Inilah 2 peristiwa cerai paling sedih yang anda akan baca

Satu fenomena yang saya mula sedari sejak 10 tahun lalu ialah perceraian pada umur muda, itupun kerana yang terlibat itu adalah teman saya sendiri. Mungkin fenomena ini sudah lama bermula tetapi saya mula menyedari dan melihat perkembangannya sejak peristiwa yang melibatkan kawan saya tersebut.

Mereka masih muda, awal 20an. Ketika itu isterinya sedang hamil anak yang pertama jadi mereka terpaksa menunggu hingga anak itu lahir untuk mereka bercerai.

Cukup menyedihkan, seorang wanita yang sedang hamil dengan segala kesakitan dan kesulitan kemudian akan menempuh saat-saat getir melahirkan anak itu sedang menunggu saat-saat untuk menjadi janda pada usia yang begitu muda. Saya tidak dapat membayangkan perasaannya dan saya pun tidak dapat berbuat apa-apa walaupun suami ataupun ‘bakal’ bekas suaminya pada masa itu adalah kawan saya. Tentunya sukar untuk mempertahankan rumahtangga disaat-saat keruntuhan.

Peristiwa yang kedua yang saya saksikan ialah pada 20 Feb 2006 lepas, peristiwa yang hampir sama; isteri hamil yang menunggu saat untuk menjadi janda. Saya masih ingat dengan tepat tarikh itu kerana pada masa itu saya sedang menantikan kelahiran anak saya yang keempat. Peristiwa ini lebih menyayat hati saya.

Bayangkan ketika kita sedang berdebar-debar menunggu saat-saat isteri sedang bersalin, pada ketika itu seorang ibu sedang menanti anaknya yang juga sedang bersalin. Saya tanyakan pada ibunya, mana suami anaknya itu, jawab ibu itu dengan wajah bercampur marah, geram dan sedih “suaminya tidak datang, kalau datangpun bila anaknya dah lahir nanti sebab dia tunggu masa yang sesuai untuk berpisah dengan anak makcik” Saya jadi tergamam hingga tidak ada soalan lain yang dapat keluar dari mulut saya walaupun banyak perkara yang ingin saya tanyakan.

Saya hampir-hampir menitiskan airmata mungkin kerana pada masa itu isteri saya sendiri sedang bergelut dengan maut untuk melahirkan anak sebagai bukti cinta kasih kami sebagai suami dan isteri.

Lidah saya menjadi kelu seketika sambil saya melihat pada wajah makcik tersebut. Tentunya seorang ibu yang menanggung kesengsaraan atas kesengsaraan (Wahnan ‘ala wahnin) untuk melahirkan dan membesarkan anaknya seperti yang digambarkan dalam surah al Luqman kini sedang menanti anaknya sendiri itu menempuh saat-saat yang sama kemudian anaknya itu akan jadi janda pada usia yang begitu muda. Saya terdiam terus hingga kami bertemu semula esoknya kerana diizinkan Allah, katil anaknya itu bersebelahan dengan katil isteri saya.

Ini adalah 2 peristiwa yang saya saksikan sendiri, tentunya ada banyak lagi yang berlaku tanpa pengetahuan saya. Itupun tak termasuk perceraian-perceraian yang biasa berlaku pada umur awal 20an yang tidak sepilu seperti kisah yang saya ceritakan tadi, bahkan kalau kita selidiki di taman-taman atau kampung tempat kita tinggal mungkin ada lebih dari 1 kes perceraian pada umur muda atau ‘janda dan duda’ muda. Mungkin kita boleh kata suaminya tidak bertanggungjawab tetapi kita sendiri tidak pernah menyelami punca perceraian mereka. Mungkin kita betul mungkin kita agak emosional.

Inilah realiti dimana kita sedang berada. Manusia seolah-olah hidup tanpa kemanusiaan dan kasih sayang. Dan sememangnya suasana hari ini tidak banyak mengajar masyarakatnya erti kemanusiaan dan kasih sayang seperti yang saya bincangkan dalam tajuk ‘sentuhan kasih sayang’. Mungkin artikel saya itu ada yang tidak bersetuju atau menerima tetapi inilah yang saya saksikan.

Dalam suasana hari ini kita benar-benar memerlukan satu panduan hidup yang murni dan hakiki. Satu panduan hidup yang pernah menumbuhkan kasih sayang dan memancarkan cahaya kebahagiaan pada umat pertama hasil didikan Rasulullah SAW. Saya teringatkan kepada asbabul Nuzul ayat 103 surah Ali ‘Imran;

Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah sekaliannya, janganlah kami bercerai berai. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu sedang bermusuhan, kemudian Allah satukan hati-hati kamu dan jadikan kamu hidup bersaudara….seterusnya”

Ketika itu seorang yahudi cuba melaga-lagakan puak Aus dan Khazraj. Sebelum kedatangan Islam diriwayatkan puak Aus dan Khazraj ini telah berperang selama hampir 200 ratus tahun hanya kerana alasan yang kecil. Tetapi apabila mereka menerima Islam sebagai sistem hidup mereka, kedua kaum ini disatukan oleh Rasulullah SAW dengan nama Ansar dan mulai dari hari itu mereka hidup bersaudara dengan penuh kasih sayang.

Kini yahudi tersebut cuba mengungkit-ungkit cerita lama dengan nada penuh kebenciaan dan menyemarakkan pergaduhan dan peperangan. Sahabat-sahabat yang terdiri dari kaum Aus dan Khazraj itu mula menyinsing lengan dan mula membara rasa permusuhan hinggalah Allah menurunkan ayat tersebut, lalu mereka menangis berpelukan menyesali sikap mereka tadi.

Mungkin hari ini tidak ada peperangan yang berlaku tetapi yang nyatanya hati-hati kita tidak bersatu. Semuanya hidup dalam dunianya masing demi kepentingan diri masing-masing.

Kesenangan dan kemewahan menjadikan hati kita tebal dan keras untuk merasa simpati dan kasih. Kecintaan kita hampir keseluruhannya pada sesuatu yang bersifat sementara kerana itu sajalah yang ‘instant’ dan boleh dicapai oleh hati-hati yang keras dan tebal dengan kebendaan dan kepentingan diri. Kadang-kadang keseronokan yang sementara inilah yang menjadi pendorong kepada terbinanya rumahtangga-rumahtangga yang sementara. Mereka hanya melihat pada kecantikan dan ketampanan, kemewahan dan kekayaan bukan kepada keimanan dan keperibadian calon pasangan hidupnya

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: