Duhai anakku,  mengapa kita baca dan hafaz Al-Quran? 

img_9167-1Suatu hari, usai mengajar anak Al-Quran,  saya terfikir adakah anak-anak saya faham mengapa saya beria-ria mahu anak-anak pandai baca dan hafaz Al-Quran, bahkan mahu mereka faham dan amalkan dalam kehidupan. Hurm… Mengapa ya?  Benak seorang ummi ini mencongak-congak beberapa sebab dan memutuskan untuk melakarkannya di atas manila kad dan tampal di dinding.  Agar anak-anak baca, ulang,  ingat,  hadam,  faham dan amalkan.

Mengapa kita baca dan hafaz Al-Quran? 

Pertama,  kita baca dan hafaz kerana Allah.  Apalah agaknya yang difahami oleh anak-anak 4-7 tahun faham apabila dikatakan baca dan hafaz kerana Allah?  Di sini,  mereka perlukan penjelasan yang logik.  Ibubapa perlu bantu anak-anak.

Contohnya,  ibu bapa boleh menjelaskan,  ‘Siapa yang cipta kita,  sayang ummi?’

Apabila jawapan yang terbit dari bibir mereka ialah Allah,  maka kita terus bagitahu,  Allah cipta kita.

“Allah Rabb kita.  Kita hamba Allah.  Kita nak masuk syurga.  Nak Allah sayang.  Nak tengok wajah Allah di syurga nanti.  Oppss… Sebelum tu,  macam mana nak Allah sayang kita? Ya sayang,  kita kena buat semua yang Allah suruh, tinggal yang Allah larang.  Allah suruh kita solat,  Allah suruh kita baca Al-Quran,  Allah suruh kita kongsi mainan,  Allah suruh kita tolong kemas rumah,  Allah suruh kita jadi baik.”

Jadi,  di sini anak sudah boleh kaitkan bahawa hidup dia ada kaitan dengan Allah.  Ada kaitan dengan suruhan dan larangan Allah.

Kedua,  sebab Al-Quran akan jadi Sebaik-baik penolong kita di alam barzakh kelak. Sepotong hadis berbunyi:

“Al-Quran akan datang memberi syafaat kepada pembacanya (sewaktu hidupnya). ” (mafhum Hadis)

Sebelum tidur,  bolehlah ibu bapa yang hendak menidurkan anak-anak bertanya, apa perasaan anak jika berhadapan dengan harimau di dalam hutan? Tiada siapa di sisi.  Hanya diri dia sahaja.  Sudah tentu dia akan melarikan diri atau panjat pokok atau terjun sungai ke kan?  Bagaimana pula jika di alam barzakh yang amat sinonim dengan alam kubur di kalangan manusia ini?  Tiada siapa dengan kita.  Yang ada malaikat yang bertanya soalan demi soalan dan juga binatang berbisa.  Tiada arah boleh kita lari lagi.  Tiba-tiba dalam situasi kecemasan itu,  datang bodyguard yang gagah perkasa.  Al-Quran datang sebagai syafaat atau nama lainnya,  penolong kepada kita. Tiada yang boleh mengganggu kita lagi apabila kita sudah ada bodyguard yang hebat iaitu Al-Quran.

Ketiga, Allah menurunkan  Al-Quran sebagai mukjizat yang hebat kepada Nabi Muhammad saw. Nabi  SAW menyampaikan Al-Quran, panduan hidup kepada umat manusia akhir zaman.  Rasulullah berpesan,  berpeganglah kepada Al-Quran dan Al-sunnah nescaya kamu tidak sesat selama-lamanya.  Dalam berbicara dengan anak-anak,  mungkin boleh buat persamaan bahawa panduan hidup itu ibarat lampu isyarat di jalan raya.  Jika kita langgar sewaktu lampu merah menyala,  kita mungkin terlibat dalam kemalangan jiwa.  Begitu juga dengan Al-Quran.  Al-Quran ibarat sebuah panduan.  Yang boleh kita buat dan tak boleh kita buat semasa hidup kita di dunia ini. Justeru,  mahu selamat?  Patuhilah dan ikutilah panduan hidup kita iaitu Al-Quran Al-Karim.

Keempat,  ibu bapa dahulu perlu akui dan yakini bahawa tips untuk menjadi genius mesti bermula dengan Al-Quran.  Para ulama hafaz Al-Quran sedari usia kecil lagi.  Beleklah kisah sejarah tokoh-tokoh Islam, pasti kita akan jumpa peribadi-peribadi hebat ini menghafaz Al-Quran pada usia kecil lagi.  Bahkan,  sebelum mereka baligh lagi.  Sudahlah fikiran anak-anak masih segar dan bertenaga,  ditambah pula dengan sucinya hati mereka dari melakukan dosa,  jadi inilah masa yang PALING TEPAT untuk anak-anak kita diisi dengan kualiti-kualiti yang baik dalam diri mereka seperti ayat-ayat Al-Quran dan akhlak-akhlak mulia.

Sebagai penutupnya,  penulis suka mengingatkan diri sendiri dan pembaca-pembaca semua bahawa,  mulakanlah dengan niat yang baik.  Terutama dalam menghafaz Al-Quran.  Jika niat kita baik,  niat itulah yang akan menarik diri kita semula sewaktu banyak ujian hidup menggamit agar terpesong dari landasan yang benar.  Jadi,  pasanglah niat… “Sesungguhnya,  aku mengajar anak-anakku membaca dan menghafaz Al-Quran hanya kerana Allah. “

Leave a Reply