Bagaimana Cara Menegur Pasangan Anda

Tadi ada yang tanya kepada saya bagaimana nak menegur suami.

Jawapannya hampir sama; samada isteri menegur suami atau suami menegur isteri walaupun jika ingin diperhalusi ada banyak juga perbezaannya.

Apa-apa pun perkara pertama adalah untuk memahami konsep teguran; Teguran bukan melepaskan kemarahan yang terpendam dengan suara yang keras dan tegas. Bukan juga meluahkan rasa tidak puashati yang diiringi air muka yang sinis dan kurang menyenangkan.

Menegur Dalam Rumahtangga

Dalam rumahtangga TEGURAN adalah cetusan sifat/perasaan RAHMAH atau kasihan belas terhadap pasangannya iaitu perasaan takut jika ada kemudharatan atau kesusahan yang menimpa pasangannya di dunia dan terutamanya di akhirat. RAHMAH ini umpama putik yang keluar selepas mekar berkembangannya MAWADDAH (Cinta Kasih) sehingga RAHMAH ini tidak akan mudah menjadi rosak hanya kerana perkara-perkara yang kecil atau remeh.

Perasaan rahmah ini menyebabkan kita sabar menanti saat yang paling sesuai, menyusun ayat yang paling baik untuk memberi teguran kepada pasangan kita demi kebaikan dia dan rumahtangga kita. Perasaan rahmat ini juga menjadi benteng sehingga jiwa tidak dikuasai kemarahan, kebencian apalagi dendam kesumat. Tentunya saat yang paling sesuai untuk memberi TEGURAN adalah saat yang paling mesra atau romantis, bukan saat yang paling tegang dan kelam kabut

Ibnu Qayyim berpesan… jika kamu ingin menyuruh yang ma’ruf pastikan ia menjadi ma’ruf; bukan sebaliknya. Apa guna teguran kasar yang berbalas dengan kekasaran juga atau kemarahan yang ditingkahi kemarahan? Apa kebaikannya teguran kita kalau sekadar melukakan hati atau menghina?  Adakah disebalik semua itu akan datang kebaikan?

Dengan sifat rahmah ini kadangkala DIAM pun menjadi teguran. Kalau pun kita berkata-kata maka natijah atau hasilnya adalah kebaikan bukan sebaliknya. Dan disebalik semua itu, yang akan mengubah hati manusia, yang memberi hidayah adalah Allah SWT. Jadi teguran yang baik akan sentiasa diiringi doa kepada Pemilik atau Penggenggam hati

Kredit penulisan: Cg. Azmi Bahari

Leave a Reply