Rupanya banyak sungguh masa kita telah dibazirkan

“Masa adalah kehidupan” itulah ungkapan yang pernah disebutkan oleh as Syahid Hassan Al Banna seorang tokoh mujaddid dan mujahid abad ke 20. Ada pepatah yang menyebutkan ‘time is gold’ iaitu ‘masa itu emas’ tetapi emas masih boleh dibeli sedangkan kehidupan yang berlalu tidak akan diperolehi semula walau kita menangis air mata darah, walau kita gadaikan seluruh kekayaan yang kita ada.

Seorang hukamak menyebut ‘umur yang panjang janganlah dipendekkan dengan tidur’. Bayangkan sehari kita tidur 12 jam, jika kita hidup hingga berusia 60 tahun jadi 30 tahun daripadanya kita telah habiskan dengan tidur. Alangkah ruginya….kehidupan di dunia sementara ini yang sepatutnya kita jadikan medan untuk mencari bekalan untuk kehidupan Akhirat yang kekal abadi terabai begitu saja.

Hassan Al Basri pernah menyebut “Umur adalah hari-hari yang terkumpul” apabila berlalunya satu hari maka terungkailah sebahagian daripada umur kita, dan masa yang berlalu itu tidak akan berulang kembali. 

Bantu Sekarang

Yusuf al Qaradawi berkata “Sesungguhnya masa itu berlalu begitu pantas walaupun pada saat-saat bahagia kita rasakan seolah-olahnya masa begitu pantas tetapi ketika saat-saat kesedihan masa seolah-olahnya begitu lambat berlalu, pada hakikatnya masa itu terlalu pantas seperti awan yang berlalu”

Alangkah ruginya mereka yang mensia-siakan tempoh kehidupan yang seketika ini sedang mereka akan menanggung akibat yang kekal abadi di Akhirat nanti. Bayangkanlah satu hari di Akhirat adalah seperti 1000 tahun di dunia. Sanggupkah kita menempuh azab Neraka Allah walau sesaat. 

Saya secara peribadi merasakan masa terlalu berharga untuk dibiarkan begitu saja hinggakan saya lebih suka berlari dari berjalan, kalau berjalanpun saya akan berjalan dengan pantas. Dan setiapkali turun dan naik tangga saya akan melangkah 2 atau 3 anak tangga sekali. itupun saya rasakan masa masih terlalu terbatas. Mungkin kerana hampir 21 tahun saya hidup tanpa bimbingan Iman hingga terlalu banyak yang perlu saya qadho(ganti). Tetapi ini bukanlah persoalannya kerana semua daripada kita akan masuk ke syurga kerana Rahmat Allah bukan kerana banyaknya amalan kita, kerana kita tidak akan mungkin dapat membalas segala nikmat yang dikurniakan Allah hatta sebiji mata pun.

Lama atau sekejap tidak menentukan kita akan jadi ahli neraka atau ahli syurga tetapi setakatmana kita telah benar-benar memanfaatkan masa yang kita ada untuk membuktikan kecintaan dan pengharapan kita pada Allah dan keredhaanNya.

Saya selalu berangan-angan kalau sekiranya saya dapat kembali ke zaman kanak-kanak…saya akan memanfaatkan setiap peluang dan kesempatan yang ada dengan sebaik-baiknya…tetapi malangnya semua itu tidak mungkin akan berlaku. Seorang penyair Arab berkata melalui puisinya “Alaita as Syabab ya’uudul An” – “Alangkah baiknya kalau hari muda itu datang semula hari ini”. Sedangkan ketika itu dia sudah terlalu tua. 

“Memang inilah fitrahnya manusia, kita sering menangisi masa silam yang suram, namun hari-hari yang sedang kita lalui tidak juga kita hiasi dengan amalan yang akan menjadi bekalan untuk hari mendatang.” 

Bantu Sekarang

Sebenarnya kehidupan kita hanya ada beberapa hari sahaja. 

SEMALAM- ianya telah berlalu pergi, tidak ada apa-apa yang boleh kita lakukan melainkan penyesalan dan mengambil sebanyak mungkin pengajaran daripadanya. 

ESOK- semuanya belum pasti, kita hanya mampu merancang tetapi Allah yang menentukan.

HARI INI- yang sedang kita hadapi dan merupakan peluang dan kesempatan untuk kita manfaatkan sebaiknya.

“Khazanah-khazanah untuk kita bina hari esok yang cemerlang berada di tangan kita hari ini iaitu peluang dan kesempatan untuk kita rebut dan pergunakan sebaik mungkin. Sekiranya kita mengabaikan peluang dan kesempatan yang ada ini maka kita akan menjadi manusia yang bankrap di esok hari, yang lebih malang lagi kita tidak ada apa-apa untuk hari pertemuan kita dengan Allah SWT. ‘Apa-apa’ yang dapat menyelamatkan kita dari Azab Allah yang maha pedih.”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: