Isteri Dr Fadi : “Setiap kali aku memiliki sesuatu, pasti yang lainnya akan hilang pergi”

Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya.

Ketika aku berkahwin pada tahun 2006 dan apabila Tuhanku merezekikan dan memuliakanku untuk menjadi peneman setia kepada landasan dakwah Fadi, aku teringat bahawa ketika itu aku telah hidup dengan bahagia, baik, dan mulia sekali di sebuah rumah yang ditemani oleh suami tercinta yang sentiasa menjaga perasaanku dan mengambil berat terhadap masa depanku. Akan tetapi aku hanya menghadapi satu kesempitan dalam hidupku iaitu lambatnya untuk aku mendapat anak.

Aku tidak putus berdoa kepada Allah siang dan malam agar mengurniakanku zuriat yang baik dan soleh supaya ianya menjadi penyejuk mata kami di dunia dan akhirat.

Berapa banyak aku telah berdoa :

“Tuhanku janganlah Engkau biarkanku keseorangan kerana sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik yang mewarisi”

Berapa banyak aku telah berdoa :

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan”

Berapa banyak juga aku telah berdoa :

“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh”

Aku berada dalam keadaan sebegini selama 4 tahun setengah, sehinggalah aku berpindah ke Malaysia pada tahun 2011 dan di sanalah Tuhanku telah mengkabulkan doaku dan aku dikurniakan 3 orang cahaya mata ketika menetap di Malaysia. Sungguh, mereka memang benar-benar menjadi perhiasan kehidupan dunia. Mereka seolah-olah mencipta perisa baru dalam kehidupan kami dan mereka menjadikannya warna yang cukup istimewa.


Tetapi, masih ada lagi sesuatu yang tidak sempurna, iaitu jauhnya kehidupanku dengan ahli keluargaku serta perpisahanku dengan tanah airku. Berapa banyak aku telah berdoa dan berdoa serta aku mengharap agar Allah menghimpunkanku bersama dengan mereka.

Lalu Allah memperkenankan doaku selepas 7 tahun dan Dia menghimpunkanku dan orang-orang yang aku cintai. Aku pun pulang ke tanah airku, akan tetapi di sini, aku telah kehilangan sesuatu yang sangat penting iaitu suamiku yang istimewa dan yang sentiasa dirindui yang telah memenuhkan kehidupanku dengan cinta dan kebaikan. Maka aku lantas berdoa kepada Allah Taala supaya mencampakkan kepadaku kesabaran, mengikat hatiku, dan agar Dia menghimpunkanku dengan roh hatiku di dalam Firdaus yang tertinggi.


Peristiwa ini ianya seakan-akan seperti perubahan yang aku rasai dalam kehidupanku yang telah diajarkan Tuhanku bahawa hidup sebagai seorang mukmin ini selamanya tidak akan lengkap kerana ia adalah medan untuk diuji.

Jika aku memiliki segalanya, aku akan terlupa kenikmatan untuk berlindung kepadaNya serta merayu kepada kemuliaanNya. Tetapi, setiap kali aku memiliki sesuatu, mesti yang lainnya akan hilang pergi, dan apa yang hilang tersebut, Tuhanku akan menggantikannya dengan yang lain.

Tuhanku telah mengajarku nikmat penggantungan kepada kelebihan kehebatanNya.

Tuhanku telah mengajarku bahawa nikmat kehidupan itu tiada apa-apa.

Tuhanku telah mengajarku bahawa kehidupan sebenarnya ialah kehidupan akhirat.

Tuhanku telah mengajarku tentang redha dengan Qada dan Qadar.

Ya Allah, teguhkanlah hatiku.

Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya.

Terjemahan : Kun Anta

Leave a Reply