7 Sebab Inilah Yang Menjadikan Bumi Palestin Penuh Barakah

Bumi Palestin merupakan bumi yang menjadi rebutan antara orang Yahudi, Kristian dan Islam. Semua ini dapat dilihat dalam lipatan sejarah bagaimana siri-siri peperangan berlaku demi merebut bumi Palestin dan berapa banyak darah manusia telah terkorban dalam pelbagai misi merebut kota ini.

Rebutan ini berlarutan sehingga kini. Namun bukanlah bermakna bumi ini tidak pernah aman dari peperangan. Sejarah pernah menunjukkan bagaimana bumi ini menjadi damai dan aman dalam pemerintahan Islam semenjak zaman khalifah Umar Al-Khattab. Bagaimana toleransi beragama berlaku, gereja kristian, sinagoge yahudi dan masjid mampu berdiri bersebelahan tanpa berlaku kucar-kacir, semuanya beribadah dengan penuh damai.

Kini kota Palestin masih menjadi rebutan, Yahudi Zionis telah mengawal bumi Palestin, masjid dan gereja bukan lagi tempat selamat untuk umat Islam dan Kristian, walaubagaimanapun, umat Islam masih cuba mempertahankan hak mereka untuk terus beribadat dalam  masjid Al-Aqsa, walaupun kuasa mereka kian hilang.

Bagi umat Islam, tanamlah dalam diri anda, bahawa bumi Palestin ini akan dibebaskan dan agama Yahudi dan Kristian masih dapat melaksanakan ibadat mereka di kota tersebut. Walaupun mungkin bukan kita yang membebaskannya, boleh jadi cucu-cicit kita yang bakal membebaskannya.

Tanamlah dalam diri anda, bahawa bumi Palestin ini mempunyai kedudukan yang istimewa dalam diri anda selepas, bumi Mekkah, Madinah dan tanah air anda. Kedudukan istimewa ini anda sematkan dalam diri bukanlah kerana kepentinga peribadi tetapi kerana Allah SWT yang meletakkan kedudukan bumi ini penuh keberkahan lantas membuatkan jiwa kita yang beriman juga mahu mengangkat kedudukan bumi ini.

Menurut Dr. Solah Abdul Fattah Al-Khalidi, ada 7 sebab kenapa bumi Palestin penuh keberkatan, setiap sebab yang dinyatakan oleh beliau disandarkan kepada beberapa potongan ayat Al-Quran.

#1 Allah SWT sendiri telah memberkati tempat ini

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Al-Isra’:1]

#2 Kedatangan Nabi Ibrahim dan Nabi Luth AS ke Bumi Palestin

Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Luth ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia. [Al-Anbia’:71]

#3 Zuriat Nabi Ibrahim AS berada di Palestin

Dan Kami pula berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh (seorang anak): Ishak, yang akan menjadi Nabi, yang terhitung dari orang-orang yang soleh. Dan Kami limpahi berkat kepadanya dan kepada (anaknya): Ishak; dan di antara zuriat keturunan keduanya ada yang mengerjakan kebaikan, dan ada pula yang berlaku zalim dengan nyata, terhadap dirinya sendiri. [Al-Soffat:112-113]

#4 Kedatangan Bani Israel ke Palestin selepas diselamatkan daripada Firaun

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya. Dan telah sempurnalah Kalimah Allah (janjiNya) yang baik kepada kaum Bani Israil kerana kesabaran mereka (semasa mereka ditindas oleh Firaun), dan Kami telah hancurkan apa yang telah dibuat oleh Firaun dan kaumnya dan apa yang mereka telah dirikan (dari bangunan-bangunan yang tinggi) [Al-’Araaf:137]

#5 Pemerintahan Sulaiman AS di Palestin

Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. [Al-Anbia’:81]

#6 Hubungan Kenegaraan antara Palestin dan Yaman

Dan – di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): ” Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman”. Maka kamakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta kami pecah belahkan mereka berkecai-kecai. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. [Saba’:18-19]

#7 Isra’ (Perjalanan) Nabi Muhammad SAW ke Palestin

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [Al-Isra’:1]

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: