8 Peristiwa Bersejarah Yang Berlaku Pada 10 Muharram

4

 

  1. Hari Allah s.w.t mengampunkan Nabi Adam a.s setelah diturunkan ke bumi

    Sewaktu Adam a.s berada di dalam syurga mereka telah melanggar perintah Allah dengan mendekati dan menjamah buah khuldi yang menjadi larangan Allah. Kemudian mereka berdua diturunkan ke bumi yang mana Adam di India dan Hawa di Jeddah. Setelah mengakui kesilapan mereka, Allah s.w.t merakamkan saat penerimaan taubat ini dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

فَتَلقَّى ءادمُ من ربّهِ كلماتٍ فتابَ عَلَيْهِ إنّهُ هُوَ التّوّابُ الرّحِيم
Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.(al-Baqarah:37)

Kata-kata taubat itu adalah merupakan doa nabi Adam a.s dan Hawa:

رَبَّنا ظَلَمْنَا أنْفُسَنا وإنْ لَمْ تَغْفِر لنَا وَتَرْحَمْنا لَنَكُونَنَّ منَ الخَاسِريْن
Wahai tuhan kami sesungguhnya kami telah menzalimi diri kami sendiri (dengan dosa yang telah kami lakukan) sesungguhnya jika engkau tidak mengampuni kami maka tergolonglah kami dalam kalangan orang yang rugi. (al-A’raf:23)

Tambahan lagi, ada juga pandangan mengatakan bahawa hari Adam a.s. dan Hawa dikeluarkan daripada syurga dan ditempatkan di bumi turut berlaku pada 10 Muharram.

  1. Hari kejayaan kapal Nuh a.s. daripada tenggelam

    Nabi Nuh a.s hidup 950 tahun. Dalam tempoh itu baginda melaksanakan dakwah siang dan malam, secara terang dan tersembunyi. Namun, tidak ramai yang menyahut dakwah baginda kecuali 80 orang sahaja. Bahkan isteri dan anaknya turut tidak beriman dengannya. Sebagai balasan keingkaran mereka, Allah menurunkan banjir besar yang menenggelamkan mereka yang kufur di samping memerintahkan Nuh a.s membuat bahtera supaya terselamat dari banjir tersebut. Nabi Nuh dan pengikutnya berada di dalam kapal tersebut lebih kurang selama 6 bulan lebih. Kemudian, kapal tersebut dibawa melewati kawasan Arafah, Mudzalifah, Mina (tempat-tempat haji) dan kemudiannya berhenti di bukit Judiy. Allah berfirman:

    قِيلَ يَا أَرْضُ ابْلَعِي مَاءَكِ وَيَا سَمَاءُ أَقْلِعِي وَغِيضَ الْمَاءُ وَقُضِيَ الْأَمْرُ وَاسْتَوَتْ عَلَى الْجُودِيِّ

    “(setelah binasa kaum kafir) Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi”(Hud:44)

 

  1. Hari disembuhkan penyakit yang menimpa Nabi Ayyub a.s

    Nabi Ayyub a.s merupakan seorang yang sangat penyabar. Beliau diuji oleh Allah s.w.t sakit yang berpanjangan sehingga lebih kurang 18 tahun hingga sebahagian pengikutnya kembali kufur kerana menyangka bahawa baginda bukan nabi kerana tidak disembuhkan oleh Allah. Pun begitu, Ayyub a.s tetap sabar dan diangkat ujian tersebut dengan diperintahkan baginda menghentakkan kaki lalu terkeluar mata air. Dari mata air itulah baginda minum dan mandi dan dengan izin Allah penyakitnya sembuh.

 

  1. Hari Terbelah Laut bagi Nabi Musa a.s dan kemenangan ke atas Firaun

    Allah s.w.t berfirman :”Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israel, dan aku adalah dari orang yang berserah diri (menurut perintah)”(Yunus:90)

    Abdullah Ibn Abbas r.a katanya: Sewaktu Rasulullah s.a.w tiba di Madinah, baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Ketika ditanya tentang puasa itu, mereka menjawab: “Hari ini adalah hari kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa a.s dan kaum Bani Israel dari Firaun. Kami merasa perlu untuk berpuasa pada hari ini sebagai suatu pengagungan kami padaNya.” Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Kami lebih berhak daripada kamu terhadap Nabi Musa dalam hal ini”. Kemudian baginda memerintahkan para Sahabat supaya berpuasa pada hari tersebut. (Muttafaq ‘alaih)

    Adakah puasa nabi s.a.w berpuasa pada 10 Muharram adalah mengikut ibadah Bani Israel?

