Cerpen: Bila Iman Secukup Rasa ~ Saudari Azwa

Perencah Maggie secukup rasa

“Adik,akak mintak nanti tolong jadi wakil jabatan eh untuk program tadarus tu? Semua staf muslimat yang lain pun asyik memuji-muji suara adik sedap bila alunkan al-Quran. Lagi pun bagus untuk pendedahan adik bila dah masuk alam pekerjaan sebenar nanti. Yela dik,sekarang nak masuk keje bukan pakai kelayakan akademik semata-mata dik. Kemahiran sosial pun amat penting untuk melayakkan diri kita untuk sesebuah jawatan.” Ketua unit cuba meyakinkan aku untuk jadi wakil jabatan untuk suatu program tadarus perdana sempena bulan Ramadhan tahun ini

Aku tidak lah terlalu ingin dan tidak juga berhasrat menolak. Pada aku ini adalah ruang dan peluang. Di samping dapat meningkatkan kualiti bacaan di samping tadarus mingguan yang diadakan di bilik mesyuarat, tadarus perdana juga adalah satu platform untuk kenal dengan lebih ramai hafizah dan pembaca Al-Quran yang lebih baik bacaannya.

Jujurnya, aku agak merendah diri sebab aku bukanlah seorang hafizah. Sekadar belajar secara tidak formal waktu sekolah dahulu dan belajar melalui gadjet yang ada di telefon pintar. Orang cakap hendak seribu daya kan. Sebenarnya dah lama aku menanam impian untuk arif dalam Al-quran dan menjadi hafizah.

Bukan untuk sesiapa. Tapi atas kesedaran sendiri sebagai hamba yang bersyukur dengan anugerah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada umat Muhammad. Tetapi, langkah pertama untuk menghadiri kelas yang lebih formal belum tertunai. Entah mengapa.

Ya, sebelum itu aku perkenalkan diriku. Aku seorang pelajar praktikal di sebuah universiti.

Sebagai seorang pelajar, apa-apa peluang untuk meningkatkan kualiti diri tidak aku lepaskan. Permintaan untuk aku menjadi wakil jabatan untuk program tadarus perdana itu sentiasa bermain-main dalam fikiran. Hendak menolak macam tidak kena pula sebagai seorang pelajar praktikal. Lagi-lagi pulak diminta sendiri oleh ketua unit.

Pening juga aku fikir. Hendak terima aku bukanlah orang yang layak sebenarnya jika dibandingkan dengan orang-orang yang hebat yang berada di universiti itu. Malah para pelajar-pelajarnya sendiri mendapat latihan secara formal di dalam kelas. Tetapi di dalam hati, aku betulkan juga niat. “Masuk saja, buat kerana Allah”.

Hari demi hari, minggu demi minggu, aku sentiasa konsisten menghadiri tadarus mingguan bersama staf-staf yang lain.

Maka tiba lah pada hari tadarus, sebelum aku sampai di pejabat. Suatu pesan melalui whatsapp masuk. Aku lihat ia dari ketua unit, akak z. “Dik, jangan lupa ya,tadarus pagi ini, di Pusat Islam pukul 9 pagi”.

Aduh berdebar juga rasanya. Walaupun aku sudah buat keputusan untuk menjadi wakil, perasaan gementar tu masih ada. Lepas dah bersiap, aku dan sahabatku bergerak ke pejabat untuk ‘thumbprint’ kehadiran pada hari itu.

Selepas ‘thumbprint’, aku pun segera masuk ke pejabat dan lihat semua staf muslimat sedang bersedia untuk menuju ke Pusat Islam. Mereka pun mengajak kami pergi bersama-sama.

Dalam perjalanan ke Pusat Islam, sahabatku pun bertanya, “Akak z suruh awak masuk ke program ni?”

Haah yelah..setiap minggu yang kite tadarus tu pun die tanyakan ade sesiapa lagi yang nak jadi wakil jabatan.

Sahabatku senyap.

“Jomlah sekali kalo awak nak”, ajak ku lembut. Dia hanya senyum. Tiba-tiba dia berkata kepadaku.

“Bukan mengaji di khalayak tu tak boleh ke? Suara perempuan aurat kan?”

Aku pun tidak pasti. Setahu aku tadarus hanya diadakan di kalangan muslimat. Oleh itu, isu aurat tidak menjadi masalah.

