Menuntut Harta Sepencarian Apabila Suami Berpoligami

Sebelum mengulas lebih lanjut adalah lebih diterangkan dahulu maksud harta sepencarian, kerana ramai yang masih tidak tahu apa itu harta sepencarian. Malah dalam kitab-kitab fekah klasik tiada istilah ini tetapi hasil budaya serta pandangan para alim ulamak yang kontemporari, harta sepencarian antara perkara yang baik dan bagus yang ada dalam budaya masyarakat Islam Malaysia.

Apakah itu harta sepencarian?
Apa-apa aset yang telah diperolehi oleh suatu pasangan dalam masa tempoh perkahwinan dengan usaha mereka bersama. Harta yang boleh dipohon ialah apa-apa aset yang diperoleh demgan usaha bersama semasa tempoh perkahwinan itu dan ia tidaklah termasuk harta yang diperolehi melalui pusaka, hadiah, wasiat dan sebagainya.

Contohnya, sebelum bernikah mereka tidak mempunyai syarikat, tetapi selepas pernikahan, satu syarikat berjaya ditubuhkan, sekiranya pihak-pihak ada sumbangan dalam pembentukan syarikat walaupun kecil, ia tetap dikira sebagai harta sepencarian. Malah sumbangan secara tidak lansung seperti memberi semangat saat menghadapi masalah dan lain-lain lagi tetap akan dikira harta sepencarian oleh Tuan Hakim.

Pasangan berhak apabila Meninggal Dunia atau Perceraian.

Harta sepencarian biasanya akan dituntuk apabila pasangannya meninggal dunia, maka sebelum harta si mati diagihkan untuk pembahagian faraid, sejumlah harta mesti dikeluarkan sebagai harta sepencarian sekiranya ada untuk diserahkan kepada si isteri sebagai contoh yang masih hidup, ia menunjukkan sumbangan beliau terhadap harta tersebut semasa tempoh perkahwinan.

Pasangan itu juga boleh menuntut harta sepencarian apabila berlaku penceraian. Perceraian dan meninggal dunia kedua-dua ini menunjukkan terputusnya hubungan antara pasangan di dunia ini, dan usaha-usaha mereka dalam tempoh perkahwinan sehingga memiliki aset adalah dihargai walaupun aset-aset tersebut bukan atas nama mereka. Oleh itu, Undang-undang Keluarga Islam memperakui hak mereka yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Apabila suami memohon Poligami, Si Iseri ada Hak menuntut Harta Sepencarian

Subseksyen 23 (10) (b) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri yang baharu telah membuat satu pembaharuan iaitu isteri boleh memohon pembahagian harta sepencarian apabila suami hendak berpoligami.

Hal ini bermakna, dengan pindaan yang baharu ini akan membenarkan tuntutan harta sepencarian untuk dipohon dan diperintahkan sebelum pemberian kebenaran poligami oleh mahkamah.

Banyak yang berlaku sebelum ini, suami melakukan suatu yang tidak jujur dengan menghapuskan serta melupuskan harta tersebut selepas berpoligami. Malah akan merumitkan keadaan apabila harta tersebut mula dituntut oleh isteri yang lain sedangkan ia diperolehi hasil keringat orang lain.

Wanita cakna Hak Mereka!

Rujukan: Hak-hak Wanita menurut Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia oleh Abdul Walid Abu Hassan

Leave a Reply