Inilah MANFAAT Jika Anda Memahami dan Menghayati Ayat Suci Al-quran

Pernah Tak “Berkomunikasi” Dengan Allah SWT?

Pernah atau tidak anda berkomunikasi dengan Allah SWT sehingga anda rasakan Allah SWT berkomunikasi berdepan dengan anda.

Ketika solat sejauh mana anda merasai kehambaan kepada Allah SWT. Membaca Al-Fatihah dalam solat suatu kemuliaan agung, kerana ia sebagai salah satu komunikasi seorang hamba kepada Allah SWT.

Tapi sayang, berapa ramai yang solatnya sekadar solat gerakan tidak memberi erti kepada rohaninya, bacaan solatnya sekadar gerakan bibir dan lidah yang kosong.

Lihatlah kepada kepekaan Umar Abd Aziz saat membaca Al-Fatihah, beliau menghayati setiap ayat demi ayat dan beliau akan berdiam sejenak di setiap ayat Al-Fatihah yang dibacanya.

Ketika ditanya kenapa dari setiap ayat ke ayat yang lain, dia diam sejenak, adakah dia terlupa bacaan ayat seterusnya? Beliau menjawab: “Sungguh, aku ingin menikmati jawapan daripada Tuhanku”.

Sedangkan kita, membaca Al-Fatihah dalam keadaan tergesa-gesa, tiada kekuatan rohani yang bercambah malah perasaan ingin cepat menghabiskan bacaan dan solat yang hadir.

Seandainya seseorang itu membaca Al-Fatihah, dengan sedar dan penuh kefahaman maka dalam hatinya sentiasa merasakan Allah SWT menjawab ayat demi ayat dan hatinya akan terbang kegembiraan.

Bagaimana Membaca Al-Fatihah Seolah Berkomunikasi Dengan Allah SWT?

Hal ini diperlihatkan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis qudsi riwayat Imam Muslim:

“Aku membahagikan solat antara-Ku dan hamba-Ku menjadi dua bahagian dan bagi hamba-Ku untuk apa yang ia pintakan, apabila hamba berkata : “Segala puji bagi Allah, Rabb Sekelian alam”, Allah berfirman: hamba-Ku ini telah memuji-Ku,

Apabila hamba-Ku berkata: “Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”, Allah berfirman: hamba-Ku ini telah menyanjungi-Ku,

Apabila hamba-Ku berkata: “Yang menguasai hari pembalasan”, Allah berfirman: hamba-Ku ini berserah diri kepada-Ku,

Apabila hamba-Ku berkata: “Hanyasanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanyasanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan”, Allah berfirman: Ini antara Aku dan hamba-Ku, dan baginya apa yang ia minta,

Apabila hamba-Ku berkara: “Tunjukilah kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat”

Allah berfirman: Ini antara-Ku dan hamba-Ku dan baginya apa yang dia minta”

Berkomunikasi dan Merasai Dekatnya Allah

Apabila kita membaca Al-Fatihah dalam solat latihlah jiwa dan hati kita bahawa setiap ayat dalamnya, seolah-olah Allah SWT sedang berkomunikasi dengan kita, sebagaimana dalam Hadis Qudsi di atas.

Saat itu, kita akan sentiasa merasai Allah sentiasa dekat dan bersama dengan kita, jiwa dan rohani kita ada kekuatan untuk melayari kehidupan harian yang penuh mencabar.

Semoga kehidupan kita menjadi lebih baik dengan Al-Quran.

Artikel menarik: https://kunanta.net/2019/12/23/inilah-manfaat-jika-anda-memahami-dan-menghayati-ayat-suci-al-quran/

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: