Kasihan Isteri Terpaksa Menanggung Beban Kewangan Berseorangan.

Apakah itu beban kewangan? Beban kewangan adalah tangungjawab kewangan yang dipikul oleh seseorang semasa hayatnya seperti perbelanjaan diri sendiri, perbelanjaan keluarga, hutang dan sebagainya.

Dalam sesebuah keluarga, anda kena tahu beban kewangan yang sedang anda pikul dan pasangan anda pikul. Contohnya anda sebagai suami, semua perbelanjaan keluarga anda yang menanggungnya, anda yang keluarkan duit untuk tujuan ini, isteri dan anak-anak tidak mengeluarkan duit pun untuk tujuan ini.

Bayangkan selama ini ditanggung oleh anda, kemudian diambil alih oleh isteri anda.

Ataupun sebahagian perbelanjaan rumah ditanggung oleh suami dan sebahagian lain ditanggung oleh Isteri. Begitu juga pembiayaan rumah yang sedang didiami dibayar oleh pasangan, maka siapa yang membayar, dialah yang menanggung beban kewangan tersebut.

Pernah tak anda terfikir, sekiranya seseorang yang menanggung beban kewangan itu sudah tiada, siapa yang akan mengambil alih beban kewangan tersebut. Contohnya anda sebagai seorang suami, ditakdirkan anda meninggal dunia, semasa hayat anda, kos perbelanjaan rumahtangga hanya ditanggung oleh anda seorang, selepas ketiadaan anda, siapa yang akan menanggung beban kewangan itu?

Sudah tentu pasangan anda yang perlu mengambil alih tugas anda. Bukan mudah ya, untuk pasangan atau ahli keluarga mengambil alih tugas anda secara mengejut, sudahlah kesedihan kehilangan anda, terpaksa juga menanggung beban kewangan yang ditinggalkan anda. Sadis.

Sebelum tidur, pastikan anda tahu apa jenis-jenis beban kewangan, saya senaraikan antara jenis-jenis beban kewangan yang mungkin sekarang anda sedang pikul, buat perkiraan supaya anda tahu berapa jumlah beban kewangan yang bakal anda tinggalkan supaya keluarga anda lebih bersedia untuk memikulnya.

Jenis-jenis beban kewangan

Antara jenis-jenis beban kewangan yang mungkin anda sedang pikul adalah seperti di bawah:

#1 Beban Perbelanjaan

Semua perbelanjaan yang melibatkan perbelanjaan keluarga yang anda sedang pikul adalah dikira sebagai beban kewangan. Sekiranya anda tiada, keluarga anda masih ada untuk teruskan hidup, perbelanjaan mereka tetap perlu dibelanjakan walaupun anda sudah tiada. Cuma beban tersebut bukan lagi dipikul oleh anda tetapi oleh pasangan anda.

Contoh: Ahmad seorang cikgu bergaji RM7000 sebulan, RM3000 daripada gajinya diperuntukkan untuk membeli barang dapur, membayar bil api dan air, duit sekolah anak-anak dan semua perbelanjaan keluarga.

Sekiranya beliau meninggal dunia, RM3000 untuk perbelanjaan keluarga tetap perlu dikeluarkan dan diperuntukkan, bezanya jumlah itu tidak lagi diambil daripada gaji Ahmad, kemungkinan besar diambil dari gaji isteri.

Perbelanjaan peribadi? yang hanya guna untuk diri sendiri adakah dikira sebagai beban kewangan yang akan dipikul oleh orang lain selepas ketiadaan anda? Pandangan saya, ia tidak menjadi beban kewangan yang akan dipikul oleh orang lain, kerana anda sudah tiada, perbelanjaan itu juga mungkin tidak wujud. 

#2 Beban Hutang / Pembiayaan

Semasa hayat anda, anda mungkin ada mengambil apa-apa pembiayaan atau hutang misalnya, pembiayaan perumahan, pembiayaan peribadi, hutang kredit kad atau lain-lain. Hutang atau pembiayaan tersebut atas nama anda, anda yang membayarnya. Sekiranya anda meninggal dunia, siapakah yang akan menanggung hutang tersebut?

Sekiranya pembiayaan-pembiayaan itu dilindungi oleh mana-mana takaful, syukur, mungkin semuanya telah diselesaikan, tetapi sekiranya tidak dilindungi, sudah tentu menjadi kewajipan keluarga untuk menanggungnya.

Bercakap tentang hutang yang tidak dibayar sesudah meninggal dunia, akibatnya amat besar kelak di akhirat, Rasulullah SAW pernah tidak solat jenazah mereka yang meninggal dunia dalam keadaan berhutang.

Maka menjadi beban ahli keluarga untuk menanggung dan memikul tugas ini, supaya menyelesaikannys sesegera mungkin. Kira semula jumlah hutang-hutang yang tak dilindungi yang masih berbaki, dan maklumkan kepada pasangan anda supaya dia tahu yang ada lagi hutang yang perlu diselesaikan.

Kemungkinan juga ia bakal dipikul oleh anak kesayangan anda

#3 Beban Perancangan Kewangan

Beban perancangan kewangan. Beban di mana anda dan pasangan anda merancang untuk mencapai cita-cita kewangan keluarga misalnya, pendidikan anak-anak. Anda dan pasangan bersama-sama menyimpan untuk pendidikan anak-anak supaya anak-anak dapat menyambung pelajaran di universiti yang anda inginkan.

Dalam fasa menjayakan perancangan kewangan tersebut, ditakdirkan Allah swt anda meninggal dunia, sudah tentu perancangan kewangan tadi menjadi beban kepada pasangan anda untuk menjayakan secara bersendirian. 

#4 Beban Pengurusan Harta Pusaka

Tahukah anda, untuk menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan selepas meninggal dunia perlukan kos yang tinggi, perlukan masa untuk turun naik pejabat tanah, bank dan mahkamah. Ramai yang menyangka apabila kita meninggal dunia, ahli keluarga yang akan menguruskan harta pusaka nanti, sedangkan terdapat kos yang agak tinggi untuk dibayar.

Sebab itu banyak harta pusaka dibiarkan begitu sahaja oleh ahli keluarga sebab nak mulakan apa-apa proses perlukan duit, sekiranya ahli keluarga tersebut ada duit, alhamdulillah proses insyaAllah berjalan dengan baik. 

Maka sebab itu saya masukkan juga sebagai beban kewangan, yang anda perlu persiapkan supaya hal ini tidak membebankan ahli keluarga anda, terutama ahli keluarga yang tidak mampu. 

Saya pernah berjumpa, seorang yang mempunyai banyak hartanah, tetapi apabila meninggal dunia, tidak meninggalkan duit tunai, sedangkan proses untuk menukar nama semua hartanahnya menelan lebih daripada seratus ribu ringgit. Apakah anda akan meniggalkan keluarga anda dengan beban kewangan ini?

Mereka sedih akan kepermegian anda, sedih bertambah apabila harta yang ditinggalkan oleh anda tidak dapat dirasai oleh mereka kerana kekurangan dana untuk menguruskannya. Bertambah lagi harta umat Islam yang tidak dapat dimanfaatkan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: