perempuan dengan lelaki yang dia rasa suka. Kalau tidak ada suka, maka tak boleh berkahwin.

Apa yang perlu anda lakukan jika anak anda ingin berkahwin

Ya, tak dinafikan hakikatnya tidaklah salah untuk kita menyerahkan urusan memilih calon pasangan kepada kedua ibu bapa. Tapi kena ingat, ibu bapa hanyalah layak mencadangkan saja calon sekian dan sekian, tapi yang membuat keputusan pilih hakikatnya adalah kita.

Kita mesti cenderung rasa suka dan cinta kepada calon yang dicadangkan oleh ibu ayah. Andaikata bila kita tengok rupa paras calon, kita rasa tak berminat, tak hadir rasa suka, maka dengan serius perlu diberitahu bahawa kita tidak menyukainya.

Ini suatu yang sangat penting.

Ingat, akad nikah antaranya bermaksud akad untuk menghalalkan persetubuhan. Dan persetubuhan yang sempurna dan aman tidak akan berlaku jika tidak ada perasaan cinta dan suka di antara pasangan.

Mungkin setengah orang akan kata, “alar, kahwin ni bukan soal seks saja”.

Ya, kahwin bukan soal persetubuhan saja, tapi persetubuhan di antara tujuan utama perkahwinan sepertimana yang Allah sebut dalam ayat tadi, لتسكنو اليها – untuk kamu berasa tenteram dengannya; yaitu tenteram dari hubungan seks.

Malah hubungan seks yang bermasalah adalah sebab utama berlaku penceraian. Di dalam syarak juga, seorang isteri boleh meminta fasakh/cerai jika pasangannya mandul atau tidak mahu tidak boleh memberikan khidmat seksnya.

Maka perkahwinan yang mengikut jalur syarak yang sahih, mestilah dikahwinkan seseorang dengan orang yang dia suka dan cinta. Malah dalam hadis-hadis yang sahih, nabi suruh sahabat yang nak berkahwin agar pergi lihat dengan mata sendiri rupa paras bakal pasangan, lalu memutuskan samaada suka atau tidak.

Kalau suka, boleh sambung berkahwin. Kalau tak suka, tak boleh berkahwin.

Justeru, prinsip dan kalam orang yang sebut bahawa urusan jodoh 100% mahu diserahkan pada ibu ayah dan dia terus terima saja, hakikatnya prinsip ini bagus pada sebahagian sudut, namun salah dengan prinsip syarak pada sebahagian sudut yang lain.

Bagus kerana tsiqah dan hormatnya kepada ibu ayah, mahukan keberkatan dari pilihan ibu ayahnya. Itu baik Cuma kurang tepat dari aspek menerima saja siapa jua calon yang dipilih tanpa dia melihat, memikirkan dan membuat pertimbangan cintanya kepada bakal pasangan.

Maka saya simpulkan, boleh untuk ibu ayah mencadangkan calon pasangan, namun yang membuatkan keputusan serius untuk terima atau tidak adalah anak-anak.

Leave a comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: