Jalan pintas dalam pendidikan anak-anak yang perlu dijauhi

Nota  Tarbiyatul Awlad: Jalan Pintas Yang Melambatkan

Kita tentu sedia maklum, jalan pintas dalam mendidik anak adalah dengan marah, rotan, sindiran atau membandingkan anak kita dengan anak orang lain yang kita rasa lebih baik dari anak kita. Ya, inilah senjata yang paling hampir dan kerap digunakan oleh ibubapa apabila mereka mula hilang kesabaran dengan kenakalan atau kedegilan anak-anak.

Maaf kalau saya katakan; itulah teknik murahan jika kita kekurangan ilmu atau pengalaman. Saya sendiri sebagai ‘ayah yang masih baru’ pernah menggunakan kaedah ini. Setelah lebih 15 tahun saya sudah melihat ‘hasilnya’.

Pendidikan anak seperti menanam pokok

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini…mendidik anak seperti menanam pokok. Ada masa bercucuk tanam ada masa menuai. Masa ‘menuai’ anak-anak ialah apabila mereka mula memasuki umur awal remaja.

Kita adalah hamba Allah yang memiliki berbagai kelemahan dan kelalaian. Semua kesalahan-kesalahan kita tidak menjadikan kita hina selagi kita sentiasa sedar dan cuba memperbaikinya. Memperbaiki diri adalah ibadah dan tarbiyyah untuk kita menjadi hamba robbani dan menjadi ibubapa mithali.

Menjadi ibubapa yang kurang ilmu dan pengalaman bukanlah satu keaiban. Tetapi yang mengaibkan ialah kita tidak ingin meningkatkan diri kita dari semasa ke semasa. Sekiranya selama ini kita terpaksa menggunakan teknik-teknik murahan tadi maka cubalah pertingkatkan diri dari semasa ke semasa.

Tanyalah pada diri kita, apa yang kita inginkan daripada anak-anak kita? Bukankah kita ingin mereka menghormati dan kasih kepada kita jadi kenapa kita memperkecilkan dan meremehkan mereka. Tentu kita tidak mahu anak-anak kita membandingkan kita dengan ibubpa lain yang lebih baik dari kita, jadi kenapa kita melakukan perkara yang sama.

Kalau kita buat salah tentu kita harap kita dimaafkan bahkan diberi dorongan untuk menjadi lebih baik tetapi apabila anak-anak kita melakukan kesalahan, kenapa kita memilih untuk marah dan menengking serta memperkecilkan mereka.

Anda adalah cerminan kepada anak-anak

Jangan lupa, kita sebagai ibubapa adalah cermin pada anak-anak untuk mereka kenal dan memperbaiki diri mereka. Cuba lihat ketika anak kita bergaduh dan mencebik atau menjegilkan mata pada adiknya, wajah siapa yang ditirunya? Bukankah hampir 90% air muka kita?

Oleh itu sentiasalah kita meningkatkan ilmu kita sebagai ayah atau ibu. Belilah buku-buku, hadirlah ke seminar-seminar, downloadlah bahan-bahan berkaitan dan sebagainya.

Kredit penulisan: Cg. Azmi Bahari

Leave a Reply