    Rasulullah s.a.w telah melaksanakan puasa ‘Asyura sebelum baginda berhijrah ke Madinah lagi. Aisyah r.a ada merakamkan peristiwa tersebut sebagaimana dalam hadith: ‘Sesungguhnya hari ‘asyura merupakan hari yang berpuasa padanya kaum Quraisy di zaman Jahiliyyah. Rasulullah s.a.w. juga berpuasa padanya. Apabila baginda memasuki Madinah, baginda terus berpuasa dan memerintahkan manusia berpuasa. Apabila diwajibkan puasa Ramadhan, baginda bersabda, “Sesiapa yang ingin berpuasa, teruskan, Sesiapa yang ingin meninggalkan (juga dibolehkan)’. – (Muttafaq ‘Alaih)

    Oleh yang demikian, bagi membezakan antara puasa orang yahudi dan umat islam nabi s.a.w menyarankan berpuasa pada 9 Muharram juga. Namun ia TIDAKLAH bermakna jika berpuasa pada hari ‘Asyura sahaja menjadi kesalahan.

  2. Hari Allah beri kekuasaan kepada nabi Sulaiman a.s

    Nabi Sulaiman a.s yang merupakan anak kepada nabi Daud a.s adalah salah seorang nabi yang diberikan kepadanya kekuasaan dan pemerintahan sebagaimana bapanya. Keistimewaan yang Allah berikan kepada nabi Sulaiman a.s berupa kemampuan baginda untuk memahami bahasa binatang, mengawal angin untuk kegunaan baginda, memerintah golongan manusia dan jin dan sebagainya. Kurniaan-kurniaan ini banyak disebutkan di dalam Al-Quran akan kisah-kisah yang berkenaan. Adapun hari baginda mendapat keistimewaan ini juga jatuh pada 10 Muharram.

  3. Hari Nabi Yunus a.s terselamat dari perut ikan Nun dan keampunan bagi umatnya

    Nabi Yunus a.s berdakwah kepada kaumnya selama kurang lebih 33 tahun. Namun hanya sedikit yang menyahut seruan baginda. Bahkan kaumnya memperolok-olokkan dakwah baginda hingga suatu ketika baginda mengingatkan mereka jika tidak juga menerima dakwah dalam masa 40 hari maka mereka akan binasa. Kaum Nabi Yunus a.s tetap berdegil hinggalah pada hari ke 35. Nabi Yunus a.s. yang melihat keadaan itu meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah lalu bermusafir menaiki kapal laut.

    Dalam perjalanan di atas laut itu, Allah s.w.t mendatangkan angin yang kuat. Disebabkan muatan kapal berlebihan akhirnya anak kapal membuat pilihan untuk mengurangkan bilangan penumpang. Dengan izin Allah, Nabi Yunus a.s terpilih maka beliau terjun dan masuk ke dalam perut ikan Nun. Ketika di dalam perut ikan ini dalam keadaan yang gelap timbul keinsafan Nabi Yunus a.s kerana baginda meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah. Justeru baginda melafazkan doanya seperti firman Allah s.w.t:

    لا إِلَهَ إِلا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ 
    Tiada tuhan melainkan engkau ya Allah, mahasuci engkau sesungguhnya aku merupakan sebahagian orang yang zalim.

    Adapun kaumnya setelah pemergian nabi Yunus a.s, datang tanda-tanda mereka akan diazab dengan langit merubah menjadi gelap dan keluar asap yang tebal. Akhirnya mereka bertaubat dan taubat mereka diterima oleh Allah s.w.t

  4. Hari berlakunya peperangan Zat al-Riqa’ (ذات الرقاع)

    Pada kurun ke-4 Hijrah, Nabi s.a.w bersama 700 orang para sahabat keluar dengan niat untuk memerangi kabilah Maharib dan Tha’lab kerana mereka telah membunuh 70 orang sahabat nabi yang telah dihantar untuk berdakwah kepada mereka. Apabila kedua-dua pihak telah menghampiri antara satu sama lain, Allah s.w.t mencampakkan rasa gerun kepada mereka hinggakan mereka melarikan diri meninggalkan kaum wanita yang datang bersama mereka.

    Peperangan ini dinamakan sedemikian kerana para sahabat menampal luka-luka pada kaki mereka dek kesukaran perjalanan menempuhi batu-batu. Para sahabat juga tidak mempunyai kenderaan yang mencukupi hingga terpaksa bergilir menaiki kenderaan.

    Dalam perjalanan pulang dari peperangan nabi s.a.w dan para sahabat berhenti sebentar di suatu tempat dan berteduh dibawah pokok. Nabi s.a.w menggantung pedangnya pada pokok. Apabila nabi s.a.w tidur, ada seorang musyrik datang kepada nabi s.a.w serta mengambil pedang nabi lalu menghunus kepada baginda dan berkata: “Siapa yang boleh selamatkan kamu dari aku”. Baginda menjawab dengan tenang: “ Aku bertawakkal kepada Allah”. Tiba-tiba pedang itu terjatuh dari tangan musyrik itu dan nabi s.a.w mengambil pedang yang sama dan menghalakan pedang kepadanya dan berkata sepertimana yang dia tanyakan kepada nabi. Akhirnya nabi membiarkan orang musyrik itu pergi.

  5. Hari pembunuhan Saidina Husain r.a

    Pada tahun 61Hijrah pada hari Jumaat telah terbunuh seseorang cucu Rasulullah s.a.w. yang mana beliau ada disebutkan dalam banyak hadith akan kelebihannya antaranya beliau dan Hassan merupakan ketua pemuda di Syurga.

    Ringkasan sejarah pembunuhan Saidina Hussain bermula apabila ahli Kufah mendapat tahu akan kewafatan Muawiyah r.a yang memegang jawatan khalifah dan digantikan oleh anaknya Yazid. Mereka menulis satu surat kepada Hussain r.a supaya datang ke Kufah dari Mekah untuk mereka membai’ah beliau. Apabila surat itu sampai ditangan Hussain r.a, beliau mempersiapkan kelengkapan untuk ke sana.

    Namun, permusafirannya itu dinasihati oleh beberapa orang sahabat antaranya Ibn Abbas dan Ibn Umar kerana orang Kufah terkenal dengan penipuan dan helah jahat. Bahkan Ali r.a dan Hassan juga terbunuh disebabkan mereka. Pun begitu, Hussain r.a lebih memlih untuk meneruskan perjalanan kerana merasa bertanggungjawab kepada umat islam.

    Dalam perjalanan, di suatu tempat yang bernama Karbala’ beliau telah diserang oleh sekumpulan kumpulan yang jahat. Di sinilah cucu Rasulullah s.a.w. itu dibunuh kerana hasad dengki golongan musuh ini kepada islam. Pelbagai pandangan berkenaan kumpulan yang membunuh itu. Adapun yang lebih tepat ialah mereka ini merupakan golongan Syiah di Kufah. Oleh sebab itu mereka pada awalnya menggelarkan diri mereka sebagai “at-tawabbun” yakni orang yang bertaubat kerana mereka telah membunuh Hussain r.a. Bahkan pada hari ini, Syiah terutama di Iran masih lagi mengamalkan upacara mencederakan diri kerana seolah menzahirkan penyesalan walhal yang membunuh itu adalah dari kalangan golongan Syiah sendiri.

    Kita dan Asyura

    Berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku sebagaimana disebutkan di atas, dapat kita simpulkan perlu kita ambil dua pengajaran penting berkaitan Asyura yakni ia adalah hari kejayaan dan hari keampunan. Bahkan perkaitan keduanya iaitu kejayaan datang selepas keampunan. Justeru itu, selain berpuasa pada asyura, banyakkanlah beristighfar memohon keampunan kerna dengan istighfar ia membuka jalan kemenangan dan kejayaan kepada kita di dunia dan akhirat.

Leave a Reply