[Soal Jawab Kekeluargaan] Ayah tidak bersetuju saya berkahwin dengan Lelaki Pilihan

SOALAN:

Assalammualaikum Kun Anta,

Saya hendak bertanya. saya berumur 28 tahun dan hendak mendirikan rumahtangga, inshallah dengan izin allah, Tetapi ayah saya enggan menjadi wali dan enggan menerima pilihan saya kerana pilihan saya orang Turkish islam dan saya orang malaysia, mohon nasihat. Terima kasih.

Siti 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam Siti Nur,

Terima kasih atas pertanyaan yang dikemukan oleh saudari. Semoga Allah SWT memudahkan urusan saudari dalam membangunkan rumahtangga yang dianjurkan oleh Islam dan Sunnah terbesar dalam Islam.

Ada beberapa perkara yang kami cuba bantu:

1. Keresahan ayah saudari antara yang perlu dipertimbangkan

Pada pandangan kami setakat apa yang dimaklumkan oleh saudari, mungkin ayah saudari enggan menerima pilihan saudari kerana dia bukan warganegara Malaysia dan seorang warganegara Turki. 

Pasti dalam kepala seorang ayah, anak yang sudah dia tatang dari kecil sehingga umur 28 tahun bagai menatang minyak yang penuh, akan meninggalkannya, tiada wajah putri kesayangannya selepas ini untuk ditatap. Benua lautan menjadi pemisah antara kasih seorang ayah dan anak perempuan yang dia sayangi. 

Malah dalam pemikirannya, apakah selepas ini akan ada pertemuan lagi dengan anak perempuannya dan lain-lain hal yang mungkun membuatkan seorang ayah rungsing. Itulah hakikat seorang ayah terutama pada anak perempuan.

Jadi, keresahan ini antara perkara normal seorang ayah yang saudari perlu pertimbangkan dalam membuat keputusan dan mengambil sebarang tindakan.

2. Jaminan daripada bakal suami 

Apa tindakan yang sepatutnya diambil bagi mengurangkan resah gelisah seorang ayah? Saudari kena banyak berbincang dengan bakal suami, bagaimana kehidupan saudari selepas berumahtangga.

Hasil perbincangan saudari dan bakal suami, dapatkan jaminan daripada bakal suami, yang akan membuatkan keresahan si ayah hilang dan paling kurang mengecil.

Contohnya jaminan seperti si suami akan tinggal di Malaysia dan mendapat status penduduk tetap di Malaysia, atau sekiranya saudari kena ikut bakal suami pulang ke Turki, jaminan bahawa berapa kerap saudari sekeluarga akan pulang ke Malaysia atau menjemput ayah dan keluarga saudari ke negara Turki. 

Ini hanyalah contoh, suadari boleh berbincang dengan bakal suami apa-apa perkara yang saudari dan bakal suami boleh tawarkan kepada si ayah sebagai suatu jaminan sehingga menampakkan perkahwinan saudari tidak sekali-kali memisahkan saudari dengan keluarga.

InsyaAllah ayah saudari akan tenang walaupun anak perempuannya ada di perantauan. Ada sahaja mereka yang tinggal dalam Malaysia kadang-kadang jarak rumah anak dengan ayah tidak lah jauh, tetapi setahun belum tentu datang melawat ayah dan bonda di kampung halaman. Isunya di sini bukanlah jarak tempat yang memisahkan tetapi kemahuan daripada seorang anak.

3. Bakal suami ambil hati bakal mertua

Selain itu, bakal suami kena ambil bahagian dalam memastikan keberlangsungan perancangan pasangan bagi mendirikan rumahtangga yang berjaya. Bakal suami bukan akan berkahwin dengan saudari sahaja tetapi keluarga saudari juga. Ayah saudari akan menjadi ayahnya, bonda saudari juga akan menjadi bondanya juga, begitu juga sebaliknya.

Justeru, bakal suami saudari perlu ambil hati bakal ayah mertuanya. Bawa bakal suami untuk berkenalan dengan ayah, sekiranya bakal suami berusaha belajar bahasa melayu itu juga sedikit sebanyak akan mengambil hati keluarga.

Bagaimana mengambil hati, tidak semestinya kena beri harta tetapi sejauh mana bakal suami berusaha menawan hati ayah saudari. Kadang-kadang bersembang sahaja sudah dapat menawan hati seorang ayah sekiranya perbincangan menjurus kepada minat si ayah.

Untuk hal ini, saudari yang perlu banyak membantu bakal suami untuk mengambil hati ayah saudari, kerana saudari yang lebih mengenali ayah saudari, apa yang dia suka, apa yang dia benci dan tidak suka dan segala-galanya berkaitan ayah saudari.

Daripada situ, saudari cadangkan kepada bakal suami bagaimana mengambil hati ayah saudari.

4. Perkahwinan menghubungkan bukan memutuskan

Sebagai pesanan kepada saudari dan bakal suami, perkahwinan perlu dilihat sebagai suatu yang saling menghubungkan antara satu sama lain, menghubungkan keluarga saudari dengan bakal suami.

Jadi perlu tanamkan dalam jiwa saudari dan ayah saudari bahawa perkahwinan ini tidak sekali-kali memutuskan hubungan saudari tetapi mengeratkan lagi hubungan ini. 

Janganlah buat suatu tindakan yang akan memutuskan perhubungan saudari dan ayah saudari. Seperti kahwin tanpa pengetahuan si ayah dan lain-lain lagi.

5. Banyakkan berdoa kepada Pemilik Cinta dan Hati

Ini hal yang paling penting dan utama, yang saudari kena buat dan tekankan selain mengambil asbab. Iaitu berdoa. Panjatkanlah doa pada yang memiliki seluruh kekuasaan dan keupayaan, Allah Azza Wa Jalla.

Doalah di waktu-waktu mustajab, ketika bangun qiamulail saat orang lain masih dibual mimpi, saat melakukan solat istikharah saudari memohonlah kepada Allah agar urusan ini dpermudahkan dan hati ayah saudari dilapangkan.

DIA yang memiliki cinta dan menumbuhkan cinta pada setiap hati manusia, saat Allah menuntukan jodoh seseorang itu Allah akan memudahkan urusan ini, urusan yang paling DIA cintai dan anjurkan dalam Islam.

Doa tiada siapa yang mampu menandingi kuasa Allah, admin sendiri pernah diuji dengan perkara seperti ini, tetapi apabila kita panjatkan doa siang dan malam, sedikit demi sedikit Allah mudahkan semua urusan pada jalan yang kita sendiri tidak jangkakan.

6. Dapatkan wali Hakim

Sekiranya, ayah saudari masih enggan untuk menjadi wali sedangkan saudari sudah bertekad, jangan bertindak di luar lunas syariat dan undang-undang.

Bawa berbincang dengan ayah saudari, dan dalam Enekmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 sebagai contoh ada peruntukan di bawah seksyen 13 bahawa perkahwinan mestilah dengan persetujuan wali sebelum sesuatu perkahwinan itu dijalankan.

Dalam seksyen itu juga menyatakan bahawa anak perempuan itu boleh memohon Wali Raja untuk mengakadnikahkannya apabila ayah enggan menjadi wali. Dan sekiranya wali enggan memberi persetujuan tanpa sebab yang mencukupi, wali raja akan menjadi wali bagi perempuan ini.

Ayah saudari akan diminta hadir memberi penjelasan kenapa dia enggan menjadi wali, adakah dia mempunyai sebab-sebab yang munasabah atau pun tidak dan hakim syarie akan membuat keputusan atas hal ini. 

7. Elakkan daripada kahwin lari

Perkara ini antara perkara yang saudari kena elakkan. Kahwin lari bukanlah jalan yang selamat untuk saudari meneruskan hasrat saudari. Kahwin lari akan menimbulkan lebih banyak masalah terutama apabila mahu membuat pengesahan perkahwinan dan akan menjadi masalah sekiranya tidak mengikut prosedur yang sepatutnya.

Malah secara etika juga ia memberi kesan, perkara ini akan membawa imej yang buruk kepada keluarga saudari terutama ayah saudari malah ada kes yang ayah perempuan masih tidak mahu mengaku bahawa lelaki yang berkahwin dengan anak perempuannya adalah suami kepada anak perempuan.

Ia mengeruhkan lagi keadaan dan suasana yang sedia kala keruh. 

Akhir kata, banyakkan berdoa dan letakkanlah setinggi pengharapan kepada Allah Azza wa Jalla. Semoga Allah memudahkan urusan saudarai dalam membina mahligai rumahtangga. Kami sentiasa mendoakan Allah SWT membuka jalan kemudahan buat saudari. AMIN.

Leave a Reply