Suami Selalu Pening Kenapa Duit Selalu Tak Cukup

Kenapa duit selalu tak cukup?

Sebagai ketua keluarga, mesti anda runsing dan pening kepala, bila duit gaji anda sentiasa tak cukup. Seminggu sebelum dapat gaji baru, duit dah habis. Ada yang lebih menyayat hati dalam seminggu dapat gaji, duit semua habis bayar hutang dan beli barang keperluan keluarga.

Kenapa saya fokus kepada suami, sedangkan perkara ini banyak juga berlaku kepada orang bujang atau kepada isteri yang berkerjaya juga? Kerana suami sebagai ketua keluarga, banyak tanggungjawab rumahtangga ada di bahunya seperti perbelanjaan keluarga. Mereka menanggung perbelanjaan keluarga menjadikan mereka sebagai kempimpinan dalam menguruskan rumahtangga. Tapi apa yang saya ingin kongsikan pada kali ini juga sesuai untuk semua lapisan.

Daripada pengalaman saya menguruskan kewangan klien dan pembacaan saya, punca masalah tak cukup duit kebanyakkannya berpunca daripada masalah yang berlaku kepada aliran tunai atau cash flow seseorang atau sesebuah keluarga.

Aliran tunai?

Apa itu aliran tunai? Kalau anda ketua keluarga, anda wajib mengetahui tentang aliran tunai. Aliran tunai ini macam pernafasan kita, ada udara yang masuk dalam badan ada udara yang keluar, sekiranya tiada udara yang masuk mungkin badan kita akan alami masalah kesihatan yang serius dan tubuh badan kita tidak mendapat oksigen yang sepatutya. Tiada siapa dapat menafikan aliran keluar masuk oksigen dan karbon dioksida daripada tubuh badan suatu yang tidak penting.

Kalau dalam kewangan pula, aliran tunai ini menunjukkan ada wang yang masuk dalam poket kita sama ada hasil daripada gaji, upah, elaun, komisen, keuntungan perniagaan atau hadiah daripada seseorang, dan ada juga aliran wang yang keluar baik untuk pembayaran hutang, pembelian barang untuk kegunaan peribadi atau keluarga, simpanan dan pelaburan.

Ketahui status aliran tunai anda, sama ada positif, atau pun negatif. Masalah yang kerap berlaku kepada masyarakat ialah aliran tunai yang negatif, apa maksudnya? Aliran duit yang masuk dalam poket anda sedikit berbanding wang yang keluar daripadanya akibat perbelanjaan yang melebihi pendapatan atau pun pembayaran hutang yang tinggi.

Nak kenal orang macam ini mudah sahaja, sebelum tarikh dapat gaji, duit dalam tangan sudah habis kekeringan dan mula bertanya kepada rakan sekerja berkenaan bila gaji seterusnya akan masuk, atau bertanya kepada kawan-kawan atau ahli keluarga untuk meminjam sejumlah wang. Kalau anda suami lagi pening kepala tambah-tambah sudah mempunyai anak kecil, memikirkan bagaimana nak membeli barangan keperluan anak-anak.

Cara ini mudah Selesaikan Kekeringan Duit Tetapi Mengazabkan.

Disebabkan masalah seperti ini timbul dalam kebanyakkan masyarakat kita, maka pelbagai bank menawarkan perkhidmatan kad kredit baik yang konvensional atau pun patuh syariah. Cara mengatasi ketidakcukupan duit dalam aliran tunai, ramai mengambil jalan pintas tanpa merujuk kepada mana-mana Perancang Kewangan yang berlesan, iaitu dengan menggunakan perkhidmatan kad kredit.

Apabila wang sudah habis, kad kredit sebagai pengganti. Sebab itu kawan-kawan nampak seperti anda ada duit gaji lagi padahal mereka tak tahu anda membayar guna kad kredit. Hati-hati, ramai yang tidak sedar, lubang hutangnya semakin membesar dan melebar, komitmen dengan bank semakin tinggi.

Ada juga yang mengambil pembiayaan peribadi, cara ini juga boleh menyelesaikan ketidakcukupan aliran masuk dengan memohon pembiayaan peribadi. Tetapi ia memberi kesan kepada komitmen bulanan dan anda akan perasan yang anda sudah mula tiada simpanan bulanan kerana habis membayar hutang sahaja. Cara ini juga saya tidak sarankan.

Yang paling saya tidak sarankan ialah meminjam ah long atau cik siti (baca ceti haram). Dan anda kena jauhkan malah kalau anda sebagai seorang suami sila jauhkan demi keselamatan keluarga anda. Cara pengiraan interest atau bunga daripada perkhidmatan-perkhidmatan mereka memang lain maciam, amat menakutkan.

5 Tips Untuk Perbaiki Aliran Tunai Anda

Saya ingin berkongsi 5 tips mudah, bagaimana nak memperbaiki aliran tunai anda, supaya duit anda cukup setiap bulan seterusnya dapat diperbaiki agar ada lebihan untuk simpanan masa depan anda dan keluarga anda.

#1 Ketahui Perbelanjaan Anda KEPERLUAN VS KEHENDAK
Dalam memperbaiki aliran tunai, banyak berlaku kebocoran keluar duit disebabkan perbelanjaan anda, perkara pertama ialah kenal pasti dahulu kemana duit anda diberlanjakan. Catat setiap perbelanjaan anda, jangan ada satu pun yang terlepas daripada dicatat.

Tak mampu nak disiplin dalam merekod perbelanjaan anda, boleh baca artikel ini. Kalau anda tidak mencatat aliran keluar masuk duit anda, agak sukar untuk kita perbaiki masalah duit tak cukup. Setelah anda catat dan senaraikan perbelanjaan anda, tentukan adakah perbelanjaan anda tersebut dalam kategori keperluan atau pun kehendak.

Apakah itu keperluan dan apakah itu kehendak? Keperluan adalah perkara asasi yang anda perlukan, sekiranya tiada kehidupan harian menjadi sukar, sebagai contoh, pakaian, tempat tinggal, makanan dan sebagainya. Perkara-perkara keperluan juga boleh berubah menjadi kehendak walaupun pada dasarnya ia adalah keperluan seperti pakaian berjenama, tempat tinggal yang mewah, makanan di kedai mewah dan sebagainya. Kehendak hanya sekadar memenuhi kepuasan diri dan kehidupan anda juga tidak menjadi sukar disebabkan ketiadaannya.

iphone-624709_1920

#2 Potong Perbelanjaan Anda
Setelah anda mengetahui perbelanjaan anda secara mendalam, sama ada ia termasuk dalam ketagori keperluan atau pun kehendak, anda boleh memotong perbelanjaan yang dikategorikan dalam kehendak atau menyemak semula sama ada perbelanjaan kehendak terdapat alternatif lain yang lebih murah.

Sebagai contoh, anda berbelanja untuk membeli pakaian berjenama setiap bulan, bagi memperbaiki aliran tunai, cukup anda beli pakaian yang tiada jenama, atau pun, mungkin anda sendiri tidak perlu membeli pakaian baru kerana pakaian anda sendiri sudah memenuhi keperluan harian anda. Begitu juga apabila anda keluar makan di luar, mungkin boleh difikirkan anda mengurangkan kekerapan keluar makan di luar atau masak sahaja di rumah.

Tindakan ini amat membantu dalam memperbaiki aliran tunai anda, selama ini anda berbelanja melebihi daripada sepatutnya sekadar untuk memenuhi tuntutan kehendak. Pepatah melayu menyebut “Ukur baju di badan sendiri”. Sekiranya aliran tunai menjadi masalah dek perbelanjaan perkara-perkara kehendak, maka anda perlu bersedia untuk berubah.

#3 Semak Polisi Takaful/Insurans
Tips satu dan dua telah anda laksanakan tetapi aliran tunai masih juga negatif, anda boleh semak polisi (baca: sijil) takaful yang anda mencarum sekiranya ada. Rata-rata yang saya jumpa, kebanyakkan mereka mempunyai polisi takaful yang mahal dan perlindungan yang tidak mencukupi. Polisi yang mahal juga penyumbang kepada aliran tunai menjadi negatif.

Anda boleh berjumpa dengan Financial Adviser’s Representative (FAR) yang terdekat dengan anda (saya juga salah seorang FAR) untuk mereka menyemak semula polisi-polisi takaful yang anda carum kerena mereka mempunyai akses kepada pelbagai syarikat takaful dan insurans untuk sarankan kepada anda perlindungan yang mencukupi sesuai dengan aliran tunai anda.

#4 Susun Atur Semula Hutang Anda
Selalunya kebanyakkan orang jarang melihat semula kepada hutang-hutang mereka apabila aliran tunai mereka bermasalah, yang mereka terfikir cara untuk baiki aliran tunai ialah tambah pendapatan. Sebab itu anda akan biasa jumpa guru-guru yang buat “side income” sama ada menjadi ejen takaful, ejen penapis air atau sebagainya supaya mereka boleh membayar hutang dan aliran tunai menjadi okay.

Terdapat pelbagai teknik menguruskan hutang supaya komitmen bulanan pembayaran hutang berkurangan menjadi kurang daripada 30%. Antara contoh teknik yang boleh digunakan seperti teknik penyatuan hutang (Debt Consolidation), teknik bola salji (snowball), teknik longsoran (Debt Avalanche) dan lain-lain lagi. Setiap teknik mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Saya tidak berhajat untuk menceritakan secara mendalam untuk setiap teknik, kerana setiap teknik ada pengiraannya yang tersendiri, bagi mengelakkan kesilapan dalam menguruskan hutang sila berjumpa dengan Perancang Kewangan yang berlesen, kesilapan dalam menguruskan hutang boleh membuatkan komitment hutang bertambah sedangkan yang anda inginkan ia menjadi berkurang.

#5 Tambah Pendapatan
Sekiranya duit pendapatan anda memang hanya cukup-cukup untuk keperluan anda sahaja, maka rajin-rajinkan memerah keringat untuk membuat kerja tambahan bagi mendapat pendapatan tambahan. Tetapi pastikan kerja tambahan ini tidak mengganggu masa dan fokus anda kepada kerjaya utama anda.

Pada zaman sekarang pelbagai cara yang halal anda boleh lakukan untuk menambah pendapatan, terutama melalui medium maya misalnya melalui Facebook, Youtube, Google, Blog dan sebagainya. Kalau boleh, tips yang kelima ini anda lakukan selepas empat tips sebelum ini telah anda laksanakan dan aliran tunai masih belum kembali normal.

Selamat mencuba.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: