Bagaimana Mendidik Anak-Anak Menghargai Wang?

Tahun lepas, pada 27 Julai 2019, saya berkesempatan terlibat dalam menjayakan Kem Bijak Wang yang dianjurkan oleh The Commune AOR bersama Wealth Vantage Advisory di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar. 

Bagaimana Mendidik Anak-Anak Menghargai Wang?
Peserta Cilik yang menghadiri Kem Bijak Wang

Program yang melibatkan pelajar seusia 10-14 tahun, dan saya diberitahu ada juga pelajar seusia 6 tahun yang hadir. Banyak maklum balas yang positif daripada ibu ayah yang menghantar anak-anak menyertai kem ini dan mengharapkan program sebegini dianjurkan lagi.

Antara perkara yang kami selaku pihak fasilitator harapkan tercapai dalam program ini ialah anak-anak menghargai wang yang mereka dapat, serta mengetahui nilai wang yang diperolehi oleh ibu ayah, dan ia bukan turun dari langit atau diperoleh dengan mudah tapi melalui hasil titik peluh serta keringat ibu ayah.

Sebelum ini, ada ibu ayah yang menyatakan, anak-anak akan merajuk sekiranya permintaan mereka untuk mendapatkan duit tidak ditunaikan malah dimarahi pula. Ada juga anak kecil yang tidak faham mengarahkan ibu ayah untuk ke mesin ATM sebab mereka sangka kalau nak duit, pergi ke mesin tersebut maka duit akan keluar.

Sebenarnya penting dalam institusi keluarga untuk memahamkan anak-anak bagaimana wang diperolehi dan tidak semua yang dihajati mereka akan dapat. Saya ingin berkongsi tips mendidik anak-anak agar menghargai wang dan menanam dalam minda mereka bahawa untuk mendapatkan wang bukan senang dan perlu berusaha.

Bagaimana untuk mendidik anak-anak menghargai wang?

Di sini saya senaraikan beberapa cadangan yang mungkin anda boleh cuba laksanakan.:

#1 Bawa anak-anak ke tempat kerja

Sekali-sekala anda boleh membawa anak-anak anda ke tempat kerja anda, untuk melihat bagaimana anda bekerja, kalau anda peniaga pasar malam, bawa anak anda ke sana, dan terangkan kepada mereka, apa yang anda sedang lakukan sekarang ini adalah untuk mendapatkan wang untuk membeli makanan dan keperluan asas bagi mereka.

Inilah kerugian besar Si Ayah apabila membiarkan anaknya pada orang lain.

#2 Arahkan anak-anak melakukan sesuatu dan hadiahkan wang

Untuk menanamkan dalam minda mereka, sekiranya nak dapatkan sesuatu mesti dengan usaha, jadi anda boleh menyuruh mereka melakukan sesuatu pekerjaan seperti membasuh kereta, mengemas rumah, lipat kain baju, menyidai baju di jemuran dan apa-apa sahaja yang sesuai dengan umur mereka, selesai sahaja melakukan sesuatu tugas, anda hadiahkan wang kepada mereka.

Menyelesaikan Task dan Dapat Wang

#3 Sediakan Tabung @ Kotak Wang untuk Anak-Anak

Ibu ayah perlu sediakan paling kurang satu tabung untuk setiap orang anak, ini bagi memahamkan mereka, tidak semestinya duit yang mereka dapat perlu dihabiskan segera, tetapi perlu disimpan. Malah galakkan anak-anak untuk mendapatkan sesuatu yang mereka hajati, mesti dengan merancang dan menyimpan. Tiada perkara yang boleh dapat secara serta merta kecuali sesuatu yang kecemasan. Saya yakin anak-anak akan bersemangat untuk menyimpan dan memenuhi tabung mereka.

#4 Memberi Tauladan Kepada Anak-Anak

Pepatah melayu berbunyi, “Bapa borek anak rintik”, sekiranya kita mahu anak-anak menghargai wang dan nilai wang, semuanya bermula daripada ibu ayah. Bagaimana anda sendiri menghargai wang. Pastikan anda berbelanja dengan berhemah dan cermat, tiada pembaziran dan semua perkara yang anda lakukan diperhati oleh anak-anak baik secara sedar atau pun tidak.

#5 Mengajar Anak-Anak Membeli Barang-Barang

Anda juga boleh mengajar anak-anak membeli barang-barang di kedai atau pasaraya supaya anak-anak dapat menghargai wang. Mereka akan tahu tentang nilai harga, sekiranya harga sebegini, berapa barang sahaja boleh dibeli, ajar mereka membandingkan harga, daripada apa yang dibelanjakan ada lebihan tak untuk disimpan di dalam tabung.

#6 Mengajar Mereka Menyumbang kepada Orang Miskin

Cara terakhir yang boleh anda lakukan supaya mereka menghargai wang adalah dengan mengajar mereka menderma, berjumpa dengan mereka yang tidak berkemampuan dan susah seperti gelendangan , dan ajar mereka memberi sumbangan.

Photo by Mihály Köles on Unsplash

Mereka akan nampak bagaimana wang itu mempunyai nilai sehingga orang miskin tersenyum gembira. Dan memahami disebabkan wang juga menyebabkan ada yang susah dan papa kedana.

Semoga 6 tips simple ini membentuk anak-anak untuk menghargai wang dan menyimpan demi masa depan mereka.

Artikel menarik kami : https://kunanta.net/2019/12/09/ingin-rezeki-bertambah-anda-akan-ketahui-selepas-baca-artikel-ini/

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: