“Emergency!” Di sebalik Tragedi Kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyah

Tragedi remaja juvana membakar Pusat Tahfiz Ittifaqiah, Keramat yang berlaku pada 14 September 2017 yang lepas benar-benar menggegarkan pelusuk Malaysia. Di mana-mana sahaja, tersebar dan viral peristiwa tragis kebakaran pusat tahfiz. 21 pelajar terkorban dan 2 orang guru merangkap warden juga terkorban.
Bahkan, saya sering bermimpi berkaitan kebakaran pusat tahfiz itu selepas peristiwa terjadi. Gas, api, komplot kebakaran, pelajar tahfiz. Saya pun tidak pasti mengapa saya bermimpi begitu meskipun saya tidaklah memikirkannya sepanjang hari. Mungkin juga, jauh di sudut nubari saya itu terlalu sedih dengan peristiwa itu sebenarnya. Kesal.

Pelajar termuda yang terkorban dalam kebakaran pada pagi-pagi Subuh hari itu ialah 6 tahun! Ya Allah… Saya juga ada anak berusia enam tahun. Hati ibu mana yang sanggup mendengar anaknya yang masih hijau itu terbakar dek penganiayaan sekumpulan anak-anak muda yang majoritinya di bawah umur. Allahuakbar, betapanya hiba dan luluh hati ini mengetahui usia pelajar-pelajar yang terkorban masih kecil.

Hati seakan mahu menafikan kejadian kebakaran itu. Namun, kehendak Allah siapa yang mampu sekat? Allah memilih anak-anak tahfiz itu untuk mati syahid. Mereka sudah pulang menemui Allah sebelum mengenal pahit maung kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini.

Pelbagai sisi mula terlintas dalam benak ini.

Sisi amar makruf, nahi mungkar. Serius bunyinya. Jika benar terjadinya kebakaran ekoran ejek mengejek antara pelajar tahfiz dengan remaja belasan tahun yang menghisap ice (syabu) seperti yang didakwa, bagi saya anak-anak pelajar tahfiz sebenarnya dalam sedar atau tidak telah membuat nahi mungkar atau dalam bahasa melayu mencegah kemungkaran.

Pelajar tahfiz mengejek remaja yang menghisap syabu atau sewaktu dengannya. Nampak seperti mengejek meskipun benar dalam nada mengejek tetapi pelajar tahfiz sedang cuba menegur remaja bermasalah tersebut. Berani sungguh mereka tanpa memikirkan penagih-penagih tersebut boleh membalas dendam terhadap mereka. Jika saya, belum tentu berani untuk menegur apatah lagi mendekati penagih-penagih dadah seperti itu.

Sekurang-kurangnya anak-anak tahfiz yang tidak berdosa itu menegur perbuatan menghisap syabu atau sewaktu dengannya itu dengan lisan mereka biarpun dengan cara ejekan. Bagaimanapun, saya tidaklah menafikan cara atau bentuk (uslub) dakwah yang terbaik ialah dengan hikmah dan nasihat (mauizah) hasanah. Tapi sebelum itu, seorang guru saya pernah mengajarkan bahawa, hikmah itu bukannya dengan cara lembut dan baik sahaja. Hikmah itu apa sahaja cara agar sampai kebenaran itu sampai.

Ada sesetengah orang open minded. Boleh terima bahkan lebih faham jika teguran itu jelas dan tidak berlapik-lapik. Ada sesetengah orang pula sensitif dan tidak boleh terima cara kasar. Hikmah itu, menyampaikan teguran sehingga orang yang ditegur faham kesalahan yang dilakukan. Hurmm… Saya nampak kebenaran dalam pendapat guru yang saya hormati dan segani itu.

Dari sisi remaja bermasalah yang mengakibatkan kebakaran juga perlu diperhatikan. Tujuh orang anak muda dari usia 12 tahun hingga 18 tahun semuanya tidak bersekolah dan datang dari ‘broken family’. Satu demi satu viral dari whatsapp saya terima dan saya baca berkenaan analisa netizen sekitar remaja bermasalah. Pemerhatian seorang penceramah motivasi, penelitian seorang doktor terhadap pesakitnya yang juga musnah dengan najis dadah.

Semuanya mengingatkan rakyat marhaen supaya tidak mudah menghukum kerana jika mereka bertaubat, boleh jadi mereka akan jadi lebih mulia dari kita. Semuanya mengingatkan agar masyarakat cakna akhlak anak-anak sendiri. Nilai dan muhasabah semula dengan siapa anak kita berkawan, periksa dengan siapa anak kita ber whechat, beetalk, bigo live, whatsapp. Tidak ada larangan dalam Islam bagi ibubapa memeriksa anak-anak yang masih di bawah tanggungan mereka lakukan.

Semua manusia mahukan kebaikan meskipun orang jahat sekalipun kerana fitrah manusia pada asalnya bersih dan suci. Ibubapalah acuan anak-anak. Cantik acuan, cantiklah hasilnya. Buruk acuan, buruklah hasilnya. Acuan manakah yang terbaik antara yang terbaik? Jawapannya, acuan Allahlah yang terbaik. Lihat dan amati ayat suci ini,

{صبغة الله. ومن أحسن من الله صبغة. ونحن له عٰبدون}

Maksudnya: “Sibghah Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan hanya kepadaNyalah kami menyembah”

(Surah Al-Baqarah 2:138)

*sibghah : acuan

Penutupnya, kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyyah di Keramat, Kuala Lumpur tempohari benar-benar sebagai siren emergency kepada kita agar lebih teliti dalam pendidikan anak-anak kita mengikut acuan atau sibghah Allah. Cukuplah darah anak-anak muda tahfiz yang menjadi taruhan untuk menjentik kesedaran dan membuka mata kita seluas-luasnya yang kadangkala terlalai dengan dunia whatsapp, facebook, instagram dan lain-lain.

Al-Fatihah untuk anak-anak pelajar tahfiz yang syahid tempohari..<<
p>< /p>

Leave a Reply