Hijrah: 7 Perkara Penting Berkaitan yang Mesti Anda Ketahui

img_2069

 

  1. Hijrah tidak berlaku di bulan Muharram
    Hijrah nabi s.a.w tidak berlaku di dalam bulan Muharram. Malah nabi s.a.w keluar daripada rumah baginda di Mekah bersama Abu Bakr pada 27 Safar tahun ke-14 kenabian ke Gua Thur. Setelah tiga hari di dalam gua, baginda dan Abu Bakr bertolak ke Madinah pada 1 Rabiulawal dan sampai di Quba’ pada 8 Rabiulawal. Baginda menetap di Quba’ selama empat hari dan kemudian tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal.

    Justeru, bagaimana perkiraan hijrah bermula pada Muharram?

    Masyarakat arab sebelum pemerintahan Umar al-Khattab r.a tidak mempunyai bilangan tahun seperti tahun masihi. Mereka hanya meningati tahun-tahun tertentu disebabkan berlaku peristiwa yang besar ketika itu. Misalnya tahun kelahiran nabi adalah tahun gajah kerana peristiwa Abrahah bersama tentera bergajah ingin mencerobohi Makkah. Begitu juga tahun wafat Saidatina Khadijah disebut tahun kesedihan.

    Umar al-Khattab menetapkan permulaan kalendar Hijrah bersempena tahun Hijrah nabi s.a.w tetapi di mulakan dengan bulan Muharram kerana bulan ini adalah selepas bulan haji yakni Zulhijjah. Justeru, orang-orang islam seolah mendapat semangat baru setelah menunaikan haji. Maka bermulalah tahun baru umat islam dengan semangat yang baru.

  2. Hijrah kita tidak sama dengan hijrah nabi s.a.w
    Mungkin dalam kalangan pembaca pernah melakukan hijrah. Berhijrah dari desa ke kota demi mencari rezeki atau seumpanya. Tetapi hijrah nabi s.a.w bukan sedemikian bahkan nabi s.a.w yang dikeluarkan daripada Makkah oleh kaum dan keluarga baginda sendiri sedangkan maklum semangat perkauman dan qabilah dalam masyarakat Arab begitu kuat. Dihalau, diejek dan dirancang untuk dibunuh hanya kerana menyatakan kebenaran. Berhijrah ke kota yang belum pasti keadaanya melainkan hanya terikat berdasarkan janji. Perjalanan yang sukar yang tidak menjamin keselamatan. Kepayahan yang ditempuhi sepanjang perjalanan
    semuanya semata-mata atas nama dakwah tiada langsung kepentingan dunia.
  3. Kenapa Hijrah tidak disediakan kenderaan seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj?
    Jika kita teliti peristiwa Isra’ Mikraj yang berlaku sebelum Hijrah, nabi s.a.w diberi kenderaan yakni buraq (sejenis burung) untuk memudahkan perjalanan nabi. Pun begitu, di dalam hijrah tidak sedemikian. Jika difikirkan, bukankah mudah jika Allah beri buraq dalam peristiwa hijrah supaya tidak perlu baginda susah merancang perjalanan untuk menuju Madinah.

    Di sini, wujud hikmah Allah dalam peristiwa ini. Allah berkehendak hijrah berlaku atas tabiat basyariyah (kemanusiaan) nabi dengan memerlukan perancangan rapi dan kesediaan melakukan pengorbanan meninggalkan apa yang dicintai supaya umat baginda s.a.w dapat meneladani nabi tanpa sebarang alasan.

  4. Hijrah bukan fizikal semata-mata tetapi perasaan dan niat yang ikhlas
    Dalam hadith nabi s.a.w yang masyhur baginda bersabda: “ Sesungguhnya setiap amalan bermula dengan niat, dan setiap orang itu berdasarkan apa yang dia niatkan, jika seseorang berniat hijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya adalah kerana Allah dan rasul dan barangsiapa yang berhijrah untuk mengejar dunia atau wanita yang dia ingin nikahi maka hijrahnya itu atas apa yang dia niatkan. [Bukhari]

    Dalam setiap pekerjaan niat merupakan perkara yang terpenting bahkan niat boleh menyebabkan sesuatu amalan itu diterima atau ditolak. Demikian, pekerjaan atau amalan yang besar walaupun terpaksa berkorban banyak perkara tetapi jika tidak ikhlas kepada Allah maka ia tidak mendatangkan apa-apa. Awasilah niat kita!

