Alangkah bahagianya bagi orang yang bertemu Rasulullah di dalam mimpi!

 

images

 

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Barangsiapa yang telah melihatku di dalam tidurnya (mimpi), maka ia sesungguhnya telah melihatku, kerana syaitan tidak (mampu) menyerupaiku, dan mimpi seorang mukmin adalah satu juzuk dari 46 juzuk dari kenabian (Hadis Riwayat Bukhari, 6/2568)

Daripada hadis ini jelas bahawa sesiapa yang melihat baginda s.a.w dalam mimpi maka dia benar-benar melihat baginda kerana hadis ini merupakan hadis sahih dan boleh dijadikan hujah.

Seorang Ulama Jordan yang bernama Sheikh Hosni Hasan El Syariff pernah bercerita di dalam majlisnya tentang seorang lelaki yang duji oleh Allah dengan hutang yang banyak. Dia sudah tidak mampu membayar hutangnya. Ramai orang tidak menyukainya dan menunjukkan permusuhan kepada dia. Siapakah yang memusuhi dia?? Sudah tentulah para penagih hutang. Mereka memusuhi dia dengan menuntut hutang dari dia.

Maka dia pun pergi kepada salah seorang peniaga untuk berhutang kepadanya sebanyak 500 dinar. Kemudian peniaga itu berkata kepada dia, “Bila kau mahu membayar hutang ini?”. Dia menjawab, ” Pada waktu sekian”.Wang itu dia ambil dan dia gunakan untuk melunaskan hutangnya sehingga tidak tinggal langsung duit untuk dirinya.Keadaan dia bertambah teruk dari hari ke hari. Sehinggalah tiba waktu yang dijanjikan iaitu waktu untuk membayar hutang. Peniaga itu datang kepada dia untuk menagih hutang dan berkata kepada dia,” Sudah tiba waktunya untuk melunaskan hutang”. Dia pun berkata, ” Demi ALLAH!! aku tidak mempunyai duit langsung”.

Lantas, peniaga itu pun mengadukan hal ni kepada hakim dan dia dihadapkan ke hadapan hakim. Hakim bertanya kepada dia, “Kenapa kau tidak membayar hutang?”. Dia menjawab,” Demi ALLAH!!aku tidak mepunyai duit langsung”.Maka hakim mengarahkan agar dia ditangkap sehinggalah dia membayar hutangnya.

Dia berkata kepada hakim,”Wahai Tuan Hakim!berikan aku masa sampai esok agar aku kembali kepada keluargaku dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka kemudian aku kembali kepadamu”.Hakim pun berkata,”Apakah jaminanmu akan kembali sedangkan kau sudah aku hukum penjara?. Lelaki itu terdiam seketika kemudian dia berkata, “Jaminanku adalah Rasulullah s.a.w, baginda adalah jaminanku, Jika aku tidak datang bersaksilah keatas aku wahai hakim bahawa aku bukan dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w.”

Di dalam hati hakim masih ada lagi bekas daripada kebaikan dan mengetahui nilai daripada jaminan ini. Maka hakim pun membiarkan dia kembali ke rumahnya. Lelaki itu terus pulang ke rumahnya dan berkata kepada isterinya, “Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara terhadap aku”. Isterinya hairan dan bertanya,”Bagaimana pula dia boleh membebaskanmu?. Lelaki itu menjawab ” Aku dibebaskan dengan jaminan Rasulullah s.a.w”. Isterinya pun berkata “Allahlah yang mengilhamkanku kalaulah Rasulullah s.a.w adalah jaminanmu. Marilah kita berselawat kepada baginda.” Mereka pun duduk bersama-sama berselawat ke atas baginda s.a.w.

Mereka berselawat kepada Rasulullah sehingga tertidur. Kemudian dia bermimpi bertemu Rasulullah. Rasulullah berkata kepada dia,”Wahai si polan! Apabila tiba waktu pagi, pergilah kepada gabenor dan minta padanya agar lunaskan hutangmu dan sampaikan salamku padanya dan jika dia tidak mempercayaimu, maka katakan pada dia bahawa aku ada dua bukti” lelaki itu bertanya,”Apakah dua bukti itu wahai Rasulullah?”

Rasulullah pun berkata,”Katakan kepada dia, sesungguhnya kau wahai gabenor! kau berselawat ke atas baginda s.a.w sebanyak 1000 kali setiap malam dan malam baru-baru ini kau tersilap mengiranya dan khabarkan pada dia bahawa selawatnya telah cukup.” Dan lelaki itu terjaga dari tidurnya, pada pagi itu dia pergi kepada gabenor. Dia berkata kepada gabenor “Rasulullah s.a.w. menyampaikan salam kepadamu dan berpesan kepadamu agar membayar hutang aku.” Gabenor itu berkata” Apa bukti kebenaranmu?”

Dia menjawab, “Bukti kebenaran aku adalah kau berselawat ke atas Nabi s.a.w setiap malam sebanyak 1000 kali dan malam baru-baru ini kau tersilap mengiranya dan baginda mengatakan bahawa bilangan selawatmu sudah lengkap.” Dengan serta merta gabenor itu menangis dan memberikan dia wang sebanyak 500 dinar dari baitulmal. Kemudian gabenor menambah lagi 2500 dinar daripada wangnya sendiri dan berkata, “Pergilah kau kepada hakim.”

Dia pun berjalan pergi kepada Hakim dan mendapati hakim sangat rindu untuk bertemu dengannya. Hakim berkata,” Kemarilah! dengan berkatmu aku dapat mimpi bertemu Rasulullah s.a.w.” Ternyata hakim menambah lagi wang buatnya sebanyak 500 dinar dan berkata, “Ambil duit ini dan gunakannya untuk membayar hutangmu. Sesungguhnya aku mimpi bertemu Rasulullah berkata jika kau melunaskan hutang orang ini maka kami selamatkan kau pada hari kiamat.”

Pada waktu itu juga pintu rumah hakim diketuk.Apabila dibukakan pintu ternyata pemilik hutang datang dan terus meluru ke arah lelaki itu dan menciumnya. Pemilik hutang itu berkata, ” Kemarilah! dengan berkatmu aku mimpi bertemu Rasulullah s.a.w dan baginda berkata kepadaku jika kau maafkan orang ini maka kami maafkan kau pada hari kiamat dan ini lagi 500 dirham untuk kau.” Kemudian lelaki itu pulang ke rumahnya dengan duit sebanyak 4000 dinar dan hutangnya pun langsai.

Ini adalah satu makna dan pengajaran yang besar untuk diri kita sebagai muslim jika kita berselawat ke atas Rasulullah. Bukan hanya untuk akhirat sahaja tetapi untuk diri kita sendiri di dunia ini. Hanya dengan selawat kesusahan dapat dilapangkan dan hanya dengan selawat terlerailah segala masalah yang membelenggu kita. Semoga di akhirat kelak kita dapat berkumpul dengan kekasih kita yakni Rasulullah s.a.w.

.اللهمَّ صلِّ على سيِّدنا محمَّد وعلى آلِه وصحبِه وسلِّم

 

 

 

 

Leave a Reply