Apabila Bapa Berdepan 600 Dakwaan Liwat dan Rogol Anak: Satu Muhasabah Kepada Masyarakat

Sebelum ni ada terbaca satu mesej di whatsup. Saya rasa ada yang tak kena perbandingan dalam mesej tu dengan realiti kehidupan. 
Ia berkenaan perbualan Ibu dan anak nya bernama Hawa. Ibunya membuat contoh makanan yang ditutup, terjaga baik di bawah saji. Manakala makanan yang terbuka dimakan oleh kucing.

Ya memang benar bagi wanita mereka ada kuasa memilih untuk menutup aurat atau tidak. 
Namun perbandingan lelaki dengan kucing tak benar sama sekali. Kucing tak punya akal. Yang dia tahu, nampak ikan itu adalah makanan dia. Berlainan pula dengan lelaki. 
Lelaki makhluk yang Allah ciptakan dengan akal. Sama dengan Wanita. Lelaki juga sepatutnya ada kuasa untuk memilih mana yang baik dan mana yang buruk. 
Bukannya hanya sekadar terdapat ruang dan dorongan ke arah kemungkaran, dia terlepas dari dosa yang dilakukan seperti mana kucing. Tak sama.
MENTALITI MASYARAKAT KITA
Apa yang saya bimbangkan dari mesej tular sebegini, adalah mentaliti masyarakat kita. 

Seolah kesalahan pada jenayah rogol, sumbang mahram, zina, gangguan seksual dan pelbagai lagi masalah sosial yang berkaitan berlawan jantina hanya pada bahu wanita sahaja.

” Memang padan muka Cik Kiyah tu. Tayang body sana sini. Lelaki mana yang tak naik miang, sah-sah la kena ambil kesempatan ”

Ini antara perbualan yang biasa kita dengar dan juga hasil pemahaman kita.

TUTUP AURAT DAN JAGA PANDANGAN SAMA PENTING

Hakikatnya kedua pihak perlukan didikan bagi mengelakkan berlaku banyak lagi kes seperti ini. Keperluan mendidik terhadap lelaki dan perempuan adalah sama penting. Keduanya perlu dititik beratkan. 

Dan tak melampaui jika saya katakan, sepatutnya lelaki perlu mendapat didikan yang lebih mendalam memandangkan tanggungjawabnya lebih besar sebagai ketua.

Kerana itu ajari anak-anak lelaki kita supaya menjaga pandangan mereka seperti kita tekankan pada anak-anak perempuan supaya menjaga aurat.

Disebabkan penting nya menjaga pandangan bagi para lelaki harapan ummah, Allah swt telah dahulukan suruhan menundukkan pandangan kepada lelaki terlebih dahulu. Baru lah selepas itu datang nya ayat suruhan terhadap wanita.

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. ”          (Surah An-Nur, ayat 30)

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka;… “.    (Surah An-Nur, ayat 31)
SOLUSI HANYA TAQWA 

Bila saban hari membaca berita, hampir setiap hari terdapat kes berkenaan ayah atau saudara lelaki terdekat mengambil kesempatan terhadap wanita jagaan mereka.

Memang benarlah semuanya bermula dari pandangan.

Bukan sahaja pandangan di jalanan. 

Tapi pandangan kita pada skrin telefon yang kita pegang setiap masa. Pandangan kita pada cerita-cerita yang kita lihat. Video apa yang kita tonton saban hari.

Perkara ini hanya diri kita sahaja yang tahu. Dan hanya taqwa di dalam hati yang mampu memagari kita dari tidak memilih video porno dan kurang sopan.

Definisi Taqwa yang sebagaimana kita fahami dari perbualan Saidina Umar r.a dan Ubai bin Kaab r.a,

” Berhati-hati dalam memilih ketika melakukan perbuatan, bermula lintasan di hati sehinggalah pada setiap pancaindera (mata, telinga, mulut, tangan dan kaki) kerana bimbang terjerumus dalam perkara yang Allah murkai ”

Mungkin inilah hikmah Allah mewajibkan lelaki ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Kerana setiap minggu akan diingatkan supaya bertaqwa kepada Allah swt. Sebagai bekalan untuk meluruskan kehidupan sendiri dan membimbing insan di sekitarnya.

Kerana itu, semasa mengajar di sekolah menengah  saya sentiasa sebutkan kepada pelajar lelaki menengah atas secara terus terang. Jaga pandangan semasa melayari internet. 

Hidupkan taqwa dalam hati kerana ini sahaja yang mampu memagari diri kita. Doa mohon sungguh-sungguh pada Allah supaya menjaga diri dari fitnah akhir zaman.

Di sini ibu dan bapa benar-benar perlu mainkan peranan. Dan kita semua pastinya. Semoga Allah sentiasa menjaga apa yang dalam hati, fikiran dan setiap anggota kita.

Leave a Reply