Sang Singa dan Kehormatan ke atas Wanita

 

Menyelami seerah Saidina Umar alKhattab, sahabat yang digeruni musuh malah dielak pertembungannya oleh syaitan, membuatkan banyak kisah meruntun jiwa.

Saidina Umar r.a. yang dilihat tegas dan kuat itu sebenarnya seorang lelaki yang amat toleransi dengan wanita dan akhlaknya mempamerkan bahawa beliau adalah feminist sebenar.

Mengiktiraf Intelektual Wanita dalam Pentadbiran Negara

Beliau sentiasa memuji kecerdikan asSyifa’ binti Abdullah dan melantiknya sebagai pegawai yang mengurus tadbir pasar Madinah agar urusan jual beli berlaku secara adil dan baik.

Umar r.a. menyeru kepada ahli Madinah di pasar, “ jika kalian tidak mengetahui jenis perniagaan apa yang halal atau yang haram, bertanyakanlah pada asSyifa’! Apa yang dihukum oleh asSyifa’ itulah yang aku hukumkan”.

Seorang khalifah yang memimpin dunia, yang digelar asaduUllah dan yang menjuarai sukan tinju di zaman jahiliyyahnya mengiktiraf kehebatan ilmu seorang wanita sehingga melantik wanita menjadi ketua hal ehwal jual beli Madinah.

Kita?

Sewenang-wenangnya melabel perempuan itu bodoh, kurang cerdik, emosi, bercelaru, hormon tak stabil dan sebagainya dalam menghurai ayat syahadah 2 orang wanita menyamai 1 orang lelaki dalam surah alBaqarah ayat 282, sedangkan ayat ini merupakan ayat yang membincangkan soal kepakaran ahlinya. Ketika ayat ini diturunkan, kaum wanita tidak terdedah secara mendalam dalam urusan jual beli seperti mana pendedahan meluas dalam kalangan kaum sohabah. Justeru dikehendaki agar seorang lagi wanita ditugaskan agar memperingati sekiranya wanita pertama terlupa atau tersilap. Perkataan “tadhilla‟ itu sendiri mempunyai banyak interpretasi antaranya lupa, menyimpang, tersalah ( khilaf) (Dr. Zulfakar Ramlee, 2005).

Fuqaha’ dan hukama’ seperti Ibnu Hizm, Dr Muhammad azZuhaili, dan Dr Muhammad Ata cenderung melihat bahawa kesaksian seorang wanita itu menyamai seorang lelaki dalam sebarang urusan kehakiman seperti muamalat, munakahat mahupun dalam hal hudud kerana terdapat banyak dalil-dalil lain yang menyokong kebenaran wanita menjadi saksi tunggal seperti dalam kes rogol seorang wanita Madinah serta kes kecederaan oleh Yahudi ke atas wanita Madinah di zaman Rasulullah s.a.w. Selain itu dalil-dalil umum syuhada’ dalam ayat-ayat alQuran yang lainnya seperti alMaidah ayat 106, atTalaq ayat 2 dan anNur ayat 4 serta konteks hadis yang luas menyebabkan status kesaksian wanita diterima sebagai kesaksian yang kuat.

(panjang lagi kalau nak ulas tentang syahadah ni sebenarnya. Mungkin dalam pos yang lain).

Mengiktiraf Suara Wanita sebagai Seorang isteri

Saidina Umar r.a. menerima hujah Atikah yang membangkang dengan penuh berlapang dada sedangkan beliau merupakan seorang khalifah. Umar r.a. secara peribadi lebih menyukai isterinya untuk solat di rumah sahaja kerana mungkin risau akan keselamatan atau memiliki sedikit rasa cemburu kerana melihat isterinya keluar. Beliau juga cuba memujuk dengan mencadangkan selain waktu subuh dan isyak sahaja Atikah boleh keluar ke masjid.

Hanya satu ayat yang digunakan Atikah, “apakah kamu mahu menghalang apa yang telah dibenarkan oleh Rasulullah s.a.w.? Apakah Umar sang khalifah mahu melakukan apa yang ditegah oleh baginda s.a.w. iaitu “janganlah kamu menghalang isteri-isteri kamu ke masjid?”, wahai Umar?”.

Terus Umar menjawab, “makmum pergilah dahulu menunggu imam”.

Mengiktiraf Bangkangan Wanita Meski sedang Berucap di Khalayak Ramai

Ketika Saidina Umar cuba membawa isu mahar yang mahal dan cuba membawa usul bahawa mahar tidak boleh melebih 400 dirham, bangun seorang sohabiah dan membantah, “Apakah kamu wahai Umar mahu menyanggahi ayat Allah, “Dan kalau kalian ingin menggantikan isteri dengan isteri yang lain sedangkan kalian telah memberikan harta yang banyak kepada mereka” (anNisa’ ayat 20)?”

Umar r.a. diam dan berkata mafhumnya, “aku menarik balik ayat aku sebentar tadi. sesungguhnya jika suaminya mampu, maka berikanlah mahar yang baik. Dan barangsiapa yang memudahkan urusan, maka Allah akan memudahkan urusannya”.

Penutup: Lelaki Sebenar adalah Lelaki yang Mengamalkan Ajaran Islam yang benar iaitu Mengiktiraf dan Memuliakan Suara, Aqal dan Kemanusiaan Seorang Wanita.

Mengenali sosok peribadi Saidina Umar r.a. di zaman jahiliyahnya membuatkan seerah keperibadian beliau selepas keIslaman begitu meragut rasa cinta dan kerinduan. Akhlak seorang manusia yang lahir dari generasi alQuran baginda s.a.w.

Beliau yang dikenali sebagai alFarouq, seorang muslim yang diiktiraf paling tegas dalam memisahkan yang haq dan yang bathil, adalah manusia yang juga terkenal dengan sifat santun dan tinggi ihtiramnya terhadap wanita. Malah bukan calang-calang kehormatan yang beliau letakkan, sehingga kepada penglibatan wanita dalam pentadbiran urusan nagarawan. Di dalam rumah, beliau menyantuni isteri dengan memberi ruang kepada isteri untuk meluahkan apa yang tidak dipersetujui selagi mana berlandaskan syarak.

Umar ra yang tegas dan lantang tidak sesekali menggunakan kelantangannya untuk mendiamkan wanita dengan ayat-ayat ancaman,

“eh kau isteri, duduk diam-diam jangan bangkangi suami dengan suaramu!”

“siapa kalian yang nak menentang perintah Allah? Itulah orang perempuan, mata duitan. Bab-bab duit ni cukup pantang kalau orang nak bagi sikit!”

“orang perempuan ni emosi, sebab tu tak boleh jadi hakim. Aqal mereka cetek dan sukar berfikir secara waras”

Tidak. Umar ra sama sekali tidak berkata sedemikian seperti mana yang banyak dikatakan oleh lelaki-lelaki muslim hari ini.

Sungguh. Itu adalah sifat seorang lelaki mukmin muttaqi yang memahami dan melaksanakan apa yang difahami dari ajaran Islam dan yang diteladani dari Rasulullah saw.

Leave a Reply