3 Perkara yang Nabi s.a.w lakukan setelah berhijrah ke Madinah

Sunset_Beautiful_View_Masjid_Nabawi_01

 

1. MEMBINA MASJID NABAWI
Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi s.a.w setelah masuk ke Madinah adalah membina sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid An-Nabawi hari ini. Masjid ini merupakan masjid kedua dibina dalam islam setelah Masjid Quba’. Masjid Nabawi dibina di kawasan di mana unta Nabi s.a.w berhenti ketika awal-awal baginda masuk ke Madinah. 

Baginda kemudiannya membeli tanah tersebut yang merupakan kepunyaan dua orang anak yatim. Dalam fasa pembinaan tersebut baginda sendiri turun membantu dalam kerja-kerja pembinaan malah sambil mendoakan para sahabatnya ketika itu:

اللهم لا عيش إلا عيش الآخرة فاغفر للأنصار والمهاجرة

Ya Allah! Sesungguhnya tiadalah kehidupan (yang lebih kekal) kecuali kehidupan akhirat. Maka ampunilah kaum Ansar dan Muhajirin.

Pengajaran daripada pembinaan masjid:

i- Asas sebuah komuniti atau masyarakat perlu dibina atas dasar taqwa yang mana diterjemah melalui pembinaan masjid yang menjadi tempat asuhan jiwa

ii- Peranan masjid sebagai tempat kesatuan dan perkumpulan segala jenis manusia tanpa mengira kedudukan jauh sekali untuk berlaku pepecahan

iii- Masjid bukan didirikan semata-mata solat didalamnya tetapi kebanyakan hal-hal keagamaan bagi tujuan menyebarluaskan Islam seperti tempat pembelajaran agama Islam, tempat rujukan masalah masyarakat, dan lain-lain yang sesuai

iv- Masjid adalah lambang kebanggaan islam dan kekuatannya, malah azan yang dikumandangkan adalah syiar Islam

v- Kepentingan untuk menjaga harta anak yatim dan hak mereka dengan tadbir urus yang baik dan tidak khianat kepada mereka

vi- Wakaf boleh menguatkan umat islam seperti tanah yang diwakafkan oleh nabi untuk membina masjid

vii- Kepentingan qudwah seorang pemimpin dalam kerja kemasyarakatan dengan iklas hati dan dalam segenap aspek

viii- Kerjasama amat penting dalam sesebuah masyarakat majmuk

ix- Memotivasikan orang bawahan dengan akhirat seperti doa nabi s.a.w bukan dengan hal keduniaan dengan tidak menafikan hak mereka

x- Hati yang hidup sahaja yang boleh dimotivasikan dengan akhirat sebagaimana sahabat nabi termotivasi dengan doa baginda s.a.w.

2. MENGIKAT PERSAUDARAAN ANTARA MUHAJIRIN DAN ANSAR

Sebagaimana nabi s.a.w mendirikan masjid bagi tujuan pengumpulan kaum muslimin, baginda menyatukan pula hubungan antara kaum Ansar dan Muhajirin demi mempereratkan lagi tautan ukhuwah ini. Baginda s.a.w melakukan hal tersebut di rumah Anas bin Malik dan pada ketika itu mereka berjumlah kira-kira 90 orang. 

Sebahagian dari jumlah itu adalah Ansar dan sebahagian lagi adalah Muhajirin. Hubungan ini sangat istimewa hinggakan pada permulaannya boleh diwarisi sesama mereka harta pusaka telah kematian saudaranya hinggalah setelah perang Badar.Makna disebalik ukhuwah ini ialah untuk memecahkan sifat perkauman (assabiyah) sewaktu zaman jahiliyyah dahulu kerana tiada kemuliaan seseorang melainkan islam. 

Tidak pada kedudukan, warna kulit atau kerabatnya. Hubungan ini terbukti bukan sekadar kata-kata tetapi keterikatan harta, darah dan jiwa. Hal ini digambarkan dalam sebuah kisah antara Abdul Rahman bin Auf (muhajirin) dan Saad bin Rabi’ (ansar). Saad mempelawa Abdul Rahman untuk mengambil separuh hartanya dan meminta Abdul Rahman memilih antara dua isterinya yang berkenan di hati supaya diceraikan dan berkahwin dengan beliau. 

Inilah ketinggian ukhwah antara mereka. Pun begitu, Abdul Rahman menolak dengan baik dan hanya mengambil sedikit modal untuk berniaga di pasar Bani Qianuqa’.