  5. Ikhlas sahaja tidak memadai perlu dilengkapkan dengan strategi
    Hijrah juga mengajar manusia bahawa sesuatu amal yang baik itu tidak cukup hanya sekadar ikhlas dan menepati syara’. Tetapi ia menuntut perancangan yang rapi dan strategi yang tersusun. Lihat Nabi s.a.w apabila ingin keluar berhijrah, baginda tidak terus menuju ke Madinah bahkan pergi Gua Thur yang mana arah ke situ berlawanan dengan arah menuju ke Madinah. Hal ini bagi mengelak kaum Quraisy daripada menjejaki baginda. Begitu juga nabi s.a.w berada di Gua Thur selama tiga hari untuk memutuskan harapan kaum Quraisy daripada terus menjejaki nabi s.a.w.

    Kemudian, daripada strategi (usaha) barulah lahir tawakkal. Ketika berada di dalam Gua Thur, Abu Bakr r.a berasa gelisah kerana risau akan dijejaki dan takut jika sesuatu berlaku ke atas Nabi s.a.w lalu baginda menenangkannya dengan menyebutkan bahawa Allah bersama kita. Namun, lihat dalam peperangan Badr yang mana pada asalnya kaum muslimin hanya berkehendak menyekat kafilah dagangan Abu Suyfan tetapi diperintahkan oleh Allah untuk mereka berperang. Malam sebelum berperang, baginda memohon doa kepada Allah dan menadah tangan begitu tinggi dengan doa yang bersungguh hinggakan selendang baginda jatuh dari bahu.  Abu Bakr datang menenangkan nabi dengan menyatakan Allah s.w.t tidak akan sesekali meninggalkan baginda.

    Mengapa berlaku perbezaan situasi sedemikian?

    Kerana dalam anggapan nabi s.a.w, baginda tidak bersedia dengan perancangan yang rapi untuk peperangan Badr ini berbanding peristiwa hijrah yang dirancang rapi seterusnya hanya bertawakkal kepada Allah atas rencana tersebut.

  6. Kemenangan dakwah diukur pada ketinggian pengorbanan dan mesti hasil daripada tangan manusia sendiri
    Kita mengetahui bahawa Allah tidak memerlukan kita untuk meneguhkan agamanya. Sebaliknya kita yang memerlukan Allah untuk kita teguh dalam beragama. Oleh yang demikian, manusia hanya berperanan mengukir jasa pada jalan dakwah melalui pengorbanan demi menunjukkan kesetiaan kepada agama serta tergolong dalam kalangan mereka yang beriman. Tabiat kemenangan dakwah tiada yang berlaku melalui keajaiban sebaliknya atas dasar sabar dalam perjuangan.

    Itulah yang contoh yang diberikan nabi s.a.w dalam peristiwa hijrah. Jika dilihat pada peperangan Badr, meskipun dibantu oleh ribuan malaikat tetapi tentera musuh yang terkorban hanyalah sekitar 70 orang. Logiknya jika seramai ini bantuan maka tiadalah kaum musyrikin yang tersisa. Namun itulah hakikatnya bahawa kemenangan bukanlah dari keajaiban tetapi pengorbanan, usaha dan tawakkal yang berterusan oleh kaum muslimin. Kedatangan bantuan malaikat hanya ingin mencampakkan rasa takut dalam hati kaum quraisy bukan membantu membunuh mereka,

  7. Keutamaan berbalik kepada taqwa dalam setiap perkara
    Setiba nabi s.a.w di Quba’ baginda mendirikan masjid di sana. Hal ini dirakamkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran berkenaan Masjid Quba’: “ Sesungguhnya masjid (Quba’) yang diasaskan atas dasar taqwa dari hari mula ia diwujudkan lebih layak untuk didirikan (solat) di dalamnya” (At-Taubah:108)

    Allah memuji Masjid Quba’ yang dibina diatas dasar taqwa. Demikianlah setiap amalan dan pekerjaan manusia perlu dibina di atas dasar taqwa agar ia diterima oleh Allah s.w.t.

Leave a Reply