“Ideologi Lahir dari Ketidaksempurnaan” Siri Islam, Wanita dan Keadilan Sosial (II)

Ringkasan Bagaimana Sejarah Ideologi Bermula.

Nabi Allah Isa AS diutus kepada kaum yahudi yang telah berzaman berakar umbi dalam diri mereka kejahatan dan kebodohan diperbudakkan. Mereka terlalu bermegah dengan sejarah kaum mereka yang lampau, bangga dengan nenek moyang mereka yang telah pergi dan bongkak dengan kemuliaan yang pernah mereka kecapi sedangkan ketika itu mereka telah menjadi hamba kepada sebuah kerajaan besar dan tersusun empayar Rom. Kerana jiwa yang kososng dan hanya kemegahan terhadap kitab tanpa mengetahui inti dan isi ajaran agama, mereka menjadi kaum yang suka bertengkar terhadap perkara yang remeh temeh dan lalai dalam meneliti persoalan yang besar dan sebenar.

Maka nabi Isa AS mendidik tentang tazkiyatun nafs, iaitu penyucian jiwa agar mereka tidak cepat menunding jari sebaliknya banyak memuhasabah kesalahan diri. Baginda langsung tidak menyentuh soal pemerintahan Rom ketika itu kerana melihat kepada roh yang perlu diperbaiki dalam kalangan yahudi, agar jiwa bangsa mereka kembali bangkit. Sehingga ketika dilakukan provokasi dengan soalan tentang kerajaan, tercatat dalam Injil nabi Allah Isa AS menjawab, “berikanlah kepada Allah, hak Allah dan berikanlah kepada kaisar (pemerintah), hak kaisar”.

Baginda tidak masuk urusan negara kerana kekuatan baginda dan keadaan sekeliling ketika itu tidak mengizinkan baginda bertindak lebih jauh. Apatah lagi usia baginda masih muda saat diangkat ke langit. Oleh kerana itu fokus baginda hanya satu, penyucian batin dari sebarang unsur kejahatan hawa nafsu dan pengaruh kebendaan. Bahkan di dalam ajaran Injil, jika ditampar di sebelah kanan, serahkanlah pipi kiri untuk turut ditampar. Jika disuruh berjalan kaki satu kilometer, tambahkanlah lagi menjadi dua kilometer serta jika diminta orang bajumu, serahkan juga cadarmu!

Pendidikan seperti ini adalah sesuai dengan keadaan bangsa yahudi yang terlalu berasa mulia dan bangga diri. Maka nabi Allah Isa AS mendidik mereka agar merendah hati untuk sentiasa menjauhi hal-hal keduniaan dan sentiasa mencari susah agar batin terus dapat disucikan. Dan pesanan baginda tentang hak Allah dan hak kaisar itulah yang melekat dalam agama injil agar dipisahkan hal-hal agama dari urusan keduniaan negara.

Selepas nabi Isa AS diangkat ke langit, agama nasrani mula tersebar dan diterima oleh kerajaan Rom namun tetap, agama tidak pernah mencampuri urusan negara kerana tiada apa-apa yang boleh dicampurkan. Sebaliknya injil hanya untuk penyucian kebatinan dan jiwa untuk terus menjadi hamba Allah yang menolak hal-hal keduniaan. Bangsa Eropah yang telah lama mengimani falasafah seperti Socrates, Aristotles dan Plato menerima ajaran injil dengan mempertahankan gereja dan mengangkat agama itu namun mereka tidak betah untuk mengikutinya. Mereka menganggap mulia  agama penyucian jiwa ini tetapi mereka tidak kuat dan tidak sanggup untuk menjalankannya kerana seakan-akan menyekar kebebasan mereka untuk merajai dunia. Kerana itu hanya apabila mereka berasa putus asa dengan kehidupan dunia, mereka kembali kepada gereja untuk memohon keampunan dan menyucikan jiwa kembali kepada Tuhan.

