Menggengam Ijazah Taqwa

21333_524779074255334_1502507208_n

Kredit Gambar: Langitilahi.com

Selama lebih sebelas tahun kita mengerah tenaga, membanting tulang untuk melayakkan kita memasuki ke alam university. Bermula dari sekolah rendah selama 6 tahun diteruskan lagi dengan sekolah menengah 5 tahun berikutnya. Segala daya sudah tentu dicurahkan agar hasilnya juga turut menggembirakan.

Begitu hal sepatutnya dengan ramadhan yang telah tiba. Seharusnya kita sebagai hamba pendosa melihat ia merupakan rahmat dari Yang Maha Esa. Sebelas bulan telah berlalu. Sepatutnya kita diulik rindu kerana ramadhan merupakan musim untuk kita beriman. Bukan beerti, beriman dalam musim tertentu, tetapi ia adalah suatu tempoh masa persediaan dalam menjalani realiti kehidupan mendatang.

Jika ramadhan dianggap seperti musim bunga maka ia mekar dengan pahala. Jika diibaratkan musim luruh maka ia adalah daun-daun dosa yang bakal gugur. Jika diibaratkan musim sejuk maka ia dingin dari segala kemaksiatan. Jika diibaratkan musim panas, maka ia bahang pembakar dosa dan semangat untuk beramal pada-Nya.

Ramadhan tiba seperti biasa. Tetapi cara kita menyambut ramadhan itu yang menjadikan ia berbeza. Jika dengan persiapan yang terperinci dari sudut ibadah, fizikal, mental dan rohani yang telah kita bina, maka dengan izin-Nya, ramadhan yang sedang dilalui tidak akan berlalu dengan sia-sia. Berlainan pula jika kita membatu diri diam tiada persediaan maka ia tidak ubah seperti yang sebelumnya.

 

Definisi Taqwa

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. (al-Baqarah:183)

Allah menjanjikan hadaf daripada berpuasa yang diwajibkan dalam bulan ramadhan itu adalah ketaqwaan seperti yang dirakamkan dalam ayat di atas. Kita bisa berbangga di dunia memperoleh pelbagai anugerah di dunia. Pelajar cemerlang, pekerja terbilang dan pelbagai lagi. Walhal ia tidak membawa erti jika tiada kaitan hubungan dengan Allah. Berbeza dengan anugerah taqwa yang mana sudah tentunya melayakkan kita untuk mengecapi syurga. Sebab itu Allah menjadikan asas perbezaan antara manusia bukan dengan pangkat, harta dan paras rupa tetapi mereka yang paling bertaqwa.

Allah s.w.t berfirman:

 Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). (al-Hujurat:13)

 

Begitu adilnya Allah. Apapun kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri manusia ia tidak menyebabkan manusia itu terhina, tetapi mereka yang cuba menjauhkan diri dari rahmat Allah dengan tidak bersungguh mengejar janji-Nya melalui darjat taqwa maka dia sebenarnya menuju ke gerbang binasa.

Pelbagai definisi yang disebutkan oleh ulama’ dalam menggambarkan maksud taqwa yang mana perbezaan ini sebenarnya memberi manfaat yang sangat besar pada diri kita dek kerana ia seolah-olah menjadikan setiap sisi kehidupan adalah mendorong manusia ke arah ketaqwaan selagi mana ada usaha yang berterusan.

Antaranya seperti yang disebutkan oleh Saiyyidina Ali r.a dalam mengertikan taqwa iaitu sebagai rasa takut kepada Allah s.w.t, beramal dengan al-Quran dan sunnah rasul-Nya, hidup dalam dalam keadaan besederhana, dan bersedia menghadapi hari kemudiaannya(akhirat). Definisi ini boleh dikupas dengan lebih mendalam untuk sama-sama kita praktikkan dalam kehidupan.

 

  1. Rasa takut kepada Allah

Manusia secara spesifiknya orang beriman akan mudah rasa takut dengan Allah taala. Ini kerana sifat takut itu lahir dek kerana mengingatkan azab-Nya atau bimbang kita akan jauh dari rahmat Yang Esa. Padahal dengan kedua perkara ini sebenarnya melayakkan kita memperoleh syurga. Hal ini disebabkan melalui rasa takut inilah manusia berusaha meninggalkan apa sahaja yang dilarang dan bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang diperintahkan

Malangnya manusia itu mudah lupa hatta bagi kaum lelaki yang mana saban Jumaat diulang-ulang nasihat menyeru kita supaya bertaqwa, namun sejauhmana ia sampai ke dalam jiwa kita dan melahirkan rasa takut yang berbekas dalam setiap perbuatan kita? Justeru, suka untuk dinukilkan ayat tersebut sebagai peringatan bersama agar kita menjadikan ia tujuan dan matlamat utama dalam kehidupan baik di dunia atau akhirat kerana mati dengannya adalah satu kemuliaan.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam. (Ali-Imran:102)

 

  1. Beramalkan dengan al-Quran dan rasul-Nya.

Kehidupan manusia tidak lari dari ujian tidak lari dari gangguan. Kadang-kadang musibah-musibah ini membawa jauh dengan tuhan. Namun hakikatnya manusia itu boleh diselamatkan selagi mana dia betul-betul menggenggam erat pada sumber wahyu manusia sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w:

Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi mana kamu berpeguh teguh pada keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya. (Muwatta’:1678)

Itulah janji Allah yang melalui lisan baginda s.a.w kepada kita. Menariknya hadis ini tidak memberi tahu kepada kita sekadar membaca dan bertadabbur tetapi menggesa kita untuk berpegang teguh padanya yang merangkumi pembacaan, tadabbur, mengamalkan juga berusaha menyebarkannya. Moga-moga dengan usaha kita itu akan tumbuh bibit taqwa dalam jiwa kita dan menjadi asbab mendapat rahmat-Nya.

Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat. (al-An’am:155)

 

  1. Hidup dalam keadaan besederhana (qana’ah)

Dengan ketaqwaan ia juga membentuk sifat sensitive dalam jiwa insan. Peka terhadap keadaan sekeliling isu semasa berkaitan kemanusian tanpa melupakan isu kenegaraan. Melalui sikap rendah hati ini akan mendidik manusia agar bersikap sederhana. Bukan bererti sederhana kita tinggalkan dunia tetapi sederhana yang membawa kita dari memandang kesempitan dunia dalam setiap perkara kepada keluasan dunia dan akhirat dalam setiap amalan.

  1. Bersedia menghadapi hari kemudian

Hakikat kesudahan bagi setiap insan hanya terdapat dua pilihan sama ada syurga yang penuh kenikmatan atau neraka yang amat menyeksakan. Sudah tentu bagi orang beriman syurga menjadi pilihan. Tetapi jalan menuju alam sana itu memerlukan persediaan sebagaimana persediaan kita dalam perkara dunia seperti peperiksaan dan sebagainya lebih lagilah dalam urusan akhirat yang mana kita akan kekal di sana untuk selamanya.

Justeru itu mereka yang memandang dunia ini hanya tempat permusafiran maka dia memandang bahawa akhirat itu matlamat utama, maka dia akan berusaha sebaiknya untuk membumikan cita-cita. Bagi mereka beranggapan kehidupan dunia ini sebagai pedagang maka dia akan berjalan merantau mencari keuntungan sebagai bekalan untuk hari kemudian. Oleh itu, mereka yang bijak adalah yang hidup di dunia tetapi melihat akhirat dalam amalnya kerana hakikat di sana penuh kenikmatan.

Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa. (al-Qasas:83)

Leave a Reply