Inilah 4 Akhlak Yang Nabi Tonjolkan Sehingga Dicintai Kesemua Isteri Baginda

Nabi ﷺ diutuskan oleh Allah untuk membawa akhlak yang paling agung di muka bumi dan dalam al-quran juga telah termaktub bahawa baginda memang benar-benar memiliki akhlak yang paling agung. “Dan sungguh, engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung”

Akhlak baginda yang hebat telah menyentuh semua jenis pangkat manusia tidak kira miskin atau kaya, tua atau muda, perempuan atau lelaki.

Semua yang pernah bergaul dengan baginda pasti pergaulan tersebut diakhiri dengan kebahagiaan dan cinta apabila menerima sentuhan akhlak baginda. Tetapi dalam artikel ini, saya akan menceritakan orang yang paling bahagia sekali dalam semua manusia yang senantiasa menerima sentuhan akhlak nabi setiap detik dan saat. Merekalah isteri-isteri Nabi ﷺ.

Bagaimana Nabi ﷺ bergaul dengan isteri-isteri baginda?

Inilah 4 perkara yang Nabi ﷺ lakukan apabila berada di samping isteri-isteri baginda.

1. Baginda sering bermanja dan sentiasa berada di sisi isteri baginda.

Diriwayatkan bahawa setiap pagi hari, Nabi ﷺ akan berjumpa dengan salah seorang isteri baginda untuk memberi salam serta mendoakannya.

Apabila tiba di sebelah petang pula, Nabi ﷺ akan berdating. Ketika itulah samada nabi akan bermesra, bermanja sambil bercium atau sebagainya.

Kata ulama : “Nabi melakukan demikian adalah kerana baginda ingin bermesra, bermanja serta menjaga hati isteri baginda supaya apabila nabi ingin meninggalkan mereka di rumah nanti, nabi akan tinggal dalam keadaan hati mereka sentiasa tertawan dan mencintai baginda serta tidak merasai kehilangan baginda ﷺ”

Bukan kepada seorang isteri sahaja nabi melakukan demikian. Bukan kepada Saidatina A’isyah yang rupawan sahaja yang nabi bermanja serta bermesra, bahkan nabi ﷺ melakukan perkara yang sama kepada semua isteri baginda! Allahuakbar!

2. Nabi ﷺ adalah seorang suami yang sangat menjaga perasaan isteri baginda.

Baginda ﷺ amat menyedari adakah perasaan isteri baginda baik-baik sahaja ataupun sedang merajuk.

Nabi ﷺ pernah beritahu Saidatina ‘Aisyah : “Sesungguhnya aku tahu sangat bahawa kamu sedang senang hati denganku atau sedang marah” Saidatina ‘Aisyah bertanya : “Bagaimana kamu boleh tahu? Nabi ﷺ bersabda : “Jika kamu senang hati denganku, kamu akan berkata : “Tidak, demi Tuhan Muhammad” Dan jika kamu merajuk atau marah denganku, kamu akan berkata : “Tidak, demi Tuhan Ibrahim” Saidatina ‘Aisyah lalu berkata : “Ya betul wahai Rasulullah. Aku hanya tidak akan sebut namamu sahaja”

Lihatlah bahawa kesibukan baginda ﷺ dalam urusan negara, peperangan, persediaan tentera, menyebarkan dakwah seluruh dunia, mengutuskan surat ke Kisra dan Qaisar dan terlibat dengan urusan-urusan yang besar, semuanya tidak menghalang daripada baginda ﷺ menjaga perasaan isteri baginda!

Suami-suami sekalian. Bagaimanakah sikap kita terhadap perasaan isteri kita? Adakah kita mempedulikan perasaan mereka? Kita tahu tak isteri kita senang hati dengan kita atau berdendam dengan kita? Adakah kita tahu mereka sedih atau gembira? Ataupun kita tidak menghiraukan bagaimana perasaan isteri kita?

3. Baginda ﷺ sentiasa memastikan diri baginda dalam keadaan bersih.

Adalah Nabi ﷺ, apabila baginda pulang masuk ke rumah, baginda akan mula dengan bersugi supaya isteri baginda tidak menghidu bau pelik.

Tujuan baginda melakukan demikian adalah kerana ingin mengelakkan mulut baginda dihidu oleh isteri baginda kesan daripada perbualan dan percakapan Nabi ﷺ dengan orang di luar sana. Apabila baginda sampai di rumah, baginda akan menjadi orang yang paling baik keterampilannya untuk ahli keluarga baginda.

4. Baginda ﷺ juga tetap akan memastikan diri baginda dalam keadaan yang wangi

Di antara peribadi baginda ﷺ adalah, baginda amat suka berwangi-wangian dan ia merupakan salah satu perkara duniawi yang disukai baginda ﷺ sebagaimana dalam sebuah hadith : “Di antara perkara dunia yang aku cintai adalah : “Wanita dan wangian. Ia menjadi penyejuk mataku di dalam solat”

Renunglah para suami sekalian. Di manakah kita meletakkan darjat isteri kita sehingga kita sanggup melemparkan keserabutan kerja seharian kita di hadapan isteri kita? Adakah kita mengharapkan kebahagiaan jika apa yang kita bawa pulang ke rumah adalah keletihan, tekanan dan kelaparan?

Senyum dan peluklah keluarga kita apabila pulang ke rumah. Kita pasti mampu melakukan yang terbaik untuk meriangkan isteri dan anak-anak kita.

Demikianlah akhlak terbaik yang ditonjolkan Nabi ﷺ untuk kita semua teladani. Anggaplah semua ini sebagai petunjuk dari Allah untuk menjadikan rumah tangga lebih berkualiti dan bermakna.

Rujukan : كيف عاملهم صلى الله عليه وسلم؟

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: