Kelebihan Berpuasa pada 10 Muharram

Bulan Muharram merupakan salah satu dari bulan-bulan ‘Haram’ di dalam Islam.
Firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati” (At-Taubah:9)

Berkata ahli tafsir empat bulan tersebut ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Ia dinamakan dengan bulan Haram kerana umat Islam dilarang untuk berperang pada bulan-bulan ini kecuali jika mereka diperangi.

Antara kemuliaan yang terdapat dalam bulan-bulan ini adalah berpuasa sebagaimana hadith nabi s.a.w:

أفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ: شَهْرُ الله المُحَرَّمُ، وَأفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعدَ الفَرِيضَةِ: صَلاَةُ اللَّيْلِ»

Daripada Abu Hurairah r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Puasa yang paling baik selepas bulan ramadhan adalah berpuasa di dalam bulan-bulan haram, dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu adalah solat malam. (HR Muslim)

Di samping itu, disunatkan juga kepada umat Islam untuk berpuasa pada 10 Muharram atau disebut sebagai hari ‘asyura yang bermaksud sepuluh. Bahkan puasa sunat pada hari ‘Asyura ini telahpun mendahului puasa bulan Ramadhan dari segi pensyariatannnya dan juga perlaksanaannya.

“Rasulullah s.a.w telah memerintahkan untuk berpuasa pada hari A’syura sebelum diwajibkan puasa Ramadhan. Tatkala diwajibkan berpuasa Ramadhan maka diberi kelonggaran untuk sesiapa sahaja untuk berbuka atau berpuasa pada hari tersebut (A’syura)” (HR Muslim)

 GANJARAN BERPUASA PADA HARI ‘ASYURA

Ganjaran berpuasa ’asyura disebutkan dalam sabda Rasulullah s.a.w daripada Abi Qatadah r.a:

سُئِلَ عَنْ صِيامِ يَوْمِ عَاشُوراءَ، فَقَالَ: «يُكَفِّرُ السَّنَةَ المَاضِيَةَ». رواه مسلم.

“Rasulullah ditanyakan tentang puasa hari kesepuluh (Muharram), lalu baginda menjawab: Diampunkan dosa tahun sebelumnya.” (HR Muslim)”

SUNAT BERPUASA JUGA PADA HARI 9 MUHARRAM (TASUA’)

Ibnu Abbas berkata : Apabila Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa padanya, mereka berkata : Wahai Rasulullah, ini ialah hari yang dimuliakan oleh Yahudi dan Nasrani. Maka Rasulullah s.a.w. berkata,

لَئِنْ بَقِيتُ إِلَى قَابلٍ لأَصُومَنَّ التَّاسِعَ

“Pada tahun hadapan – jika aku masih hidup- kita berpuasa pada hari kesembilan.” (HR Muslim)

Namun baginda telahpun wafat terdahulu sebelum sempat untuk sampai pada tahun seterusnya. Pun demikian kita masih digalakkan untuk berpuasa satu hari sebelum hari ‘Ayura iaitu pada hari ke 9 Muharram (tasu’a) sebagai tanda membezakan dengan kaum Yahudi yang turut berpuasa pada hari tersebut.

PELUANG KEAMPUNAN

Umur kita zaman ini tidak sepanjang umur umat terdahulu yang hidup beratus tahun. Justeru, masa beribadah dan bertaubat dari dosa buat kita juga singkat. Oleh sebab itu, seharusnya kita sebagai pendosa perlu memanfaatkan peluang keampunan ini sebaiknya. Moga dengan keampunan Allah membuatkan kita lebih dekat kepada-Nya.

Leave a Reply