Al-Quran memuji kaum Ansar dalam peristiwa ini sebagaimana firman-Nya:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿٩

Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (Al-Hashr:9)

 
Pengajaran daripada ikatan persaudaraan Muhajirin dan Ansar


i- Kerjasama dapat menguatkan hubungan dan kesatuan sebagaimana nabi s.a.w melibatkan muhajirin dan ansar dalam kerja pembinaan masjid terlebih dahulu sebelum menghubungkan ukhwah mereka

ii- Ikatan didalam persaudaraan sesama islam adalah ikatan ukhwah islamiyah yang tidak dilatarbelakangkan kepentingan duniawi

iii- Ikatan ukhwah islam lebih kuat berbanding ikatan nasab keturunan seperti kesanggupan Saad memberikan harta dan isteri kepada Abdul Rahman bin Auf kerana didasari keimanan

iv- Selemah-lemah ukhwah adalah berlapang dada dan setinggi-tinggi ukhwah adalah mendahulukan orang lain (ithar)

v- Ukhwah yang benar memecah sifat perkauman

vi- Tidak mengambil kesempatan ke atas kebaikan orang lain sebagaimana Abdul Rahman bin Auf  yang menolak dengan baik pelawaan Saad

vii- Kedekut adalah membinasakan manakala sifat bersedekah membawa kejayaan

viii- Tidak boleh mewarisi harta bagi mereka yang tiada hubungan kekeluargaan kerana mewarisi harta bukan dengan hubungan keluarga telah dimansukhkan dalam islam.

3. Memeteraikan Piagam Madinah

Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia yang menjadi asas pembentukan negara Islam Madinah. Terdapat 5 bahagian utama yang terkandung di dalamnya 47 fasal. 23 fasal mengenai peraturan sesama muslim (Muhajirin dan Ansar) dan 24 fasal hubungkait dengan orang yahudi.

 Aspek-aspek yang ditekankan dalam piagam ini ialah politik sosial, ekonomi, pentadbiran, agama, sosial, perundangan, pertahanan, dan kedudukan kaum Yahudi.Piagam Madinah sangat penting diputuskan segera ia melibatkan kedudukan nabi s.a.w di Madinah yang merupakan ketua pada ketika itu. 

Selain itu, ia juga menggariskan hak kehidupan Muhajirin di tempat yang baru selain untuk membentuk kesatuan politik bagi mempertahankan Madinah dan musuh. Ia juga menegaskan akan keamanan semua penduduk Madinah walaupun hidup dalam masyarakat majmuk. Justeru, hubungan yang terkait dengan orang yahudi turut diadakan.

Pengajaran daripada termeterainya Piagam Madina

i- Sebaiknya Piagam Madinah boleh dikaji dengan lebih mendalam dengan melihat kepada isu-isu yang boleh diteladani pada masa kini melalui fasal-fasal yang telah digariskan

ii- Kepentingan menjaga kedudukan Nabi s.a.w sebagai nabi ikutan dan tempat manusia pada mana-mana zaman untuk dijadikan rujukan

iii- Kebajikan kemasyarakatan perlu ditekankan agar kekuatan islam teguh dan ukhwah islamiyah akan terus utuh

iv- Hubungan sesama islam biarpun atas dasar iman tetapi ia tidak menafikan perlu adanya perjanjian terutama yang melibatkan kemaslahatan sebagaimana turut digariskan hubungan antara muhajirin dan ansar

v- Perlunya perlembagaan atau peraturan digubal dan dilaksanakan untuk menjaga keadilan sejagat bukan pada peringkat negara sahaja tetapi juga masyarakat bahkan keluarga

vi- Apa-apa peraturan yang termeterai ibarat ‘aqad’ (perjanjian) bagi mereka yang terlibat untuk tetap menjaganya dan tidak boleh mengkhainatinya.

vii- Islam tidak memutuskan hubungan dengan orang bukan islam bahkan menjalinkan hubungan pada kadar keperluan

viii- Sebuah negara islam perlu menerapkan keamanan sejagat dengan tidak membezakan hak-hak rakyat samaada islam atau bukan

ix- Kehidupan dalam sebuah masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama perlu kepada penghormatan kepada sisi pandangan masing-masing dengan tidak mengabaikan prinsip asas kehidupan bermasyarakat seperti islam

x- Orang bukan islam yang berada di dalam negara Islam perlu menghormati prinsip-prinsrip utama islam seperti keteguhan aqidah, konsep ibadah dan keperibadian akhlak

xi- Orang bukan islam di negara Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing dengan tidak menggangu kepercayaan selain mereka.

 

Leave a Reply