Manfaatkan masa PENTING anda bersama keluarga yang tercinta

Photo by Ashton Bingham on Unsplash

‘Masa itu sebahagian daripada rawatan’.

Untuk mendapatkan masa yang berkualiti bersama keluarga, kita perlu luangkan masa, tenaga bahkan wang ringgit kita untuk pendidikan anak-anak kita.

Kita perlu mempunyai sikap seorang peniaga

Kita juga perlu mempunyai ‘fitrah’ peniaga yang mana mereka bijak mencari peluang dan ruang-ruang terbaik. Begitu jugalah kita perlu mencari ruang-ruang masa untuk mendidik anak-anak kita.

Lalu bagaimana jika kita terlalu sibuk bekerja sehingga tiada masa untuk diluangkan bersama anak-anak? Mustahil kita tiada langsung masa untuk diluangkan bersama.

Mungkin kita hanya ada setengah jam sahaja untuk diluangkan. Walaupun setengah jam sahaja yang tersisa, pastikan kita manfaatkan sebaiknya.

Begitulah hasil fitrah seorang peniaga, dia bijak mencari masa dan peluang walaupun sedikit. Walaupun hanya sedikit masa, dia mampu menjadikan masa yang sedikit itu berkualiti.

Janganlah kita pulang daripada tempat kerja dalam keadaan letih, kusut, serabut dan sebagainya. Kerana apabila anak-anak melihat kita sebegitu, mereka tidak berani untuk menegur kita walaupun sepatah.

Sebolehnya kita pulang dalam keadaan yang segar dan bersemangat. Jika perlu, sebelum kita pulang ke rumah singgahlah makan terlebih dahulu supaya kita boleh pulang dalam keadaan segar dan tidak lesu.

Dengan itu apabila anak-anak melihat kita, mereka pun gembira dan ceria.

Photo by Robert Collins on Unsplash

Kita sebagai ibubapa juga selaku pendidik perlu ada fitrah peniaga itu. Dengan itu, kita mampu mencari peluang dan suasana untuk mentarbiyah anak-anak kita.

Tiada jalan pintas bagi tarbiyah.

Apabila disebutkan tarbiyah dan pendidikan, ia memerlukan kepada masa. Jangan pula kita fikirkan jalan singkat yang mudah untuk melakukannya supaya kita tidak akan menyesal kelak.

Ibnu Jauzi mengatakan:

“kecenderungan manusia kepada kefujuran ini ibarat air yang turun daripada bukit, manakala kecenderungan manusia kepada kebaikan pula ibarat air menaiki bukit”.

Begitulah apabila air hendak naik ke puncak bukit, ia memerlukan banyak pam untuk mengepamnya ke puncak.

Maka bagi melahirkan anak-anak yang soleh, kita perlu merancang pelbagai program tarbiyah yang mana berfungsi sebagai pam-pam itu.

Antaranya seperti solat berjemaah, halaqah mingguan bersama keluarga dan sebagainya supaya anak-anak kita sentiasa didorong kepada ketaatan, keimanan dan ketakwaan kepada Allah.

Tarbiyah juga bukan suatu perkara yang boleh dipaksa tetapi ia merupakan salah satu cara untuk kita berinteraksi dengan jiwa anak-anak.

Tidak semua perkara negatif dalam jiwa anak-anak kita perlu buang.

Jika anak kita seorang yang degil, ia merupakan satu aset dan potensi yang kita perlu jaga. Cuma kita perlu arahkan kepada degil yang betul.

Jangan kita buang potensi-potensi itu tetapi kita hanya perlu arahkannya kepada arah yang betul.

Begitu juga sahabat-sahabat yang mendokong dakwah dan sebagainya, mereka juga orang-orang yang degil. Hasilnya, mereka mampu bertahan menghadapi pelbagai ujian yang dahsyat.

Demikianlah tarbiyah dimana kita berinteraksi dengan jiwa anak-anak dan kita gilap potensi-potensi mereka supaya sentiasa terarah mengikut apa yang dikehendaki oleh Allah.

Artikel menarik berkaitan pengurusan kewangan: Cara Berkesan untuk Orang MALAS Merekod Aliran Tunai

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: