Kita Bukan Hajar (siri II)

Kredit gambar: Annamir Photography

Taatilah Suamimu Selagi Tidak Melanggar Syarak!

Suami adalah manusia yang kedudukannya tertinggi dalam hidup seorang isteri. Rasulullah SAW bersabda: “jika aku boleh memerintah manusia untuk sujud kepada manusia, maka akan aku perintahkan untuk isteri sujud kepada suami mereka” (Riwayat dari Abu Daud, no. 2140 dan Ibnu Majah, no. 1853). Perbuatan sujud menggambarkan bahawa suami mendapat hak yang besar untuk ditaati oleh isteri selepas perkahwinan sesuai dengan tanggungjawab besar yang terpikul ke atas suami. Namun begitu, ayat “jika aku boleh..” bermakna perbuatan sujud tersebut tetap adalah tidak boleh dan haram dilakukan.

Meskipun begitu, Rasulullah SAW mengingatkan dengan sabda: “tidak ada ketaatan bagi perkara maksiat, ketaatan hanyalah pada perkara yang ma’ruf” (Riwayat dari alBukhari, no. 7257). Kemaksiatan bukan sahaja disempitkan kepada hal seperti perzinaan tetapi membawa maksud yang lebih besar, iaitu kemaksiatan kepada Allah dengan melakukan perkara yang berlawanan dengan perintah Allah.

Kuasa ketaatan kepada suami bukan kuasa ketaatan MUTLAK seperti mana ketaatan kepada Allah dan Rasul. Jika berlaku sesuatu yang melanggar syarak atau jika berlaku suatu kezaliman, maka wajib di situ berlakunya pencegahan dengan jalan-jalan atau kaedah-kaedah yang sesuai mengikut syarak.  Rasulullah SAW bersabda: “Tolonglah saudaramu yang berbuat zalim dan yang dizalimi.” Kemudian ada seseorang bertanya tentang bagaimana cara menolong orang yang berbuat zalim? Baginda SAW menjawab, “Kamu cegah dia dari berbuat zalim, maka sesungguhnya engkau telah menolongnya” (Riwayat dari alBukhari, no 6952).

Hajar ketika diturunkan dari kenderaan mereka bersama bayi kecil, Ismail AS, tetap mempersoalkan tindakan Ibrahim AS sekadar sebagai mengingatkan tindakan suaminya yang pada mata kasar manusia adalah tindakan yang salah. Namun kerana suaminya adalah seorang Rasul dan tindakan itu adalah tindakan dari arahan terus sang Maha Pengatur kehidupan, Hajar kembali tenteram dan berasa selamat.

Seorang isteri, saat melihat ada kelakuan suaminya yang menyimpang atau menyanggahi syariat tidak kisah sama ada dari segi ibadah suaminya atau dari segi muamalah suaminya dengan isteri, perlu bijak mencari ruang dan peluang untuk bermusyawarah agar penjelasan dapat diperolehi dan kesilapan dapat diperbaiki. Islam tidak mengajar isteri untuk hanya memendam rasa, menangis seorang diri, menggigit jari dan memakan hati sehingga mengalami tekanan emosi dek kelakuan suami yang menyakitkan. Allah berfirman: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap  tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)”  (anNisa’: 128).

Pengetahuan tentang Hak itu adalah Langkah Awal Pencegahan Kezaliman

Segelintir pihak cukup sensitif terutama para lelaki atau suami apabila disebut tentang hak dalam soal rumahtangga. Mungkin yang diimaginasikannya adalah isteri-isteri akan berdemonstrasi di jalanan sambil menuntut hak dan para isteri nanti akan berani menetang mereka. Sedangkan poligami boleh pula dibuat mainan mulut mereka, ironi sungguh sifat suami atau lelaki seperti ini.

