Penerangan Kenapa Nabi Harun AS kelahirannya tidak diancam bunuh sedangkan Adiknya Nabi Musa AS diancam Bunuh

Sepanjang anda menonton kisah Nabi Musa AS di page Kun Anta setiap Isnin dan Khamis, sehingga kini sudah memasuki episod 11. Sudah pasti sedikit sebanyak anda mengetahui kisah kelahiran Firaun dan kelahiran dua Utusan Allah iaitu Nabi Allah Musa AS dan Nabi Allah Harun AS.
Walaupun cerita tersebut dalam bahasa Arab tetapi ia bukan halangan buat anda untuk menghayati kisah ini, semoga pengembaraan anda dalam lipatan sejarah nabi-nabi menguatkan anda dalam Islam dan membantu anda dalam memahami agama ini sendiri. InsyaAllah.

Bila Firaun Mengarahkan Pembunuhan Bayi Bani Israel?

Firaun mula mengarahkan untuk membunuh seluruh anak-anak lelaki yang baru dilahirkan daripada kalangan Bani Israel sejurus selepas dia bermimpi dengan sesuatu yang menakutkan dan menggerunkan.

Tukang tilik menafsirkan mimpi akan kelahiran bayi lelaki dari Bani Israel yang akan mengganggu gugat kerajaan Firaun. Lantas dia mengarahkan penyembelihan bayi-bayi lelaki daripada Bani Israel.
Dan semua sedia maklum bahawa Nabi Harun AS merupakan abang kepada Nabi Musa AS. Beza umur mereka tidak jauh hanya dipisahkan beberapa tahun sahaja. Arahan pembunuhan telah diarahkan sebelum kelahiran Nabi Harun AS lagi.

Ini bermakna sebelum kelahiran Nabi Harun AS telah ramai bayi lelaki telah dibunuh oleh Firaun yang zalim. Setiap wanita Bani Israel yang sedang melahirkan anak akan dipantau oleh tenteranya, sekiranya bayi perempuan maka bergembiralah Bani Israel kerana anak itu tidak dibunuh.

Akan tetapi, jika bayi lelaki yang dilahirkan pastilah tentera itu akan membunuhnya maka bersedihlah keseluruhan keluarga itu atas apa yang berlaku.

Apa sebabnya Nabi Harun AS tidak diancam bunuh?

Setelah banyak bayi lelaki yang tidak berdosa dibunuh, sistem kemasyarakatan tidak menjadi seperti sebelum ini. Apa sistem kemasyarakatan sebelum ini? Bani Israel berkurangan tiada pemuda-pemuda baru yang akan menyambung kerja-kerja golongan terdahulu sebagai buruh kasar.

Buruh kasar yang membangunkan bangunan-bangunan piramid dan sebagainya adalah daripada kalangan Bani Israel. Sedangkan orang Qibti atau penduduk asal Mesir mereka bukanlah masyarakat yang menjadi buruh kasar.

Sistem kemasyarakatan menjadi tidak seimbang malah kerja-kerja berat tidak akan dilakukan oleh orang-orang Qibti. Mereka golongan bangsawan, golongan yang menjadi pembesar-pembesar di Istana Firaun.

Maka penduduk Qibti mengajukan keperihatinan mereka atas hal ini. Bani Israel makin mengecil bagaimana kerja-kerja pembangunan hendak dijalankan tanpa mereka. Penduduk Qibti masih berharap dan bergantung kepada kepakaran mereka untuk menjalankan kerja-kerja berat ini.

Aduan ini disampaikan kepada  Firaun. Dia mengambil serius akan hal ini dan dia mula teragak-agak antara kepentingan negara dan kepentingan diri. Antara keresahan daripada mimpo dengan keresahan masa depan negara. Mana yang menjadi prioriti?

Maka Firaun telah membuat satu dasar baru yang mengambil kira kepentingan diri dan negara yang akan diguna pakai dalam sistem pentadbirannya.

Dia menitahkan bahawa pembunuhan dan penyembelihan mesti dibuat pada tahun itu, dan tahun depan tiada pembunuhan dan tahun selepas itu pula ada penyembelihan sehingga berterusan. Perkara ini dibuat secara selang seli.

Ada tahun yang tiada dan ada tahun yang ada pembunuhan bayi lelaki. Cadangan itu dianggap bernas dan bijak oleh penduduk Qibti bagi menyelamatkan sistem kemasyarakatan di Mesir.

Dengan izin Allah SWT kelahiran Nabi Harun AS adalah pada tahun yang tiada penyembelihan bayi lelaki berlaku sedangkan kelahiran Nabi Musa AS jatun pada tahun yang pembunuhan dan penyembelihan dikuatkuasakan pada tahun tersebut.

Itulah sebab kelahiran Nabi Harun AS tidak diancam dengan pembunuhan dan ibu Nabi Musa AS menyambut kelahiran Nabi Harun dengan perasaan yang menenangkan dan tiada kegelisahan.

Rujukan: Qasasul Anbiya’ Fi Al-Quran Al-Karim oleh Taufiq Yusuf Al-Wa’ie

Leave a Reply