“Adakah kamu mencintai Allah?”

Satu pertanyaan yang mungkin terdengar biasa tetapi menjawabnya dari hati yang tulus bukanlah mudah kecuali bagi orang yang benar-benar merasainya dan bermujahadah mendapatkan cintaNya melalui cara yang betul.

Al Imam As Syahid Syeikh Ramadhan Al-Bouthi ketika mensyarahkan kitab Hikam karangan Imam Ibn ‘Atha’illah As- Sakandari, beliau bertanya kepada para Jemaah ;

“ Adakah kamu semua mencintai Allah?”.

Lantas beberapa orang Jemaah menjawab,”Ya”.

Syeikh berkata, “Jadi kalian haruslah banyak mengingati Allah”. Syeikh menyambung lagi,

“ ada satu kaedah mengatakan :

“من أحب شيأ فأكثر من ذكره “.

Maksudnya adalah sesiapa yang mencintai sesuatu maka perbanyakkanlah mengingatinya.

Kemudian, Syeikh membacakan sepotong hadis dari baginda Nabi s.a.w yang berbunyi

عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “من صلى الصبح في جماعة، ثم جلس في مصلاه يذكر الله حتى تطلع الشمس، ثم صلى ركعتين، كان له مثل أجر حجة وعمرة تامة”.. قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: “تامة تامة تامة” رواه الترمذى

Daripada Nabi S.A.W. telah bersabda ” Sesiapa yang solat subuh berjamaah, kemudian ia duduk di tempat solatnya berzikir mengingati Allah sehinggalah terbit matahari, kemudian ia solat dua rakaat, adalah baginya ganjaran seumpama haji dan umrah sesempurnanya”. HR Tirmizi.

Syeikh mensyarahkan hadis ini bahawa zikir yang paling agung adalah membaca Al-Quran dan solat dua rakaat selepas terbit matahari adalah solat Dhuha. Jadi, lafaz zikir bukanlah hanya terbatas dengan menyebut Asma Allah Yang Maha Tinggi seperti “Al-Qahhar, Al-Jabbar, Al-Ahad” atau seperti zikir yang telah diajar baginda Nabi s.a.w seperti “ Subhanallah wa bihamdihi Subhanaallahil Azhim” tetapi Al Quran juga termasuk dalam zikir. Maksud lain ganjaran seumpama haji dan umrah adalah semua maksiat daripada diri kita akan pergi dan maksiat akan dihalang oleh Allah. Ini adalah satu ganjaran yang cukup besar dan tidak ternilai bahkan jika dibandingkan dengan segunung emas sekalipun.

Daripada ini fahamlah kita bahawa untuk mencintai Allah dan mendapatkan cintaNya bukanlah terbatas hanya untuk orang tertentu seperti mana yang didakwa sesetengah orang yang mengatakan untuk mencintai Allah terbatas untuk orang soleh sahaja. Ini adalah dakwaan yang salah sekaligus tidak berasas. Untuk mencintaiNya cukup hanya dengan mengikuti apa yang telah diajarkan baginda Nabi s.a.w. walaupun masih ada banyak lagi cara dan jalan menuju kepadaNya dan cara ini antara cara yang mudah dan pasti boleh dilakukan oleh sesiapapun walaupun kanak-kanak jika dididik oleh ibubapanya.

Akhir sekali, perkara yang paling penting untuk mencintai Allah ialah Istiqamah kerana ianya tidak mungkin dicapai jika tanpa amal berterusan. Pepatah Arab ada menyebut :

اَلْإِسْـتِقَـامَةِ خَيْرٌ مِـنْ اَلْفِ كَــرَامَةٍ, ثُبُــوْتُ الْكـَـرَامَةِ بـِدَوَامِ الْإِسْـتِقـَـامَةِ 

yang bermaksud “Istiqamah lebih utama dari seribu karomah, dan tumbuhnya karomah dengan menjaga Istiqamah”.

Moga-moga kita dapat beramal dengan istiqamah sehingga ajal menjemput kita dan semoga kita termasuk dalam kalangan hambaNya yang soleh. Ameen.  

Leave a Reply