Select Your Favourite
Category And Start Learning.

Kesusahan anak-anak Sabah yang anda tak pernah tahu

Saya sukarelawan Projek Sukarelawan Pendidikan (SukaDidik) 2019. Dihantar ke Kg. Tagupi Laut, Lahad Datu, Sabah awal tahun 2019. Perasaan saya dapat menyertai aktiviti SukaDidik ini amat mengujakan. Tambahan pula setelah mendengar pengalaman-pengalaman sukarelawan yang lepas. Pada mulanya saya agak gementar kerana khuatir tidak dapat melaksanakan tanggungjawab saya sebagai seorang pendidik. Antara sebab saya ingin menyertai aktiviti ini adalah saya ingin merasai kesusahan orang lain dalam kehidupan terutama kesusahan mereka untuk mendapatkan ilmu. Alhamdulillah, pengalaman ini membuatkan saya rasa lebih bersyukur dengan nikmat yang diberikan terutama nikmat iman dan Islam.

Antara aktiviti yang saya lakukan sepanjang di sana ialah;

i. mengajar di kelas subjek bahasa inggeris dan sains seperti biasa.
ii. mengajarkan anak-anak mengaji di surau selepas maghrib.
iii. melakukan aktiviti luar seperti kem pemantapan sahsiah dan ibadah.
iv. menziarahi penduduk kampung yang berdekatan.

Antara isu penduduk di sini ialah kesukaran mereka untuk pergi ke sekolah dan belajar seperti kanak-kanak yang lain. Hal ini menyebabkan mereka banyak ketingggalan dari sudut ilmu dan agama. Malah ramai di antara mereka mengambil keputusan untuk tidak bersekolah dan bekerja untuk menyara pendapatan keluarga.

Antara puncanya, saya dapati berlakunya permasalahan tersebut kerana;

i. jarak di antara rumah dan sekolah amat jauh. Sekolah yang paling hampir pula lebih kurang 30 km dari kampung mereka.
ii. Status kewarganegaraan tidak jelas. Ramai antara mereka yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
iii. kurang pendapatan keluarga. Hal ini menyebakan mereka lebih memilih untuk bekerja dan tidak belajar bagi membantu dan menyara keluarga. Malah isu ini juga antara punca kesukaran mereka untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri kerana perjalanan dari kampung ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara amat jauh dan ia memerlukan kos yang tinggi bagi menampung duit makan dan minyak mereka.

Antara perkara yang menyentuh hati saya ialah ketika mana setelah hampir sebulan di sana, selepas kelas mengaji pagi terdapat salah seorang anak murid saya datang memegang tangan sambil mengatakan; “muallimah (cikgu) janganlah pergi, janganlah tinggalkanku di sini..” beserta dengan raut wajahnya yang sayu. Saya hanya mampu tersenyum. Kata-katanya seperti dia tahu bahawa aku akan pulang ke tanahair. Kemudian dia mengulangi lagi, “muallimah janganlah pergi, tinggallah di sini”. Saya pun mula mengorak langkah bicara, “muallimah harus pulang, muallimah masih ada ibu dan ayah di sana. Kalau muallimah tidak pulang nanti ibu dan ayah muallimah akan sedih. Siapa yang mahu jaga mereka”. Dia hanya diam. Saya harapkan kata-kata tadi sudah cukup membuatkan dia berhenti merayu dan saya seupayanya menahan sebak.

“Muallimah ajaklah ibu ayah muallimah tinggal di sini. Tinggal dengan kami”, terus dia memelukku erat. Saya hanya mampu tersenyum. Air mata saya menitis akhirnya, tiada lagi daya untuk menahannya.

Saya berharap agar aktiviti SukaDidik ini dapat diteruskan bagi membantu, menyantuni dan mendidik anak-anak yang keciciran ini. Saya mohon agar penyumbang-penyumbang di luar sana terus menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mereka. Moga-moga Allah menerima segala amalan kita kecil atau besar.

Siti Nabila bt. Mohd Zin
Bangi, Selangor.

Gambar kenangan sepanjang berada di sana:

Leave a comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: