Kisah Mimpi Firaun yang Menakutkan

Dikisahkan bahawa Firaun suatu waktu telah bermimpi sesuatu yang menakutkan dan membuatkannya hilang akal serta resah gelisah.

Mimpi itu seolah-olah memberi suatu petunjuk dan gambaran yang menakutkan sehingga dia terpaksa memanggil orang yang berkemahiran untuk menafsirkan mimpi.

Mimpi Firaun Suatu Tanda Kebesaran Allah

Allah SWT telah merencanakan sesuatu yang besar yang akan berlaku pada zaman pemerintahan Firaun, iaitu perutusan seorang Nabi merangkap juga seorang rasul agung akan diutuskan.

Tetapi perutusan Rasul tersebut bukan datang dengan cara yang mudah, ia datang dengan penuh ancaman dan dugaan. Kenapa mimpi Firaun sebagai suatu tanda kebesaran Allah?

Daripada mimpi tersebut, Firaun telah merencanakan suatu yang menguji keimanan Bani Israel dan ia merupakan proses didikan daripada Allah SWT ke atas Bani Israel.

Apa rencana Firaun daripada mimpi tersebut?

Dia mengerahkan seluruh jentera kerajaannya untuk membunuh semua anak lelaki daripada Bani Israel hasil tafsiran mimpi. Selanjutnya kita akan melihat tanda kebesaran Allah bagaimana DIA merencanakan sesuatu yang besar menyelamatkan Nabi Musa AS yang akan lahir daripada dibunuh.

Maka dapatlah dikatakan bahawa apa yang dimimpikan oleh Firaun bukanlah sesuatu yang biasa tetapi adalah perencanaan Allah dan menunjukkan kebesaran serta kekuasaan Allah yang boleh melakukan apa sahaja yang DIA kehendaki. Dan tiada siapa yang dapat menandingi perencanaan Allah SWT.


Mimpi apa Yang Membuatkan Firaun Bertindak Sedemikian?

Dia bermimpi sesuatu yang menakutkan, apa mimpinya? Dia melihat api yang besar marak datang daripada Baitul Maqdis di Palestin,  api itu semakin marak sehingga ia sampai di bumi Mesir. Api itu membakar seluruh harta benda, rumah-rumah, bangunan-bangunan dan lain-lain.

Tetapi dalam mimpi itu, Firaun melihat bahawa api yang marak yang datang daripada Baitul Maqdis tersebut tidak menyentuh dan membakar Bani Israel di Mesir malah ia meninggalkan mereka begitu sahaja setelah api membakar seluruh harta benda daripada Baitul Maqdis sehingga bumi Mesir.

Mimpi yang penuh ngeri dan tragis ini telah menghantui Firaun, sehingga ia memanggilkan tukan tilik untuk menafsirkan mimpinya. Dan tukang tilik telah menafsirkan sesuatu yang memeranjatkan Firaun sehingga dia telah membuat kerosakkan di muka bumi dengan membunuh bayi yang tidak berdosa.

Tukan tilik mengkhabarkan bahawa akan lahir daripada Bani Israel seorang budak yang akan menjadi sebab kecelakaan kepada penduduk Mesir, pemerintahan Firaun akan hilang disebabkannya serta akan membuatkan kaum daripada kalangan Firaun akn dikeluarkan daripada negara ini.

Maka tumpahlah darah bayi-bayi lelaki daripada Bani Israel yang tercatat dalam lipatan sejarah. Tetapi peristiwa ini menunjukkan kebesaran Allah dan rencana Allah sentiasa menang dan menandingin rencana manusia yang teramat lemah.

Rujukan: Qasasu Al-Anbiya’ fi Al-Quran Al-Karim oleh Taufiq Yusuf Al-Wa’ie

=============================
3 sebab utama mengapa jumlah tontonan video kisah nabi Luth ini mencecah 3 milion hanya dalam beberapa hari sahaja


Kisah al-quran merupakan kisah yang terbaik berbanding kisah-kisah lain. Mengapa tidak? Allah telah pun menyatakannya di dalam al-quran bahawa ia merupakan sebaik-baik kisah.

Firman Allah :

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya” (Yusuf : 3)”

Jadi, bila al-quran pun telah mengakuinya bahawa ia adalah kisah yang terbaik, siapalah kita untuk menafikannya?

Berkenaan dengan video tersebut yang telah tersebar luas melalui Facebook Page Kun Anta sebelum ini, ia merupakan kayu ukur bahawa kisah al-quran adalah sebaik-baik kisah di muka bumi ini dan tidak cukup sekadar itu sahaja, ia juga perlu disebar luaskan lagi kerana mesej dalam video tersebut bukannya mesej yang biasa.

Antara perkara terpenting yang menyebabkan video tersebut tersebar luas adalah :

Pertama

Dipaparkan sebagai video animasi

Tidak dinafikan bahawa Rancangan Upin & Ipin tersebar luas adalah kerana ianya diceritakan dalam bentuk animasi. Antara tujuan utama video Upin & Ipin dihasilkan adalah kerana ingin mendedahkan serta mengekalkan tradisi melayu dahulu kala yang kini sudah kian pupus.

Jadi, lebih penting dari itu, video animasi kisah nabi ini dianimasikan adalah untuk memberi pengajaran al-quran yang kini telah diabaikan orang islam bahkan mereka lebih menyanjung rancangan-rancangan yang merosakkan akal dan iman mereka.

Persoalannya, adakah kita hanya mahu bergantung kepada video animasi kisah nabi untuk kita balik kepada al-quran? Renung-renungkan.

Kedua

Menepati isu semasa

Semua kisah yang terkandung di dalam al-quran tidak kering pengajarannya sehingga ke hari kiamat walaupun kisah-kisah tersebut adalah kisah yang sama. Ini merupakan satu kehebatan al-quran. Kisah yang terkandung di dalam al-quran, bilangannya boleh dikatakan sedikit sahaja tetapi ia mampu memberi pengajaran kepada semua perkara yang berlaku. Sebagai contoh isu LGBT. Isu ini walaupun ianya sebagai isu baru, tetapi bila diteliti semula, ia bukanlah isu yang baru bahkan telah pun berlaku sebelum kedatangan nabi Muhammad lagi. Jadi, itulah kehebatan al-quran yang mampu mengumpulkan pelbagai isu yang telah berlaku hanya dalam satu kisah sahaja. Itu belum lagi dikira kisah-kisah lain seperti Raja Firaun, Raja Numrud dan seumpamanya yang berkaitan dengan kerajaan yang zalim ketika itu.

Ketiga

Ia adalah kisah dari al-quran

Kisah di dalam al-quran memang tidak dinafikan lagi kehebatan jalan penceritaanya yang dipenuhi dengan pengajaran yang bermakna. Ramai yang membelakangi al-quran dan mengambil cerita-cerita yang dihasilkan oleh orang bukan islam sebagai pengajaran dalam hidup, akibatnya diri mereka terbentuk mengikut neraca yang dirancang oleh orang bukan islam. Semuanya memang tidak boleh dikawal kerana mereka menguasai dunia. Jadi, sekurang-kurangnya, dengan wujudnya kisah sebegini, dapatlah kita mendekati al-quran dengan cara yang lebih mudah untuk menjadi pedoman hidup kita.

Banyak lagi sebab kenapa kisah sebegini cepat tersebar dan mungkin kita boleh menjangkakannya sendiri. Wallahua’lam.

Saksikan video tersebut untuk menghayati pengajaran dari al-quran :

Leave a Reply