Apa yang perlu anda lakukan jika anak anda ingin berkahwin

Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Anak Anda Ingin Berkahwin?

Anak-anak kian membesar. Adakalanya mereka akan berkata: “Ayah, saya mahu berkahwin.”

Sebagai ibu bapa, bolehkah kita katakan “tidak” kepada hasrat mereka? Sebenarnya kita tidak boleh beri jawapan ‘boleh’ atau ‘tidak’ itu dengan apa yang ada di dalam ‘poket’ kita.

Maksudnya, walaupun kita sudah besarkannya dengan hasil rezeki yang kita cari. Tak bermaksud kita berhak menentukan siapa pasangan hidupnya.

Mengapa? kerana anak-anak kita adalah hak Allah. Allah boleh mengambilnya pada bila-bila masa sahaja dan Allah jualah yang menetapkan segala sesuatu keatasnya.

Allah menguji kita bukan sekadar dengan kurniakan anak-anak sahaja, tetapi disebaliknya itu Allah juga memberikan amanah kepada kita untuk dijaga.

Apabila Allah ingin mengambil anak-anak kita, Dia akan mengambilnya tanpa perlu tanyakan kita. Lalu kita menangis kerana anak kita sudah pergi bertemu ilahi. Itu adalah biasa.

Namun menangis itu juga satu rahmat kerana air mata juga sebahagian daripada rahmat-Nya.

Photo by M.T ElGassier on Unsplash

Jangan paksa mereka untuk berkahwin dengan siapa yang kita suka

Maka apabila anak-anak kita beritahu bahawa mereka ingin berkahwin, kita perlu melihat semula kepada perintah Allah. Ketika itu kita hanya perlu serahkan urusan itu kepada Allah.

Kebanyakan ibu bapa melakukan kesilapan. Mereka mengatakan kepada anak-anak mereka, “Kamu tidak bersyukur. Aku telah besarkan kamu dan hantar kamu ke sekolah. Aku pergi kerja dan cari duit untuk kamu. Tetapi kamu mahu kahwin dengan seseorang yang aku tidak setuju.”

Perkataan seperti itu menzahirkan kebodohannya. Ia menunjukkan bahawa mereka sudah pun mengeluarkan Allah dalam urusan kehidupan mereka.

Apabila anak-anak ingin berkahwin, kita perlu mengikut beberapa garis panduan. Apakah itu?

Berbalik kepada sabda Nabi Muhammad:

“jika datang seseorang yang kamu redha dengan agamanya dan akhlaknya maka kahwinilah dia. Jika kamu tidak lakukan sedemikian maka akan berlakulah fitnah diatas bumi dan kerosakan yang besar.”

Selagimana kita sukakan akhlaknya maka biarkan anak-anak kita kahwini mereka. Biarkan anak itu bahagia. Kita tidak boleh sesekali memaksa anak-anak kita untuk berkahwin dengan siapa yang kita suka.

Adapun ia suatu adat, tetapi ia mungkin bercanggah dengan syarak

Terdapat juga satu adat dimana jodoh mereka telah pun ditetapkan oleh ibu bapa sejak kelahiran mereka. Sama ada mereka suka ataupun tidak, mereka sudah pun ditetapkan siapa pasangan hidup mereka. Ketahuilah, itu sebenarnya telah melanggar kehendak Allah.

Sebagai ibu bapa, kita hanya boleh berbincang dan beri pendapat. Jangan sesekali memaksa mereka.

Ada juga sebahagian ibu bapa yang menolak pinangan seseorang keatas anak perempuannya kerana perbezaan warna kulit. Sepatutnya ibu bapa itu perlu berbincang. Cari kesalahannya. Perbezaan warna kulit bukan kesalahannya.

Lihat, Bilal Bin Rabbah merupakan salah seorang ahli syurga. Biarpun kulitnya gelap tetapi itu bukan kesalahannya. Bilal Bin Rabbah juga berkahwin. Ada sahaja orang yang ingin mengahwininya. Tiada masalah.

Photo by Trevor Cole on Unsplash

Islam dan bangsa

Pernahkah kita tertanya-tanya mengapa Allah jadikan sahabat nabi dari pelbagai bangsa? Kenapa perlu adanya Bilal Bin Rabbah dalam kalangan para sahabat? Kenapa perlu adanya Suhaib Al-rumy daripada Rom dalam kalangan para sahabat?

Mengapa? Ianya untuk menunjukkan bahawa Islam itu bukanlah satu agama bangsa. Bangsa Bilal tidak menjadikan dia hina. Begitu juga dengan bangsa Abu Lahab tidak menjadikan dia mulia. Seseorang itu hanya dilahirkan. Bukan salah mereka dilahirkan di mana.

Itulah salah satu ujian kepada kita. Mungkin kita tidak sukakan sesuatu tetapi ia tidak bererti kita boleh membuat percaturan sendiri sesuka hati. Kita boleh berbincang tetapi kita tidak boleh memaksa dan berkasar.

Anak-anak adalah amanah Allah. Allah boleh mengambil semula amanah itu pada bila-bila masa sahaja. Maka jagalah amanah itu sebaik mungkin. Wallahua’lam.

Baca juga: Ketahui Elemen PENTING Ini Sebelum Mendidik Anak-Anak

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: