Siapakah Harun dalam Surah Maryam sehinggakan Missionari Kristian Cuba Mendakwa Al-Quran telah Diseleweng?


Sehingga kini, pendakwah Kristian rancak menyebarkan ideologi mereka yang menyimpang terutama di negara-negara umat Islam yang miskin. Modal mereka adalah kekuatan bantuan kewangan dan membawa hujah-hujah dangkal tentang keburukan Islam.

Sekiranya membawa pemikiran kristian sahaja ke dalam masyarakat sudah pasti ramai yang tidak dapat menerima atas pertentangan idea dengan akal yang waras maka senjata bantuan kewangan dan pembawaan naratif-naratif jahat terhadap Islam akan digunakan dalam dakwah mereka.

Ada perkara yang umat Islam perlu belajar daripada mereka terutama kesungguhan mereka meninggalkan rumah dan keluarga demi membawa risalah kesesatan mereka. Sedang masyarakat Islam untuk memberi harta di jalan dakwah pun sudah berkira apa lagi mahu memberi nyawa dan masa.

Balik kepada topik kita. Antara perkara yang cuba dibawa oleh pendakwah Kristian dalam masyarakat Islam ialah cuba membuktikan penyelewengan Al-Quran sedangkan Kitab yang sedang ada di tangan mereka sendiri sudah jauh dari jalan kebenaran dan penuh dengan penyelewengan.

Antaranya ialah, Al-Quran silap memberi fakta apabila menyebut dalam Al-Quran tentang Maryam, Ibu Nabi Isa, Ia menyebut “Wahai Saudara Perempuan Harun…”

Jarak Harun dan Maryam dipisahkan dengan ribuan tahun maka Tuhan Islam telah tersilap antara Maryam ibu kepad Nabi Isa dengan Maryam Kakak Harun. Jelas paderi cuba sedaya upaya menyatakan bahawa ada kesilapan fakta di dalam Al-Quran.

Benarkah kesilapan fakta? Siapakah Harun dalam Ayat itu?

Maksudnya: “Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan yang jahat!” Maryam:28

Dalam ayat menyebut secara jelas, wahai saudara perempuan Harun panggilan yang ditujukan kepada Saidatina Maryam iaitu ibu kepada Nabi Isa. Siapakah Harun dalam ayat ini?

Para pendakwah Kristian menggunakan ayat ini bagi menyesatkan umat Islam terutama di negara-negara miskin. Bagaimana mereka menggunakan ayat ini sebagai sebuah kesempatan kononya ayat ini tersalah fakta atau dalam erti kata lain Al-Quran mempunyai kesilapan dan kesalahan.

Al-Quran salah dalam mensoroti lipatan sejarah, membawa kesalahan fakta sehingga akhirnya dakwah kristianisasi berjaya dalam membentuk keraguan dalam pemikiran umat Islam.

Ini sebagai salah satu contoh laman web pendakwah kristian yang cuba membuat keraguan kepada umat Islam. Sekiranya umat Islam mempercayai dakwaan jahat ini maka umat Islam telah mengingkari intisari Islam kerana kebanyakkan intisari penting Islam berusmberkan Al-Quran.

Mereka menyatakan bahawa bagaimana Al-Quran boleh tersilap secara fakta apabila memanggil Mariam sebagai saudara perempuan Nabi Harun sedangkan Nabi Harun hidup di zaman berbeza malah dipisahkan dengan hampir ribuan tahun.

Sememangnya Nabi Harun mempunyai saudara perempuan yang bernama Mariam dan perempuan tersebut juga merupakan saudara perempuan kandung kepada Nabi Musa, akan tetapi Mariam itu bukanlah ibu Nabi Isa.

Nama yang sama tetapi orang yang berbeza. Nah di sini jarum keraguan cuba dimasukkan dan ditanam oleh pendakwah kristian supaya umat Islam meragui keagungan dan kemukjizatan Al-Quran Al-Karim.

Apa Kata Ulamak Islam Tentang Hal Ini?

Sebagai orang Islam, wajib baginya mengimani Al-Quran sebagai wahyu dan kalam Allah SWT yang suci daripada sebarang kekurangan dan kelemahan. Sekiranya tidak, seseorang itu boleh jatuh ke lembah kekufuran dan itu suatu yang amat malang baginya apabila ia ditimpa masalah ini.

Tetapi apa jawapan para ilmuan Islam dalam hal ini, adakah benar dakwaan pendakwah Kristian ini atau pun sekadar keraguan yang jauh daripada fakta yang sebenarnya.


Imam Al-Fakhrur Razi dalam tafsirnya menerangkan bahawa Harun di sini terdapat beberapa pandangan dalam menghuraikan ayat tersebut, yang paling tepat adalah Nabi Allah Harun iaitu saudara lelaki kepada Nabi Musa. Walaupun jarak mereka tepisah ribuan tahun tetapi ada kesamaan dari sudut kesolehan dan kezuhudan. 

Ya ia benar seperti yang didakwa tetapi bukanlah seperti apa yang cuba diterangkan oleh pendakwah Kristian. Dalam erti kata lain, walaupun pada hakikatnya Allah SWT menggunakan perkataan saudara perempuan, ia tidak semestinya menunjukkan saudara yang mempunyai pertalian darah.

Penggunaan kalimah saudara dalam Kalam Allah ini tidak dibataskan hanya kepada pertalian darah tetapi melebihi dan menjangkaui daripada horizon itu. Dalam erti kata lain, saudara itu pada asalnya dinisbahkan kepada ikatan darah tetapi Allah SWT menginginkan maksud persaudaraan itu lebih luas maksudnya daripada itu tertutama dalam perkara yang mempunyai persamaan antara mereka.

Sebagai contoh mudah, apabila seseorang itu mempunyai persamaan pada warganegara, secara mudah dia akan menyatakan bahawa itu saudara senegaranya. Kalau ia mempunyai kesamaan dari sudut agama sedangkan bangsa berbeza ibu dan ayah yang berlainan dia akan menyatakan bahawa ini saudara seagamanya.

Jelas?? Kenapa Allah memanggil Mariam dengan memanggil wahai saudara perempuan Harun kerana ada kesamaan pada Mariam dan Harun iaitu dari sudut zuhud dan soleh.

Malah dalam kalangan Bani Israel sesiapa yang dikenali sebagai orang soleh dan zuhud mereka akan dinisbahkan dengan Nabi Harun AS. Pemuda Bani Israel itu soleh dan zuhud seperti Harun AS.

Perhatikan juga apabila Allah Azza Wa Jalla menyebut: “Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan”  Al-Isra’:27
Apakah kita juga akan memahami orang yang membazir itu mempunyai ayah dan ibu kandung daripada kalangan syaitan? Atau dia akan meyakini bahawa ayah dan ibunya ada melahirkan anak syaitan? Sungguh pasti tiada yang akan berkeyakinan seperti ini. Tetapi menyakini sifat pembaziran itu ada kesamaan pada sifat Syaitan.

Begitu juga, bukanlah Allah SWT berfirman saudara perempuan Harun bagi menunjukkan mereka adalah saudara kandung tetapi kesamaan antara mereka berdua dari sudut kesolehan dan kezuhudan.

Apabila datangnya kebenaran pasti kebatilan itu akan menghilang. Sekian.

Rujukan: Tafsir Al-Fakhrur Razi, Jld 11, halaman 208-209, cetakan Dar Al-Fikr: Beirut-Lebenon.

Leave a Reply