Sedangkan pengetahuan tentang hak bukan bermaksud galakan dalam menuntut hak. Ilmu tentang hak tidak sama dengan desakan agar hak dipenuhi. Mengetahui tentang batasan tanggungjawab masing-masing adalah sebuah keperluan untuk saling mengingatkan kepada kebaikan. Allah SWT berfirman: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah sangat berat siksa-Nya” (alMaidah ayat 2)

Hak mahar, hak nafkah makan minum, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, dan keperluan diri, hak keselamatan fizikal, emosi dan spiritual, hak membuat keputusan selagi tidak berlawanan dengan syarak, hak untuk belajar, hak mendapat layanan yang baik, kemesraan dan kasih sayang dari suami, dan sebagainya merupakan antara contoh hak seorang isteri yang perlu ditunaikan sebaik sahaja selesai aqad nikah yang sohih.

Apabila terlibat dalam pengendalian kes-kes keganasan rumahtangga, serta kes-kes perceraian akibat keganasan rumahtangga di Mahkamah Syariah, didapati kebanyakan isteri tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai hak-hak istimewa seperti di atas yang telah lama Islam sediakan untuk mereka. Banyak berlaku pihak isteri atau mangsa yang memendam rasa sehingga mengalami tekanan jiwa dan akhirnya membentak untuk keluar dari rumahtangga yang menyeksa mereka kerana tidak tahu dari awal bahawa jika mereka mengetahui hak seorang isteri, dan berlaku musyawarah iaitu saling mengingatkan, saling melengkapi tanggungjawab, serta saling membetulkan pasangan apabila dilihat melangkaui batasan dari awal perkahwinan adalah lebih baik dan lebih harmoni kehidupan berumahtangga itu. Penyakit yang telah bernanah dan terobek dalam sudah terlalu sukar untuk dirawat.

Rumahtangga Islami Itu adalah Rumahtangga yang Saling Mempunyai Suara

Islam adalah agama yang mengangkat keadilan kepada suami dan juga keadilan kepada isteri. Rumahtangga yang Islami bukan diisi oleh ahli yang berjubah dan bertudung labuh semata, tetapi rumahtangga yang Islami adalah rumahtangga yang harmoni dan mengiktiraf setiap jiwa di dalamnya. Rumahtangga Islami adalah rumahtangga yang di dalamnya mempunyai suami dan isteri yang masing-masing berperanan dengan tanggungjawab dan berperanan dalam perbincangan hala tuju kehidupan berumahtangga.

Bukan sikap diamnya Hajar yang tidak menuntut haknya dari suami (perlu diingat, suaminya adalah Rasul), atau sikap Asiah yang tidak keluar dari pernikahan yang zalim, yang perlu dijulang menjadi cerita-cerita ikon untuk wanita-wanita dan anak-anak perempuan kita. Kerana cerita-cerita itu ada sisi negatifnya jika tidak ditelusuri dengan benar dan amanah. Kerana dari pendidikan ke atas wanita untuk menjadi ‘diam’ dan ‘bisu’ itu akan menjadi barah yang merbahaya kepada masyarakat seperti mana kisah lahirnya Irshad Manji, feminist rosak yang lolos keluar dari sebuah kepompong masyarakat yang menzalimi wanita atas penipuan nama Islam.

Sedangkan didiklah wanita seperti mana yang dididik oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang memuji-muji wanita yang berani bangun bersuara, yang berani meningkah pandangan yang dilihat tidak adil meski dari seorang khalifah, yang berani berhujah dengan suami pada perkara syarak, yang berani bertanya tanpa malu dan segan serta yang berani datang mengadu kepada Rasulullah apabila berlaku kezaliman dalam rumahtangga oleh suami. Itulah yang termaktub dalam seerah betapa wanita mengalami sebuah kebebasan di zaman risalah dan kebebasan yang bersandarkan kepada syarak ini telah mematikan kehendak wanita kepada kebebasan yang selain dari Islam.

Sungguh. Bukankah Islam itu solusi hidup?

Leave a Reply