Kemudian zaman berlalu, dan tiba suatu ketika gereja diangkat tinggi selepas para paderi melakukan revolusi untuk turut memegang kuasa. Cita-cita mereka berhasil berkat kesungguhan dan keyakinan, serta kaum Lorata yang berpihak kepada mereka, gereja mula mempunyai kuasa, ketenteraan sendiri, bertanah wilayah sendiri sehingga dengan pengaruh Paus Urbanas, raja-raja Eropah dikerah mencetuskan peperangan Salib. Darjat gereja mencanak naik sehingga untuk meletakkan mahkota di atas kepala seorang raja, adalah di bawah kuasa gereja. Seorang raja belum sah kekuasaannya jika belum mendapat restu pihak gereja. Zaman ini pemerintahan negara terbahagi dua sama rata agar sama-sama mendapat keuntungan politik, sosial dan ekonomi. Raja dengan kekeuasaan rajanya, manakala gereja bertugas mengendalikan jiwa rakyat agar tunduk kepada kekuasaan dan menjanjikan kerajaan syurga bagi mereka yang taat.

Inilah zaman feudal. Rakyat diikat kemerdekaan mereka untuk berfikir dengan kata-kata bahawa semuanya ada dalam gereja! Hanya terima keputusan dari sana. Barangsiapa yang melanggar, dia terhina sebagai golongan yang murtad. Gereja yang menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang memiliki fikiran yang berbeza dengan fikiran gereja. Dan hukumannya sangat kejam. Semua itu didasari dengan nama Tuhan. Dipaku dalam kepala rakyat bahawa paderi adalah wakil  mutlak Tuhan, barangsiapa yang menentang paderi maka dia menetang Tuhan!

Namun setakat mana penderaan boleh membunuh buah fikiran manusia yang berakal, terutama apabila angkatan perang Salib pulang dari Baitul Maqdis dengan kegagalan dan setelah mereka melihat perkembangan fikiran dan pemerintahan teratur Dunia Islam di zaman itu. Dari itu, ti,bullah golongan ahli fikir yang ingin bebas dan meneruskan falsafah Socrates terdahulu, iaitu menyelididki alam dan sebab-sebabnya serta melanjutkan ilmu penegtehuan dalam segala segi, yang mana hal demikian adalah bertentangan dengan jalan gereja. Di sinilah bermulanya zaman perubahan, zaman ‘aufklaarung’.

Zaman perubahan ini adalah permulaan ketegangan antara ilmu dan agama, antara fikiran merdeka dengan gereja. Banyak ahli-ahli fikir dan falsafah memilih untuk tidak beragama dan berasa bangga dengan ketiadaan agama itu. Kemuncak zaman ini adalah Revolusi Perancis, yang digelar pintu zaman buat kemerdekaan diri (liberalism), dan penutup pintu bagi penghambaan diri bagi kekuasaan besar (universalisma).

Selepas rakyat merdeka, raja tidak berpengaruh lagi, dan pendeta tiada kuasa lagi, bermulalah zaman fenomena mereka yang cerdik berusaha, memperolehi kekayaan. Ketinggian ilmu pengetahuan dan pendapat baru menjadi mata penghasilan hidup. Muncul segala mesin dan teknologi baharu. Penghasilan yang mengagumkan membawa kepada kekayaan. Mereka yang pintar menguasai ekonomi. Dan sudah tentu bukan semua manusia memiliki akal yang bijak pandai, maka di zaman ini lahirlah dua taraf masyarakat iaitu majikan dan buruh.

Zaman kapitalis mula menguasai dunia, dalam masa yang sama rakyat sudah sudah menolak khutbah gereja yang bercerita tentang kerajaan syurga sedangkan rakyat miskin mati kebuluran dan kelaparan. Ketika ini muncullah Karl Marx yang membawa kata-kata, “agama adalah candu rakyat!” kerana melihat kepada agama yang mengikat rakyat untuk hidup sebagai manusia merdeka dan bermulalah perjuangan sosialis membawa semangat kesamarataan ekonomi dan taraf sosial.

Sungguh. Ideologi demi ideologi mula muncul selepas itu akibat dari ketidakpuasan hati dengan ketidaksempurnaan, kezaliman dan penindasan yang dilihat berlaku dalam atau atas nama agama. Dari perasaan dendam dan putus asa kepada Tuhan, idea pemikiran yang dilihat sesuai bagi menggantikan kelompongan agama diambil dan diperjuangkan.

Persoalannya, benarkah agama itu tidak sempurna?

(Bersambung..)

Rujukan:

Prof Dr HAMKA. (2006). Islam: Revolusi ideologi & keadilan sosial.

Leave a Reply