“Perlukah kita pada ideologi?” Siri Islam, Wanita dan Keadilan Sosial (I)

“Kau diam! Ini Islam!”

“isteri-isteri yang tak terima poligami, tak takut ke menolak sunnah?”

“berani lawan ustaz tu cakap perempuan pendek akal? Kau nak tolak alQuran?!”

Ini adalah sebahagian dari tradisi atau budaya mendiamkan persoalan atau pertanyaan yang terbit dari fitrah, dengan ancaman dan tekanan agar terus menyimpan dan mengunci semua itu jauh ke dalam lubuk. Biar tenggelam asal jangan kau timbulkan pertanyaan. Titik.

Benarkan agama itu tidak boleh dipersoalkan? Justeru mengapa banyak di dalam alQuran, Allah menyebut ayat, “sebagai tanda bagi mereka yang berfikir”, “sebagai tanda bagi mereka yang beraqal” dan sebagainya?

Aqidah dan Pensyariatan Muamalah.

Terdapat tiga bahagian terbesar yang mencangkupi agama Islam, iaitu: a) akidah; b)ibadah khusus; c)muamalah yang bermaksud segala perkara yang berkaitan urusan kemanusiaan seperti hukuman, sistem muamalat, kekeluargaan dan sebagainya.

Aqidah adalah sebuah bahagian yang tiada kompromi untuk dipersoalkan kecuali pertanyaan yang didasari atas pencarian sebuah keimanan. Pertanyaan yang melampau dan melangkaui batas yang ditanya dengan alasan untuk terus berawang-awangan adalah dilarang sama sekali kerana aqidah adalah akar sebuah keimanan kepada perkara yang ghaib.

Bertanya tentang aqidah adalah boleh, dengan syarat mesti dipandu oleh sifat tawadhu’ sebagai seorang hamba yang benar-benar mencari kebenaran seperti pertanyaan, “mengapa Allah tidak beranak dan diperanakkan?” dalam konteks memahami keesaan Allah. Maka dari pertanyaan itu, si penjawab boleh menjelaskan konsep tauhid dan kepentingan sifat tauhid bagi Tuhan yang mencipta dan merajai alam.

Ibadah khusus pula bersangkut paut dengan aspek aqidah, namun lebih terbuka untuk dibincangkan dan turut telah terbukti di sudut sains dan nilai kemanusiaan akan kebaikan-kebaikan ibadah seperti solat, puasa, dan zakat. Meskipun begitu, ibadah khusus telah dihadkan ijtihadnya dengan penjelasan rukhsah secara berdalil menurut alQuran dan hadis. Justeru perbincangan tentang ibadah khusus tetap terbatas.

Aspek muamalah merupakan aspek terluas dalam pensyariatan Islam kerana itu adalah tanda kesempurnaan dan kecukupan Islam sebagai ‘the way of life’. Aspek ini adalah aspek yang sangat dekat dengan kehidupan kerana mencangkupi semua perkara yang dilalui sepanjang hayat. Oleh itu aspek muamalah sangat terbuka kepada kefahaman maqasid syariah dan keluasan ijtihad mengikut peredaran zaman, tempat dan keadaan.

Dan aspek muamalah ini sangat luas merangkumi seluruh kehidupan seorang manusia.

Ideologi dan Keterbatasan ‘Agama’.

Manusia hari ini banyak memperjuangkan ideologi-ideologi tertentu dengan semangat dan meyakini bahawa ideologi adalah sebuah kebenaran sosial berbanding agama yang penuh keterbatasan dan kezaliman. Agama dianggap candu yang menyekat kemerdekaan jiwa manusia dan mengikat kaki tangan manusia untuk terbang tinggi dan melangkaui angkasa. Maka berlumba-lumba manusia menjulang ideologi dan menyah hapuskan agama atas alasan perjuangan hak asasi kemanusiaan. Antara ideologi popular yang diperjuangkan adalah liberalisma, sekularisma, demokrasi, feminisma, sosisialisma dan sebagainya.

Persoalannya apakah benar agama itu sebuah keterbatasan atau apakah salah faham terhadap agama yang menjadikan agama dilihat sebagai sebuah keterbatasan?

Bak kata pak Hamka, sebelum kita sibuk mengimport produk luar konon melengkapkan keperluan, apakah sebenarnya kita sedar bahawa kita adalah tanah yang mempunyai kuasa mengeksport produk terbanyak dan terkaya, hanyasanya sahaja kita tidak sedar dan buta tentang itu dek terlalu memuja dan memandang jauh keindahan yang jauh samar-samar di sana.

(bersambung..)

Leave a Reply