ketahui elemen penting ini sebelum mendidik anak-anak

Ketahui Elemen PENTING Ini Sebelum Mendidik Anak-Anak

Dalam merancang pendidikan anak-anak, kita sebagai ibu bapa perlu mengetahui semua elemen penting ini.

Seperti kita sedia maklum, manusia diciptakan daripada elemen tanah. Bukan daripada planet lain atau elemen lain. Maka dengan itu, manusia terutamanya anak-anak remaja memiliki sifat-sifat tanah tersebut.

Photo by MI PHAM on Unsplash

Sebahagian anak-anak kita bersifat seperti pasir, mudah berbekas. Kita selalu menasihati dan menegur anak-anak kita. Mereka mudah ingat tetapi begitu juga mereka mudah lupa. Hilangnya nasihat daripada minda mereka seperti hilangnya kesan pasir yang berbekas itu.

Maka tidak hairanlah apabila kita memarahi dan menegur anak kita, mereka faham dan menjadi baik seketika. Kemudian selang 5 minit mereka kembali pada tingkah laku yang sebelumnya. Demikianlah sifat pasir.

pendidikan memerlukan kesabaran

Ada pula sebahagiannya bersifat seperti tanah liat di mana ia mudah dibentuk. Kadang-kadang Allah berikan kepada sesetengah ibubapa mendapat anak yang mudah dibentuk, dan mudah dicorak keperibadiannya.

Photo by Alex Jones on Unsplash

Namun begitu mungkin, Allah mengujinya dari sudut yang lain.

Kemudian, ada juga sebahagian anak-anak kita bersifat seperti tanah keras. Tanah keras yang mana sifatnya perlu diketuk kuat untuk membentuknya. Oleh kerana demikian, ada segelintir pihak kata anak-anak tidak boleh dirotan dan sebagainya.

Namun ada juga yang bersifat seperti batu. Ia sukar dibentuk tetapi ia tidak bermaksud mustahil untuk dibentuk.

Namun apabila dibentuk keperibadiannya menjadi seorang manusia yang soleh, InsyaAllah kita sebagai ibubapa akan berasa tenang fikiran, sejuk mata memandang dan sebagainya.

Mungkin kita tidak tahu, Islam ada banyak kaedah untuk membentuk semua elemen tersebut. Ada pendidikan dengan hukuman, ada juga pendidikan dengan nasihat, ada juga pendidikan dengan kisah tauladan, ada juga pendidikan dengan hikmah dan sebagainya.

Itu semua sebahagian daripada sistem pendidikan Islam. Mungkin ada anak-anak yang perlu kita tegur dengan meninggikan sedikit suara dan sebagainya. Itu hanya untuk menzahirkan penegasan dan bukan menggambarkan kebencian kita.

Photo by Steve Douglas on Unsplash

Kita perlu ada sifat seorang petani

Dalam pembentukan keperibadian anak-anak dan pendidikan ini, ia memerlukan kesabaran. Maka dengan itu, kita selaku ibubapa perlu miliki fitrah sebagai seorang petani. Kita bercucuk tanam, tekun, gigih, bersabar dan sebagainya.

Fitrah seorang petani perlukan kesabaran yang tinggi. Kadang-kadang sesetengah pokok memakan masa 10 tahun dan lebih untuk berbuah dan berhasil. Begitu juga dalam mendidik anak-anak dan membentuk keperibadian mereka.

Pendidikan anak-anak juga akan membuah hasil dengan jangka masa yang panjang. Mungkin 10 atau 15 tahun mendatang baru kita nampak hasil didikan kita. Adakah pendidikan anak-anak kita ini betul atau salah, berjaya atau tidak?

Artikel berkaitan: 8 sikap yang diperlukan oleh seorang ayah untuk menjamin masa depan anak-anak

Ketika itulah kita akan menuai hasil didikan kita sama ada pendekatan didikan kita terhadap anak-anak betul atau tidak. Maka didiklah anak-anak dengan kesabaran yang tinggi dan ilmu yang secukupnya,

Maka dalam pendidikan anak-anak, kita tidak boleh mengamalkan konsep ‘try and error’. Kita tidak boleh memperjudikan pendidikan anak-anak kita. Kerana itu mungkin akan memberi kesan pada keperibadian anak-anak kita kelak. Wallahua’lam.

1 thought on “Ketahui Elemen PENTING Ini Sebelum Mendidik Anak-Anak”

  1. Pingback: Apa Yang Perlu Anda Lakukan Jika Anak Anda Ingin Berkahwin?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: