Menteladani Nabi Yusuf AS saat Mendapat Ujian yang Getir

Kita memahami betapa bukan sedikit cabaran yang dihadapi insan bernama lelaki pada saat ini dalam menjaga hawa nafsu. Terutama yang berkaitan berlawanan jantina.

Dengan kemudahan akses pada video yang tidak sopan, kadang kala tanpa diminta keluar gambar-gambar yang tidak sepatutnya. Ditambah lagi dengan sebahagian wanita yang kurang menutup aurat. 

Makin bertambah lagi dengan fesyen kini yang pelbagai jenis, dari jenama muslimah yang benar-benar muslimah sehinggalah yang sekadar atas jenama sahaja.

Ya, perjalanan mujahadah yang bukan mudah. Tapi itu semua bukanlah suatu alasan sewenangnya yang boleh menyebabkan kita berlepas diri dari menjaga kehormatan diri sendiri dan orang lain.

Kerana akhirnya yang disoal adalah amalan masing-masing. Tiada lagi alasan-alasan yang membolehkan kita mengelak dari menerima ganjaran mahupun siksaan.

PEMUDA YUSUF AS SEBAGAI ROLE MODEL

Semua dari kita sudah ketahui tentang kisah wanita Aziz yang memujuk rayu Nabi Yusuf sebagaimana yang Allah swt ceritakan secara terperinci dalam Surah Yusuf.

Mungkin ada sebahagian dari kita mengatakan, 

” Nabi Yusuf takpelah dah sememangnya Nabi. Mestilah Allah jaga dan melindungi baginda dari berbuat perkara mungkar. Aku ni siapa. Bukan nya ma’sum. Sekali sekala teringin juga buat macam orang lain buat. Bahagia je aku tengok. ”

Sedangkan tahukah kita, ketika peristiwa tersebut berlaku, baginda belum lagi dilantik menjadi nabi. Umur baginda ketika itu sekitar 25 tahun, manakala wanita Aziz pula berumur antara 30-40 tahun.

Dan sebahagian ulama’ juga telah mentafsirkan bahawa ayat 24 di Surah Yusuf,

” Dan sebenarnya perempuan itu telah sangat berkeinginan kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu) ….. ”

Sebagai manusia biasa, nabi Yusuf juga ketika itu terlintas keinginan untuk menyambut pujuk rayu wanita Aziz. Namun baginda tidak membenarkan lintasan tersebut dan bertindak melarikan diri dari keadaan itu sebagaimana diceritakan pada ayat berikutnya, 12:25 

” Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; ….” 

Jika kita melihat dengan kaca mata sifat gharizah kemanusiaan biasa, Nabi Yusuf lebih berhak membuat alasan bagi membenarkannya berbuat kemungkaran namun kerana mengingatkan Tuhannya, beliau melawani juga kehendak hawa nafsu.

Antara Cabaran Yang Dilalui Oleh Nabi Yusuf a.s

1. Nabi Yusuf merupakan seorang pemuda ketika itu dan sebagaimana kita ketahui, nafsu syahwat di tahap umur sebegitu adalah kuat.

2. Beliau belum lagi berkahwin mempunyai  isteri dan hamba bagi menundukkan syahwatnya.

3. Baginda tika itu berada di negara asing. Tiada keluarga di sisi yang beliau perlu takutkan jika berbuat kesalahan.

4. Wanita yang menggoda itu seorang yang mempunyai pangkat dan kecantikan.

5. Wanita tersebut telah memujuk rayu, menggoda bahkan melakukan pelbagai usaha untuk mendapatkan Nabi Yusuf.

6. Nabi Yusuf dari kecil lagi berada di rumah wanita Aziz dan pastinya dia di bawah kekuasaan dan kehendak  wanita tersebut.

Inilah contoh kesabaran dalam menjaga kehormatan dan kesucian diri yang ditunjuki oleh nabi kita. Dan kisah inilah yang Allah rakamkan di dalam Al-Quran supaya menjadi kekuatan dan ikutan kepada setiap pemuda di sepanjang zaman.

APAKAH KEKUATAN BAGINDA 

Ketika Zulaikha memujuk rayu dan berkata kepada Nabi Yusuf a.s :

“Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. 

Lalu jawapan yang diberikan oleh Yusuf a.s : 

“Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”.   (Surah Yusuf, ayat 23)

Dari jawapan baginda dapat kita fahami kekuatan yang boleh kita teladani adalah :

 
1. Bersungguh-sungguh memohon perlindungan Allah swt dari sebarang kejahatan yang datang dari luar mahupun dari dorongan dalaman diri kita sendiri.

2. Mengingati segala limpahan kebaikan yang telah Allah swt berikan kepada diri kita. Dari sebelum lahir sehinggalah sekarang. Sehingga menumbuhkan kecintaan yang benar-benar mendalam kepada Allah swt.
Hasilnya, menjadikan kita segan untuk melakukan apa jua perbuatan yang dimurkai Nya, Dzat yang kita cintai dan yang sentiasa mencintai diri kita.

3. Mengingati balasan dan siksaan yang akan diberikan sekiranya kita melanggari perintah Allah Yang Maha Pemberi Balasan.

Justeru, tiada kekuatan yang lain melainkan dari kebergantungan kita kepada Allah. Sentiasa mengharapkan penjagaan dan bimbingan dari Nya. Kerana di masa kini, tiada seorang pun yang boleh mendabik dada menjamin diri nya tidak terlepas dari maksiat sebegini. Hanya Allah swt sahaja tempat kita berlindung.

Rujukan: Qasasul Anbiya’ Fi Al-Quran Al-Karim oleh Taufiq Yusuf Al-Wa’ie

Leave a Reply