“Entahla, yer kot. I am not so sure. ” aku tidaklah menyatakan lebih lanjut sebab aku kenal sahabat aku ini seorang yang daya ingin tahunya tinggi dan “denial syndrome” serta sifat aku sahaja betulnya tinggi. Malas nak kacau mood pagi-pagi.

Dan program pun berlalu dengan pantasnya.Setelah para wakil diberikan hadiah kami pulang ke pejabat masing-masing meneruskan rutin kerja harian. Tetapi aku masih terfikir-fikirkan persoalan sahabat aku tadi. Cuba bersangka baik dan menganggap dia kurang ilmu.

Tetapi bila malam tersebut aku sedang berbaring untuk melelapkan mata. Aku teringat banyak kali aku perasaan sahabat aku sering mengatakan uzur apabila tiba rutin program tadarus mingguan. Aku tidaklah bertanya apa masalahnya sebab mungkin dia malu, atau kurang lancar membaca quran. Aku biarkan sahaja.

Dan aku teringat juga banyak perbualan kami yang dia seolah-olah tidak suka dengan program itu dijalankan. Ketua unit aku agak tegas orangnya. Dia sentiasa mewajibkan program-program keagamaan dihadiri oleh semua staf termasuklah program tadarus ini.

Tetapi malangnya ada staff yang lebih rela tidur dari menghadiri program yang menghidupkan hati seperti ini. Allah..kalaulah mereka tahu betapa manisnya al-Quran jika dihayati dan dikaji maknanya.

Dan yang paling sedih adalah sahabatku. Aku sudah lama mengenalinya sejak beberapa tahun. Oleh itu aku dapat mengenali serba sedikit peribadi sahabatku. Dia seorang yang amat baik. Aku sanjung dengan akhlaknya yang lemah lembut dan bersopan santun dengan sesiapa sahaja. Tetapi sedih bila bab yang satu ini dia seolah-olah menentang dengan keras apabila hal berkaitan agama.

Sedangkan aku tahu dia pernah berkaraoke di depanku suatu masa dahulu. Aku pernah juga mengikut semua sahabat-sahabat meraikan kejayaan di pusat karoke. Sekadar meraikan rakan-rakan. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu terjebak. Sebab dari apa yang aku baca maksiat ini syaitan sudah hiaskan supaya terlihat indah dan akan buat kita ketagih.

Tetapi jika karoke keluarga atau bersama-sama mahram tidaklah mengapa. Aku ikut mereka ke sebuah pusat karaoke di bandar dan apabila sampai di pintu masuk di kaunter utama, aku lihat penuh dengan lelaki.

Bila masuk ke sebuah bilik yang ditempah suara bilik sebelah masih boleh didengari dari dalam bilik kami maka aku tahu suara dari bilik kami juga pasti akan kedengaran di bilik sebelah. Ini terang lagi bersuluh membiarkan aurat didengari bukan mahram. Malahan, pada hemat aku ia membazir pula sebab tidak mendatangkan apa-apa faedah sedangkan banyak lagi kaedah untuk berhibur. Kerana majoriti lagu-lagu yang dipilih bukanlah bersifat mengingati Allah dan ada juga lagu yang berunsur lucah dalam Bahasa Inggeris.

Entahla, sesuatu yang batil dilihat biasa agaknya pada akhir zaman ini. Aku lihat sahabatku itu tanpa rasa bersalah mengalunkan satu persatu lagu yang dipilih. Pada masa itu aku hanya berdiam diri dan memerhatikan saja semua sahabat-sahabat dan berusaha menolak apabila diberikan mikrofon untuk menyanyi. Atas alasan tidak sihat aku hanya berdiam diri.

Apabila semuanya keletihan kami pun pulang ke hostel. Apabila difikir-fikirkan semula menyesakkan dada juga apabila menghadapi umat Islam yang mempraktikkan Islam ibarat ala-ala perencah mee segera ini. Apabila sesuatu hukum di rasa kan sesuai mengikut selera kita, beriya-iya kita mempertahankannya dan membawa 1001 justifikasi untuk mengatakan kita lah penganut agama Islam yang paling tegar.

Ibarat perencah mee segera yang kita tambahkan menurut ikut sedap selera iman kita dan tidak lagi memikirkan kesan terhadap diri sendiri dan orang lain. Apabila suatu pegangan tersebut tidak kena dengan selera kita terus kita campakkan entah ke mana.

Tepuk dada tanya iman adakah selama ini kita mengamalkan Islam sesedap rasa seolah-olah memasukkan perencah mee segera dalam makanan?

Leave a Reply